Ucapan Dasar Timbalan Presiden dan Ucapan Perasmian Kongres Angkatan Muda & Wanita KEADILAN 2015

Alhamdulillah, sekali lagi pimpinan dan anggota Wanita KEADILAN dan Angkatan Muda KEADILAN berhimpun dalam Kongres Nasional Tahunan yang menjadi platform untuk menggabung tenaga dan pemikiran bagi melakar halatuju parti.

Cabaran hari ini menuntut kita untuk mengatur, menyusun langkah dan strategi bagi menjana kemenangan untuk rakyat dan membina kemakmuran negara.

Ini Parti kita. Ini Kongres kita. Kita terpanggil untuk berhimpun di sini bagi membincangkan agenda perjuangan KEADILAN.

Jangan sama sekali kita membenarkan orang luar untuk menentukan masa depan parti. Saya yakin generasi muda dalam Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN mampu memenuhi aspirasi rakyat dan membawa gagasan parti dalam masyarakat untuk mengangkat martabat umat dan maruah negara.

Tatkala laungan Reformasi bergema di jalan raya di seluruh pelusuk negara pada tahun 1998, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan YB Dr. Afif Bahardin masih di bangku sekolah. Gerakan rakyat itulah yang mendorong kedua-dua anak muda ini untuk melangkah berani memimpin gerakan anak muda ke medan jihad melawan kezaliman dan kebobrokan.

Dua hari lalu, anak kecil saya, Basheer yang berusia 15 tahun dipanggil polis untuk merakamkan keterangan kerana menyertai perhimpunan aman BERSIH. Saya bersyukur dan bangga kerana walaupun usianya masih muda, Basheer berani menyatakan kebenaran di hadapan Inspektor Hasrul dan bertekad untuk bersama menentang kezaliman. Saya yakin inilah benih-benih yang telah kita semai sejak Reformasi dan bakal menjadi agen perubahan di masa hadapan.

KEADILAN juga mempunyai aset Wanita yang dipimpin oleh YB Zuraida Kamarudin dan YB Haniza Talha yang telah membawa pencerahan dalam masyarakat supaya kepentingan dan hak wanita turut dibicarakan oleh golongan lelaki senada dengan “He for She Campaign” anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Inilah sumbangan KEADILAN kepada Malaysia. KEADILAN menyediakan kepimpinan yang wibawa untuk masa depan negara. Negarawan ulung Malaysia, Almarhum Tun Ghazali Shafie berkata politik bukanlah larian pecut sebaliknya “it is a marathon.”

Perjalanan politik Winston Churchill wajar menjadi inspirasi kepada anak muda yang istiqamah dalam perjuangan. Beliau memasuki parlimen ketika berusia 25 tahun dan menjadi Menteri Pertahanan Laut pada umur 36 tahun. Pada usia 48 tahun, beliau kalah dalam pilihan raya, namun, dua tahun kemudian beliau kembali ke Parlimen.

Ketika Perang Dunia Kedua, beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Setelah berjaya memimpin negaranya dalam Perang Dunia, beliau meletakkan jawatan kerana partinya kalah dalam pilihan raya. Tiga tahun kemudian, partinya menang semula dan Churchill kembali menjadi Perdana Menteri sehingga beliau berumur 80 tahun.

Kita lihat pula Deng Xiaoping yang beroperasi dalam sistem politik yang sangat berlainan. Tatkala berusia 29 tahun, beliau terlibat dalam Long March yang sangat bersejarah dan memukau imaginasi anak muda zaman moden. Beliau dilantik menjadi Setiausaha Agung Parti Komunis China. Perbedaan pendapat beliau dengan Mao Zedong menyebabkan beliau dilucutkan dari segala jawatan dan disingkir dari kepimpinan sebanyak tiga kali.

Beliau kembali ke tampuk kepimpinan tertinggi parti sebagai Paramount Leader ketika berumur 73 tahun dan melakukan reformasi yang mengalih dari dasar ekonomi sosialis kepada ekonomi pasaran terbuka. Deng Xiaoping menjadi bapa kepada kemunculan China sebagai ekonomi terbesar di dunia.

Kecekalan YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memimpin KEADILAN daripada sebuah parti yang kecil sehingga muncul sebagai parti yang dominan dalam politik negara harus menjadi iktibar kepada Wanita.

Ketokohan beliau setara dengan kecekalan Aung San Suu Kyi di Myanmar. Kejayaan National League for Democracy menambah bukti betapa besarnya sumbangan wanita dalam pembangunan demokrasi.

Sementara semangat dalam perjuangan adalah satu faktor yang penting, tetapi harus diingat bahawa perjuangan adalah marathon. Kita harus punya tenaga, kegigihan, kesabaran, disiplin bagi menelurusi liku-liku, ombak dan onak duri serta gelombang tsunami perjuangan.

Pimpinan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN harus mengatur strategi yang ampuh dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14. Langkah yang mendesak ialah untuk melaksanakan program perkaderan di kalangan anak muda supaya mereka menghayati idealisma perjuangan parti serta menjadi penggerak di akar umbi. Saya bersedia menyokong usaha ini dengan menyediakan kemudahan dan fasiliti untuk program perkaderan.

Pimpinan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menggalas harapan dan memenuhi aspirasi rakyat.

Tatkala pentadbiran Putrajaya sedang bergelut dengan krisis kepimpinan; kegawatan ekonomi yang memberi kesan langsung kepada rakyat dan kecelaruan dasar yang menghakis keyakinan pelabur dan masyarakat perniagaan; Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN perlu bersedia untuk menonjolkan kepimpinan dan menggarap seluruh kekuatan, memupuk perpaduan di kalangan rakyat merentasi politik partisan untuk membawa negara keluar dari kegelapan kepada pencerahan. Anak muda dalam KEADILAN harus mempunyai courage of conviction untuk menjayakan gagasan Asian Renaissance.

As expounded by Anwar Ibrahim, “The Asian Renaissance entails the growth, development and flowering of Asian societies based on a certain vision of perfection, societies imbued with truth and the love of learning, justice and compassion, mutual respect and forbearance and freedom with responsibility. There is renewal of faith and assertion of multiculturality.”

Dua tahun lalu, saya telah melontarkan gagasan temu tembung melangkahi belahan dan jurang politik, transcending the political divide demi untuk rakyat dan negara. Ini bukanlah suatu pandangan yang sumbang bahkan ianya bersesuaian dengan sifat dan jatidiri politik Malaysia yang beraksi di atas pentas masyarakat yang rencam namun sederhana wataknya. 1969 mencetuskan ketidak stabilan politik dan rusuhan kaum. Tragedi ini mengundang Allahyarham Tun Abdul Razak mengambil langkah bijaksana dan berlapang dada melalui pembentukan Muafakat Nasional. Rukun Negara diperkenalkan sebagai ideologi negara.

Dasar Ekonomi Baru digubal untuk melaksanakan social engineering bagi mencapai keadilan sosial. Dasar Kebudayaan Kebangsaan dirumuskan untuk mewujudkan rupa bangsa Malaysia.

Kita perlu mengambil iktibar dan inspirasi daripada lipatan bersejarah ini. Kini, tatkala negara sekali lagi dicengkam krisis, kita perlu berjiwa besar mengenepikan partisan politics untuk menyelamatkan tanah air dan anak watan.

Ketua Umum Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut mengungkap keperluan Konsensus Nasional selepas Pilihan Raya Umum Ke 13 ketika Pakatan Rakyat memiliki batas moral yang tinggi setelah memperolehi 52 peratus sokongan rakyat. Pemimpin Lembaga Swadaya Masyarakat, Dato’ Ambiga Sreenevasan, juga telah menyeru untuk maksud yang sama pada awal tahun ini.

Konsensus Nasional yang diperlukan hari ini harus memupuk hubungan yang harmoni antara kaum dan agama, melakukan reformasi pilihan raya, menyuburkan ruang demokrasi dalam masyarakat, menggubal dasar ekonomi yang menjamin pertumbuhan dan keadilan sosial seperti yang terungkap dalam Agenda Ekonomi Malaysia dan Buku Jingga; dan membina asas kepada Malaysia yang kuat dan gagah untuk generasi akan datang.

Generasi akan datang pastinya akan berdepan dengan cabaran dan tuntutan baru yang menuntut kita untuk berbincang secara berlapang dada dan bertanggungjawab mengenai kontrak sosial yang dibentuk hampir 50 tahun yang lalu tanpa tercabut daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan. Ini penting untuk generasi muda melakar masa depan yang lebih terjamin, membentuk masyarakat yang cerdas dan berdaya saing serta membina jatidiri anak Malaysia.

Saya yakin rakyat bersedia, kerana merekalah yang lebih menderita sekiranya krisis sekarang berterusan. Kita amat bersimpati dengan penjawat awam yang terpaksa berkhidmat di bawah rejim Putrajaya yang korup, rejim yang mengabaikan kepentingan rakyat dan mencemarkan imej negara di mata dunia. Kita juga menyelami kekecewaan penjawat awam kerana kebergantungan Putrajaya hari ini dengan perunding asing dan meminggirkan idea dan peranan penjawat awam.

Penjawat awam menyedari keperluan melakukan perubahan dan pembaharuan bagi negara menghadapi cabaran abad ke-21. Mereka lebih memahami konteks sejarah, persekitaran sosio-politik dan kebudayaan Malaysia, serta komited terhadap visi Malaysia sebagai sebuah negara maju yang kuat.

Pengalaman saya di Selangor meyakinkan saya bahawa penjawat awam setia kepada nilai dan etika profesyen mereka. Apabila mereka diberikan ruang, peluang dan pengiktirafan, mereka akan menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang demi kemajuan negeri.

Penjawat awam di Selangor membuktikan kesetiaan mereka kepada pentadbiran negeri hari ini melalui pelaksanaan dasar-dasar yang diputuskan oleh pihak eksekutif negeri dan kesungguhan mereka mengutip hasil yang jauh lebih besar daripada sasaran bagi tahun 2015. Kita telah menunjukkan bagaimana persefahaman dan permuafakatan yang digembling atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban telah menjayakan gagasan Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli.

Kutipan hasil Negeri Selangor telah melonjak kepada RM 2.3 bilion sehingga penghujung November 2015 melepasi unjuran awal sebanyak RM 1.97 bilion. Kita juga telah berupaya untuk meningkatkan rizab negeri kepada RM 3.6 bilion sehingga penghujung September 2015. Sebagai menghargai sumbangan penjawat awam yang setia kepada prinsip nilai dan perofesionalisma mereka, Kerajaan Negeri telah memberikan bonus satu bulan setengah gaji berbanding Putrajaya yang hanya memberi elaun khas sebanyak RM 500 sahaja.

Sementara kita mendukung perdagangan bebas yang boleh menjamin kemakmuran ekonomi, TPPA mestilah dibahaskan secara terbuka demi untuk melindungi kedaulatan negara. Namun, Putrajaya gagal menampilkan kepimpinan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka dan bermaruah.

Hari ini, kita dikejutkan lagi dengan langkah terdesak Najib menjual keseluruhan aset strategik penjana kuasa Edra Global Energy kepada China dengan nilai RM 9.87 bilion sebagai langkah untuk menebus hutang 1MDB.

Ini merupakan langkah yang sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional. Walhasil, beliau telah melutut dan menagih kepada kuasa asing. Penjualan Edra Global Energy kepada China kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan dimana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang “Nine-Dash-Line”.

Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini telah gagal membentuk muafakat ASEAN berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

Adalah suatu tragedi, ASEAN mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing.

Kepimpinan Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN perlu menghayati dan memiliki pemikiran serantau yang dipelopori oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Alhamdulillah, pada awal minggu ini, saya telah berkesempatan untuk berucap di “International Conference on the World Forum for Muslim Democrats” anjuran The Sasakawa Peace Foundation di Jakarta yang diasaskan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Wacana ini bertujuan untuk memupuk dan mengajak demokrat Muslim dari seluruh dunia untuk mengembangkan Islam dengan pendekatan yang sederhana dalam menangani isu terorisma dan ekstrimophobia.

Selain bertemu dan berbincang dengan tokoh kepimpinan seperti Gabenur Kota Jakarta, Bapak Basuki Tjahaja Purnama dan Bapak Irman Gusman, Ketua Dewan Perwakilan Daerah (DPD) Republik Indonesia; saya dapat menyaksikan bahawa demokrasi yang dihirup sejak era Reformasi 1998 di negara Muslim terbesar dunia itu, kini telah menampakkan hasilnya. Reformasi di Indonesia adalah seusia dengan ledakan Reformasi di Malaysia, 17 tahun lalu.

Justeru itu, saya ingin menganjurkan supaya Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN perlu segera membuat jaringan kerjasama politik dan demokrasi dengan pimpinan muda di rantau ini supaya kepentingan bersama serta solidariti demokrasi di ASEAN dapat dibina atas prinsip yang jelas.

Sementara KEADILAN menyambut kelahiran AMANAH dan menerima dalam keluarga besar kita, KEADILAN akan meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS dan kerjasama dengan PSM serta parti-parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat.

Hanya dengan muafakat utuh tanpa dibelenggu prejudis serta prasangka yang menebal, kita mampu mencapai kemenangan. Dato’ Seri Anwar Ibrahim seringkali mengingatkan pimpinan dan anggota Parti supaya mempertahankan ideologi reformasi yang berteraskan prinsip keadilan, kebebasan dan pencerahan dengan mewujudkan satu muafakat besar (grand coalition) yang bersifat inklusif untuk menentang UMNO dan BN. Sebagai pemimpin dan anggota parti reformasi, kita mesti bersikap tawaddhu’ (humility) dan bukannya angkuh, sombong dan bengkeng. Muafakat kita dalam Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH akan terus dibina di atas prinsip dan solidariti untuk menentang UMNO-BN.

Ini adalah ketetapan yang diambil oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas yang bersidang pada 11 Oktober 2015 lalu, yang perlu dipertahankan oleh anggota parti. Kita mahu semua pihak khususnya rakan-rakan kita menghormati pendirian yang diambil oleh KEADILAN dan jangan sekali-kali cuba melaga-lagakan pimpinan KEADILAN. Budaya KEADILAN amat segar. Kita meraikan perbedaan pandangan tetapi kita tidak sama sekali mengizinkan perpecahan.

Saya yakin KEADILAN sekali lagi akan muncul sebagai parti terkuat untuk menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia dan mencetuskan gelombang kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14.

Anak muda perlu memiliki keyakinan. Milikilah keyakinan diri seperti yang dimiliki oleh Usamah bin Zaid. Beliau dilantik oleh Baginda Rasulullah SAW sebagai panglima perang tatkala baru berumur 18 tahun.

Dalam perjuangan politik hari ini kita perlu menggunakan pelbagai perkakas atau tools, media sosial dan teknologi. Kemahiran menggunakan media sosial dan pelbagai teknologi baru dalam komunikasi akan memberikan kita kelebihan dalam perjuangan. Ini adalah ruang kepakaran anak muda.

Saya mahu merasai kehadiran Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN di kampus, di bandar dan desa, di ruang nyata dan alam maya. Lebih satu juta anak muda akan mengundi buat pertama kalinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Sebahagian mereka adalah lepasan universiti dan kolej yang dibebani oleh hutang PTPTN, dan sebahagian yang lebih besar hanyalah lepasan SPM yang bergelut untuk mendapat pekerjaan. Graduan muda dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga pula menghadapi masalah hutang isi rumah. Golongan berpendapatan rendah dan sederhana tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi. Memenangi akal dan hati nurani mereka adalah tanggungjawab kita bersama sebagai sebuah gerakan rakyat.

Wanita KEADILAN telah berjaya mengangkat isu wanita dan disambut oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pelaksanaan pelbagai dasar wanita termasuk program latihan, pendidikan dan kebajikan yang dipimpin oleh YB Dr. Daroyah Alwi. Syabas kepada Wanita KEADILAN.

Belanjawan 2016 telah memperkenalkan bebarapa inisiatif baru termasuk program perintis Selangor Homemaker Program, di mana wanita profesional diberi peluang untuk memohon waktu bekerja secara anjal atau bekerja dari rumah.

Di samping itu, lebih banyak pusat penjagaan anak-anak (Affordable Childcare Centre) akan didirikan di kawasan perumahan mampu milik dengan prasarana yang lengkap bagi membolehkan anak-anak kita diasuh dengan selamat dan sempurna.

Angkatan Muda KEADILAN harus berani dan ke depan dalam menjuarai isu anak muda – pendidikan, latihan, pekerjaan dan sosio ekonomi keluarga muda.

Kerajaan Negeri Selangor yakin potensi dan keupayaan anak muda untuk membangunkan masyarakat. Apabila saya diberikan amanah untuk menerajui Negeri Selangor, saya telah melantik ramai pemimpin muda di kalangan Pakatan Rakyat untuk mengambil tanggungjawab sebagai Exco Kerajaan Negeri. Dua daripadanya adalah dari KEADILAN iaitu YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan YB Amirudin Shari. Teruskan perjuangan untuk membela anak muda demi masa depan yang lebih cerah. Perpaduan yang utuh di kalangan pimpinan Angkatan Muda adalah pra-syarat untuk mencapai kejayaan yang bermakna bagi memenuhi aspirasi rakyat.

Teman-teman seperjuangan sekalian. Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyalakan obor Reformasi. Saudara-saudari bertanggungjawab untuk menjulang obor ini sehingga ke Putrajaya. Kita akan menyatukan rakyat, menggembleng kekuatan demi membawa perubahan, menyelamatkan negara dari rejim durjana, menjana pertumbuhan ekonomi dan mencapai keadilan sosial. Marilah menuju kejayaan. Ayuh, kibarkan panji KEADILAN. Demi generasi akan datang, kita akan memastikan sebuah negara Malaysia yang kuat, gemilang dan terhormat.

Maka, dengan lafaz Bismillahir rahmannir rahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Ke-11 Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN Tahun 2015.