Ucaptama Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

di Rapat Malaysia Prihatin Peringkat Negeri Selangor

1. Alhamdulillah, pagi ini kita menggembleng wahdatul fikr dan wahdatul amal, kesatuan pemikiran dan kesatuan tindakan bagi menggarap seluruh tenaga dan kekuatan ke arah merencana masa depan dalam pelbagai dimensi – ekonomi, kesihatan, pendidikan, sosial, kebajikan dan perpaduan.

2. Sekiranya kalian bertanya, apakah cabaran yang paling getir sepanjang tahun 2020? Saya pasti saudara – saudari bersetuju bahawa cabaran terbesar di hadapan kita adalah untuk mengimbangi tuntutan melindungi nyawa dan kesihatan rakyat, serta menjamin pendapatan dan kesejahteraan mereka. The biggest challenge was, and still is, to strike a balance between the protection of lives and livelihoods. Hari ini kita mengukur kejayaan dalam mencapai keseimbangan di antara kesihatan awam dan pertumbuhan ekonomi.

3. Lebih setahun kita berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang memberi dampak kepada rakyat dan ekonomi negara. Pandemik ini telah menghalang pergerakan kita merentasi sempadan, daerah, negeri dan negara sehingga menjejaskan ekonomi serta kehidupan seharian.

4. Pandemik COVID-19 bukan sahaja mengancam kesihatan rakyat, tetapi ianya telah meruntuhkan apa yang kita bina selama ini dengan keringat dan kudrat kita. Ekonomi global, rantau dan negara semuanya terkesan. Rakyat yang sejahtera, kini hilang pekerjaan dan pendapatan. Kitaran ekonomi yang rancak, kini putus rantaian bekalan, sehingga menjejaskan permintaan luar dan mengakibatkan industri tempatan lumpuh.

5. Saudara, bayangkan derita hidup rakyat.
Pekerja hilang pekerjaan.
Peniaga kecil tiada pendapatan.
Bawah tudung saji tiada makanan.

6. Sekolah dan tadika terpaksa ditutup.
Wanita berkerjaya terbeban menjaga anak di rumah.
Suami resah hilang pendapatan.
Tekanan jiwa meningkat dan kesihatan mental terganggu.

7. Dalam situasi yang amat mencabar ini, apakah tindakan kita? Pendekatan yang diambil oleh Kerajaan dalam menghadapi krisis adalah bersifat “whole-of-government” approach, yakni, bukan sahaja kementerian dan agensi menggembleng sumber dan upaya, bahkan hubungan Persekutuan dan Negeri diperkukuhkan demi membela kepentingan rakyat dan negara.

8. Extraordinary circumstances demand extraordinary measures. Cabaran yang kita hadapi adalah unprecendented dan memerlukan penyelesaian luar biasa. Kerajaan Persekutuan yang prihatin, tuntas membuat keputusan yang berani, tepat dan bertanggungjawab – courageous, decisive and responsible. We took a calculated approach. The specific measures taken and the strategic policies adopted in dealing with the pandemic are based on science and data, fully in accordance with the protocols and best practices set by the World Health Organisation.

9. Kita tidak ada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melindungi nyawa dan kesihatan rakyat serta melandaikan keluk COVID-19. Negara tersentak dengan kemunculan gelombang ketiga bermula 20 September 2020 yang mencatatkan lonjakan kes positif tertinggi berjumlah 5,728 pada 30 Januari 2021. Kemampuan kesihatan awam terjejas teruk. Perdana Menteri muncul dengan kenyataan, “Our health system is at its breaking point as government hospitals are unable to support over new positive COVID-19 cases.”

10. Kerajaan mengambil langkah segera untuk mengelak sistem kesihatan awam lumpuh. Dalam hal ini, kita sebagai rakyat Malaysia terhutang budi di atas pengorbanan luar biasa para doktor dan jururawat yang bersengkang mata melindungi nyawa dan kesihatan kita semua.

11. Namun, sudah pasti PKP yang bermula 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 memberi kesan kepada ekonomi dan pendapatan rakyat serta menjejaskan pertumbuhan dan daya saing ekonomi – the unintended economic consequences. Ekonomi negara mengalami penguncupan yang luar biasa sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar pada suku keempat 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak -3.4 peratus. Bagi keseluruhan tahun 2020, KDNK benar telah mencatatkan kemerosotan sebanyak -5.6 peratus.

12. Sebagai Kerajaan yang prihatin dan peduli, kita merasai denyutan nadi dan kepayahan hidup rakyat. Kerajaan Persekutuan menyuntik RM340 bilion untuk kick start the economy and initiate the recovery process. Pakej Rangsangan telah membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dengan mencatatkan KDNK 24 peratus lebih tinggi dalam suku keempat 2020 (RM357.4 bilion) berbanding RM289.4 bilion pada suku kedua 2020.

13. Matlamat kita adalah untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan merangsang ekonomi melalui pelbagai inisiatif. Bukan sahaja golongan pekerja, pemandu teksi, pengusaha IKS dan anak muda mendapat perhatian, bahkan ratusan ribu Mak Cik Kiah turut mendapat pembelaan.

14. Melalui inisiatif PRIHATIN, PENJANA dan KITA PRIHATIN, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan subsidi upah berjumlah RM13.4 bilion untuk menyelamatkan 2.7 juta pekerja dan 327,000 majikan. Kadar pengangguran telah menurun kepada 4.8 peratus berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020. Pada akhir Januari 2021, lebih 25 ribu orang mendapat pekerjaan melalui insentif PENJANAKERJAYA, inisiatif reskilling dan upskilling serta program MySTEP.

15. Kerajaan Persekutuan yang prihatin tampil membela kehidupan hampir 11 juta warga B40 dan M40 dengan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjumlah RM18.2 bilion. Lebih RM2.5 bilion dimanfaatkan untuk memberdaya 848,000 PKS melalui Geran Khas Prihatin (GKP) sementara lebih 64,000 peniaga kecil menyatakan kesyukuran mereka apabila menerima Bantuan Pinjaman Mikro berjumlah lebih RM1 bilion daripada TEKUN dan BSN. Demi menghargai sumbangan dan jerih perih para frontliners, Kerajaan yang prihatin tuntas menyantuni lebih 1.64 juta para frontliners melalui Elaun Khas berjumlah RM565.4 juta.

16. Khusus untuk Negeri Selangor, sebanyak RM11 bilion telah dimanfaatkan kepada rakyat, peniaga kecil dan usahawan. Lebih 662,000 pekerja dan 78,000 majikan telah diselamatkan melalui Inisiatif Subsidi Upah dengan bayaran sebanyak RM 3.28 bilion. Seramai 1.8 juta rakyat Selangor di kalangan B40 dan M40 telah menerima Bantuan Prihatin Nasional berjumlah RM2.8 bilion. Kerajaan juga tidak ketinggalan untuk membela nasib hampir 180,000 PKS di Selangor melalui Geran Khas Prihatin berjumlah RM532 juta. Manakala, hampir 9,000 peniaga kecil di Selangor diberdayakan dengan pinjaman TEKUN dan BSN bernilai RM136 juta. Ini lah Kerajaan Prihatin. Ini lah Kerajaan yang benar-benar Peduli Rakyat.

Saudara-saudari sekalian,

17. Kita tidak akan berhenti di sini. Kita akan terus maju dengan langkah sederap ke hadapan. Kerajaan menangani cabaran dengan dipandu oleh Strategi Pemulihan Ekonomi Negara iaitu Resolve, Resilient, Restart, Recovery, Revitalize, Reform – 6 R. Kini, kita berada di Tahap 5 – Revitalize.

18. Kerajaan mengambil tanggungjawab untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan peruntukan RM5 bilion bagi pemberian vaksin kepada 80 peratus penduduk bagi mencapai Imuniti Kelompok (herd immunity).

19. Sehingga hari ini, lebih 436,000 rakyat Malaysia telah mendapat suntikan. Dari jumlah ini, Selangor adalah nombor wahid. Seramai 60,521 rakyat Selangor telah diberikan suntikan vaksin demi melindungi rakyat Selangor agar terus sihat dan menjana produktiviti. Oeconomia sana, in corpore sano – a healthy economy in a healthy body. Lebih cepat rakyat mendapatkan vaksin, lebih pantas ekonomi negara pulih.

20. Sebagai warganegara, kita semua bertanggungjawab untuk mengambil suntikan vaksin. Hampir tujuh juta rakyat telah tampil mendaftarkan diri untuk mendapat suntikan vaksin. Pastikan diri kita, anak dan isteri kita, ibu bapa dan jiran tetangga serta sahabat handai segera mendaftar melalui MySejahtera.
21. Kita berpegang kepada prinsip ‘no one is safe until everyone is safe’. Justeru, program imunisasi ini diberikan percuma kepada seluruh barisan hadapan, kumpulan rentan, warga emas dan juga komuniti diplomatik, pemastautin tetap dan pekerja asing.

22. Kerajaan sedang aktif berbincang dengan negara-negara luar khususnya ASEAN untuk memperkenalkan digital vaccination certificate bagi mempermudah pergerakan rentas negara untuk mencerdaskan ekonomi serantau dan global. Dua hari yang lalu, perkara ini turut dibincangkan dengan serius dalam pertemuan saya dengan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Saudara-saudari sekalian,

23. Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia perlu terus aktif di dalam perdagangan global. Peranan Malaysia juga penting untuk menjamin rantaian global tidak terganggu.

24. Mendepani cabaran ini, organisasi jaringan perdagangan antarabangsa dan kemitraan seperti APEC dan RCEP adalah sangat penting bagi Malaysia. Malaysia mendapat pengiktirafan untuk mempengerusikan Sidang Ketua-Ketua Ekonomi APEC pada 20 November 2020. APEC bersetuju menerima Visi Putrajaya 2040 dan juga Deklarasi Kuala Lumpur 2020 untuk memacu perdagangan multilateral di kalangan ekonomi APEC.

25. Tahun 2020 juga menyaksikan kejayaan Malaysia memuktamadkan rundingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP pada 15 November 2020. Usaha ini telah merangkul 2.2 bilion penduduk dunia dari 15 buah negara dan kini, RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia. RCEP akan membuka pasaran yang lebih luas kepada pemain industri tempatan dan mewujudkan regional economic integration. RCEP akan mewujudkan rantaian nilai dan memberi peluang kepada IKS meningkatkan produktiviti untuk pasaran global. Ini akan menjana pendapatan yang tinggi dan mencipta peluang pekerjaan yang berkualiti.

26. Dalam konteks ini, Selangor sebagai regional smart state perlu menggarap segala potensi yang dihasilkan oleh interaksi perdagangan global.

Saudara-saudari sekalian,

27. Dalam kegetiran ekonomi global pada tahun 2020, Malaysia tetap menjadi destinasi pelabur yang terpilih. Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama. Sektor perkilangan turut cemerlang dengan peningkatan 10.3 peratus.

28. Prestasi perdagangan luar juga memberikan kita keyakinan bahawa negara berada di landasan yang kukuh dalam usaha mencerdaskan ekonomi. Lebihan dagangan yang dicatatkan pada tahun 2020 adalah yang tertinggi dalam sejarah perdagangan global negara. Lebihan dagangan meningkat 26.9 peratus kepada RM184.79 bilion berbanding 2019.

29. As we take steps to revitalize the economy, the Government will also ensure sustainable long term growth by investing in human capital development and advancement as well as enhancing female participation as a productive labour force. Kerajaan juga akan meningkatkan daya persaingan melalui penggubalan Dasar Pelaburan Baru yang memberi keutamaan kepada high quality and technology-centric investments that require highly skilled labour force. Ini adalah sejajar dengan aspirasi mencapai high income nation status dalam tempoh 5 tahun.

30. National Employment Council yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri bertujuan untuk mewujudkan high-skill and high-income jobs melalui TVET dan IPT yang industry oriented. Kerajaan juga komited untuk melaksanakan institutional reforms, improve standards of transparency and governance while continuously improving our civil service to maintain the highest levels of excellence.

Saudara-saudari sekalian,

31. Di mana kita hari ini ? Pada tahun 2021, trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik bermula suku kedua. Prospek ekonomi yang bertambah baik ini akan didorong oleh permintaan luaran yang kembali pulih, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat dan pengeluaran daripada sektor perkilangan yang lebih tinggi. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan juga akan meningkatkan sentimen pengguna dan keyakinan pelabur.

32. Bagi menjamin pemulihan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada reformasi struktur ekonomi yang berterusan, terutamanya dalam mempercepatkan proses digitalisasi, memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan dan membangunkan bakat yang memenuhi permintaan pasaran buruh untuk masa hadapan. Bank Negara mengesyorkan supaya melaksanakan langkah-langkah proaktif yang memudahkan dan mempercepatkan kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam merealisasikan pelaburan swasta.

Saudara-saudari sekalian,

33. Peruntukan undang-undang sedia ada – Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) tidak mencukupi untuk menangani COVID-19 secara efektif. Proklamasi Darurat telah diwartakan pada 12 Januari 2021 setelah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati dengan nasihat Jemaah Menteri.

34. Proklamasi ini adalah bertujuan untuk memerangi COVID-19 dan bukan tujuan lain seperti yang didakwa oleh segelintir pihak. Punca kuasa pengisytiharan Darurat adalah bersandarkan Perkara 150, Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

35. Apa yang membezakan darurat sebelum ini dengan sekarang? Pertama, Proklamasi Darurat 2021 adalah bertujuan untuk mengekang penularan COVID-19. Ianya adalah Darurat Kesihatan. Kedua, Proklamasi Darurat 2021 mempunyai tempoh yang tertentu iaitu sehingga 1 Ogos 2021 berbanding dengan Darurat sebelum ini yang tidak menetapkan tempoh yang jelas. Ketiga, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membentuk Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang dianggotai oleh wakil-wakil profesional, Kerajaan dan Pembangkang untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.

36. Selaras dengan definisi Darurat yang menuntut tindakan serta merta bagi mengelakkan kesan yang lebih buruk, maka tujuan darurat kesihatan adalah to fast track the necessary legislative measures yang terkait dengan pengurusan krisis pandemik COVID-19.

37. Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri bersama Ketua Setiausaha Negara akan mengemukakan cadangan Ordinan tertentu selari dengan Perkara 150, Fasal 2B, Perlembagaan Persekutuan.

38. Sehingga hari ini, 4 Ordinan telah diperkenankan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 ; Ordinan Pindaan Akta 342 ; Ordinan Pindaan Akta 446 dan Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 – “Anti-Fake News”

Saudara-saudari yang budiman,

39. Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kewibawaan dan kesungguhan saudara-saudari sebagai barisan hadapan ekonomi negara. Perjuangan mencerdaskan ekonomi belum selesai. Kita perlu terus berganding bahu dan melangkah maju untuk memacu ekonomi mampan sehinggalah kita berjaya.

40. Ingat kata kata hikmat YAB Perdana Menteri pada 1 Mac 2021 dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, “apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian semua.”

41. Kita perlu bekerja lebih kuat dan tekun secara berpasukan. Kita perlu meningkatkan libat urus dengan semua pemegang taruh. Integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah keutamaan nombor wahid bagi seluruh keluarga besar perkhidmatan awam. Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang unsur salah guna kuasa dan rasuah. Profesionalisme, ehsan dan kecemerlangan adalah budaya dan jati diri kita.

42. Belum pernah negara berhadapan dengan cabaran yang sebegini getir. Namun, cabaran adalah asam garam kehidupan. Cabaran menjadikan kita lebih matang dan lebih perkasa.

43. Untuk berjaya dalam menghadapi cabaran ini, rakyat, yakni, kita semua perlu bersatu, bersatu dan bersatu.

44. Datanglah apa jua cabaran, kita harus kekal tenang, istiqomah dan bekerja, bekerja dan bekerja. Semoga Allah memberkati segala usaha dan amal kita dan mengurniakan kita kejayaan cemerlang.