Ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Sempena Program Tanam Pokok Sempena Hari Hutan Antarabangsa

Menghadap
Duli Yang Maha Mulia
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj
Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj,

Sultan dan Yang DiPertuan Negeri Selangor Darul Ehsan

Ampun Tuanku,

Patik mewakili Kerajaan Negeri menjunjung kasih di atas keberangkatan Tuanku ke Program Tanam Pokok Negeri Selangor Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa.

Sesungguhnya keberangkatan Tuanku ke program ini menjadi inspirasi untuk memelihara dan memulihara hutan sebagai elemen penting dalam ekosistem semula jadi serta menjamin persekitaran hijau yang sihat dan pembangunan yang mampan.

Aktiviti menanam pokok sangat penting memandangkan pokok mempunyai peranan yang pelbagai termasuk perlindungan, teduhan, pengindahan lanskap serta menyumbang kepada pengurangan pemanasan global.

Kepedulian Tuanku terhadap persoalan alam sekitar telah mendorong Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan strategi meningkatkan kehijauan Negeri Selangor.

Ampun Tuanku,

Patik dengan penuh hormat dan takzimnya, memohon limpah keizinan dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk patik menyampaikan ucapan meraikan para tetamu pagi ini.

Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah
Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,
Raja Muda Selangor,

Yang Berhormat Puan Elizabeth Wong,

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,

Yang Amat Dihormati Ahli – Ahli Dewan Di Raja Selangor,

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya,

Setiausaha Kerajaan Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman,

Penasihat Undang – Undang Negeri,

Yang Berhormat Dato’ Noordin Bin Sulaiman,

Pegawai Kewangan Negeri,

Yang Berusaha Dato’ Roslan Bin Ariffin,

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia ;

Yang Dimuliakan Orang – Orang Besar Istana,

Yang Dihormatkan Orang – Orang Besar Daerah,

Yang Berhormat Ahli – Ahli Parlimen dan Ahli – Ahli Dewan Negeri,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan Kerajaan Peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah,

Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian.

Pokok menyokong kehidupan dengan mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Jurnal Nature menyebut bahawa terdapat 3 trilion pokok di dunia. Malangnya, masyarakat masa kini menebang 15 bilion pokok setiap tahun menyebabkan jumlah pokok berkurangan sebanyak 46 peratus sejak bermulanya tamadun manusia.

Gambaran satelit menunjukkan hanya tinggal 400 bilion pokok di dunia pada hari ini. Kebimbangan masyarakat global telah mendorong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan kempen memupuk kesedaran sejagat ke arah penghijauan semula dunia melalui Sambutan Hari Perhutanan Sedunia (World Forestry Day) yang diadakan sejak tahun 2013 dan pada hari ini dikenali sebagai Hari Hutan Antarabangsa (International Day of Forests).

Usaha pagi ini menggambarkan bahawa kita adalah sebahagian daripada warga global yang cintakan alam sekitar. Kehijauan adalah lebih daripada sekadar warna. Namun, apa yang lebih penting adalah sumbangan kepada kehidupan bandar yang optimum dan penggunaan tenaga yang rendah.

PBB melaporkan bahawa pokok-pokok yang ditempatkan secara strategik di kawasan bandar mampu menyejukkan udara antara 2 hingga 8 darjah celsius. Hutan bukan sahaja menghasilkan udara bersih tetapi juga air dan tenaga. Maka, kita tidak boleh alpa tentang peranan penting hutan dalam menyediakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (renewable energy source).

Malah, kajian PBB menunjukkan bahawa kayu membekalkan kita hampir separuh daripada bekalan semasa tenaga global yang boleh diperbaharui dan ini melebihi gabungan tenaga solar, hidroelektrik dan tenaga angin.

Wood-energy sector merupakan faktor utama dalam penciptaan 900 juta peluang pekerjaan di negara-negara membangun. Usaha memodenkan sektor ini akan memberi nafas baru kepada ekonomi luar bandar dan menggalakkan pembangunan perusahaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Justeru, tema Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini, “Forests and Energy” adalah bertepatan dengan kepedulian Kerajaan Negeri khususnya dalam aspek mempertingkat sumber tenaga yang boleh diperbaharui berbanding sumber tenaga fosil yang semakin pupus.

Program pada hari ini amat signifikan kerana dilaksanakan di Taman Alam Kuala Selangor yang merupakan salah satu kawasan Hutan Paya Laut di Negeri Selangor. Taman yang berkeluasan 264.81 hektar (646.9 ekar) ini amat kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

Pada bulan September hingga April setiap tahun, kawasan ini menjadi tempat persinggahan burung-burung hijrah terutamanya dari Negara Rusia dan Siberia.

Pada pagi yang nyaman ini, DYMM Tuanku akan menanam pokok ‘Rhizophora mucronata’ atau dikenali sebagai Pokok Bakau Kurap. Fungsi utama pokok bakau kurap ini adalah sebagai penghalang hakisan dan mengurangkan kesan ombak di pesisir pantai. Pada masa yang sama, buah pokok bakau ini juga menjadi sumber makanan kepada burung dan hidupan akuatik di Hutan Paya Laut.

Taman Alam berpotensi untuk dijadikan pusat pembelajaran dan penyelidikan saintifik. Ini dapat memberi pulangan ekonomi kepada Kerajaan Negeri sekiranya kawasan ini dibangunkan sebagai hub ‘Educational Eco-Tourism’.

Justeru, untuk memelihara kawasan yang amat berharga ini, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) kini dalam proses akhir untuk mewartakan Taman Alam Kuala Selangor sebagai sebahagian kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Usaha menjayakan prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk mengekalkan keluasan kawasan hutan sebanyak 30% daripada keluasan Negeri Selangor. Alhamdulillah, jumlah keluasan hutan pada hari ini adalah sebanyak 31.5 peratus atau 250,129 hektar daripada keluasan Negeri Selangor.

Kawasan hutan mempunyai estetika yang tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram, pembentukan batu yang unik, flora dan fauna, tanah lembap dan panorama indah yang menjadi daya tarikan utama sebagai destinasi pelancong tempatan dan luar negara.

Selaras hal ini, Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan Dasar Moratorium Pembalakan selama 25 tahun iaitu tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam Hutan Simpanan Kekal.

Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Persatuan Arborist Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyediakan Polisi Pengurusan dan Pemuliharaan Pokok Negeri Selangor. Polisi ini membuktikan usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan pokok oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor dilaksanakan mengikut amalan arborikultur terbaik.

Kempen kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar perlu dilaksanakan secara konsisten dan melibatkan semua lapisan masyarakat. Sokongan dan kerjasama berterusan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) akan dapat menggembleng kesatuan masyarakat dalam usaha memulihara dan melindungi alam sekitar.

Ampun Tuanku,

Akhirul kalam, patik memohon izin mengakhiri ucapan ini dengan serangkap pantun.

Paya bakau airnya cetek,
Unggas-unggas menumpang hidup,
Selangor hijau buminya cantik,
Mata memandang hati pun redup.

Patik dan sekalian rakyat memohon ke hadrat Allah SWT semoga Duli Yang Maha Mulia Tuanku dikurniakan kesihatan, dipelihara keselamatan dan kesejahteraan yang berpanjangan supaya dapat terus memerintah Negeri Selangor Darul Ehsan dengan segala kemuliaannya.

Doa sekalian rakyat juga dipanjatkan ke hadrat Allah SWT untuk Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, semoga berada dalam keadaan kesejahteraan, dikurniakan taufik dan hidayah, serta senantiasa dalam perlindungan Allah SWT