Ucapan Istiadat Konvokesyen Kali Ke 10 Dan Majlis Watikah Pelantikan Pro-Canselor Universiti Selangor

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan rahmatNya kita dapat bersama-sama di Istiadat Konvokesyen Kali Ke 10 Universiti Selangor pada hari ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memperolehi ijazah pada hari ini. Kejayaan hari ini adalah hasil dari perjuangan saudara-saudari sejak sekian lama. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya bersyukur kerana UNISEL dapat menambah kemunculan ilmuan muda dan golongan profesional yang akan memandu kemajuan Selangor sebagai Smart State.

3. Saya turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa yang berkorban, memberikan semangat dan dorongan kepada anak-anak untuk menjadi ilmuan yang berjaya dan anak watan yang cerdas.

4. Inilah sumbangan tidak ternilai ibu bapa kepada Selangor, iaitu mendorong anak-anak menjadi bank sumber daya manusia. Kejayaan Selangor bukan terletak pada statistik ekonomi semata-mata, tetapi terletak pada generasi mudanya yang berilmu, berkemahiran dan memiliki jati diri yang mulia.

5. Usaha mencari ilmu adalah jihad. Ia tidak akan diperolehi tanpa kegigihan. Namun, segulung ijazah bukanlah titik penghujung usaha mencari ilmu. Pencarian ilmu adalah kegiatan sepanjang hayat, dari buaian ke liang lahad. Pencarian tersebut perlu lebih gigih lagi kerana perkembangan ilmu hari adalah amat pesat. Sebagai sebuah universiti yang memberikan tumpuan kepada bidang teknikal dan industri, kita perlu mengikuti ledakan inovasi yang sedang berlaku yang bakal merobah gaya kehidupan seharian manusia.

6. Universiti Selangor kini telah berumur lebih 15 tahun dan telah mencapai sebuah universiti komprehensif dan menawarkan program-program daripada tahun asas, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Kini UNISEL menawarkan 89 program di lapan fakulti dan kesemua program telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan badan-badan profesional.

7. Pada akhir 2014, UNISEL tergolong sebagai sebuah universiti TIER 5 atau universiti cemerlang oleh SETARA, iaitu sistem penarafan institusi pengajian tinggi Malaysia oleh Kementerian Pendidikan.

8. Program pengantarabangsaan UNISEL sejak dahulu menunjukkan UNISEL duduk setaraf dengan universiti awam. Malah universiti-universiti terkemuka dunia seperti Imperial College, Cambridge University dan Manchester University di United Kingdom; University of Tokyo di Jepun; Ataturk University di Turki serta Institut Teknologi Bandung di Indonesia telah menjalin hubungan dengan UNISEL, khususnya dalam penyelidikan dan pertukaran pelajar. Usaha ini merupakan usaha bersama semua pensyarah, pelajar dan juga warga UNISEL yang menggembeling tenaga untuk mengangkat martabat UNISEL sebagai sebuah universiti terulung di rantau Asia. Kerjasama UNISEL dengan universiti terkemuka dunia, secara tidak langsung telah meletakkan nama UNISEL di peta dunia pendidikan.

9. Pada Mac 2015, UNISEL telah menjadi tuan rumah kepada mesyuarat penyelidikan antarabangsa dengan beberapa universiti terkemuka Jepun, UPM dan UMT untuk menilai geran penyelidikan antarabangsa yang bernilai USD 5 juta.

10. Tahniah kepada Profesor Dr Kushairi Rajuddin, pakar marin ekologi UNISEL yang telah memimpin pertemuan yang bersejarah ini. Saya juga ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Profesor Madya Dr. Mohd Nazil, Dekan Fakulti Biomedik kerana terpilih mendapat anugerah tertinggi Chartered Scientist daripada Council Science United Kingdom tahun 2015. Beliau merupakan saintis pertama negara yang mendapat anugerah berprestij ini.

11. Bagi nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Dato’ Profesor Emeratus Dr. Latif Ibrahim, pengarah Bio IT UNISEL, dilantik sebagai ikon sains dan matematik negara untuk menggalakan lebih ramai anak muda Malaysia menerokai bidang sains. Beliau juga merupakan penerima pertama Tokoh Akademik Negara 2013.

12. Mahasiswa UNISEL juga cemerlang dalam pelbagai bidang. Dua pelajar tahun akhir Program Kejuruteraan telah dinobatkan sebagai antara pelajar terbaik dalam bidang kejuruteraan di Malaysia dan telah dianugerahkan gold medal IEM 2015.

13. Dalam bidang pengantarabangsaan, 12 pelajar UNISEL terdiri daripada Majlis Perwakilan Pelajar dihantar ke Australia untuk menandatangani MoU dengan Majlis Perwakilan Pelajar Western University of Perth. Pelajar-pelajar juga dihantar ke seminar pelajar universiti antarabangsa yang berlangsung di Hong Kong. Ketajaman berfikir dan kelantangan menyuarakan pendapat telah berjaya menarik perhatian penganjur. Pelajar dari Turki dan Indonesia telah mengadakan program pertukaran pelajar. Pada tahun ini, 26 orang pelajar dari Turki , Brunei dan Palembang telah berada di UNISEL selama sebulan dalam program pertukaran pelajar.

14. Namun, beberapa kejayaan yang telah dicapai jangan sekali-kali menyebabkan kita bersifat leka kerana cabaran masa depan UNISEL adalah besar. UNISEL perlu bersaing dengan universiti swasta yang lain untuk menjadi universiti pilihan pertama kepada pelajar dan ibu bapa untuk meneruskan pendidikan ke institusi pengajian tinggi.

15. Untuk mencapai maksud ini, graduan UNISEL perlu memiliki ciri-ciri kebolehpasaran. Penilaian sektor swasta perlu dijadikan “benchmark” kerana akhirnya graduan UNISEL akan menjadi rebutan industri dan juga yang lebih membanggakan kita semua ialah apabila graduan UNISEL juga berupaya mencipta pekerjaan.

16. Kebolehpasaran graduan bukan sahaja ditentukan oleh kursus-kursus yang mereka ikuti. Para graduan juga perlu memiliki “soft skills” seperti memiliki keyakinan dalam berinteraksi, kepetahan dalam bertutur, “resourceful” atau berkemampuan menyelesaikan masalah dalam segala suasana, mempunyai daya fikiran kritis dan lain-lain. Justeru itu, UNISEL perlu menyediakan persekitaran dan kegiatan pelajar yang meransang keyakinan diri, sikap kritis dan kebolehan berinteraksi dalam masyarakat yang bersifat kosmopolitan.

17. Kerajaan Negeri Selangor mahu UNISEL bangkit dan tampil untuk mendepani cabaran pendidikan global dengan merancang agar terus berkembang menjadi sebuah universiti serantau dengan menubuhkan kampus-kampus di negara jiran dan mengadakan kerjasama konstruktif dengan universiti-universiti terkemuka dunia. Untuk mencapai hasrat membina talent bank yang hebat, Selangor telah mengorak langkah untuk menjadi Hub Pendidikan Serantau (Regional Education Hub).

18. Saya yakin UNISEL mempunyai potensi kecanggihan teknologi dan inovasi bagi memenuhi permintaan industri yang mula beralih dari labour intensive kepada high technology and capital intensive industry.

19. Kerajaan Negeri melalui UNISEL berhasrat untuk meneroka konsep start up dalam bidang–bidang baru yang socially productive seperti latihan dan kemahiran tinggi untuk membangunkan talent bank. Dalam konteks ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada UNISEL yang telah menjalin kerjasama dalam bidang teknologi hijau dan automation, bidang automotif, keusahawanan, kejuruteraan kapal terbang dan teknologi pengeluaran makanan ternakan.

20. Litar lumba ujian yang akan dibangunkan di kampus Bestari Jaya akan mengupayakan lagi peranan Fakulti Kejuruteraan yang telah menempa nama dalam bidang automotif dengan memenangi pelbagai anugerah seperti Eco Challenge sejak tahun 2012, Petronas Cubprix, Perodua Eco Challenge dan perlumbaan kereta intervarsiti.

21. Penubuhan ASEAN Economic Community menuntut Negeri Selangor untuk menyahut cabaran global supaya connectivity perdagangan dapat menjana pertumbuhan dan memakmurkan masyarakat ASEAN. UNISEL boleh memainkan peranannya menghubungkan Kerajaan, industri, universiti dan masyarakat. UNISEL perlu menjayakan perhubungan serantau dengan menjayakan rangkaian ilmu serantau.

22. UNISEL turut menjayakan agenda Kerajaan Negeri dengan mengambil bahagian dalam penyelidikan seperti membangunkan inisiatif-inisiatif sistem pengurusan sosial, sistem penentuan tanda aras kemiskinan, pengurusan air sungai yang bersih, big data, sistem pengawasan dan keselamatan sosial, sistem pemantauan produk seperti hasil perkilangan dan pertanian.

23. Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu prasarana untuk berinteraksi dengan rakyat secara real-time yang dipanggil Citizen Pulse, yang antara objektif utamanya adalah supaya menjamin sistem penyampaian yang efektif.

24. Amat kerap pelajar dan ibu bapa mengeluh tentang keadaan asrama, perpustakaan, makmal dan lain-lain kemudahan yang memerlukan perhatian segera untuk membina persekitaran pembelajaran yang produktif. Kerajaan Negeri komited untuk meneruskan beberapa projek pembangunan bagi mencipta persekitaran kampus yang kondusif dan produktif. Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 60 juta pada tahun lepas untuk baikpulih sistem pembetungan dan baikpulih asrama pelajar. Bagi tahun 2016, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah peruntukan pembangunan bagi UNISEL yang akan diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor pada 30 Oktober 2015.

25. Dengan rasa tawadhu’, saya mengakui bahawa kita tidak mempunyai semua jawapan kepada semua permasalahan. Akan tetapi, pentadbiran ini lebih responsif dan hands on. Kami turun ke lapangan, kami terjun dan kami terjah, kami dengar keluhan pelajar.

26. Namun begitu, pelaburan Kerajaan Negeri harus disertai dengan anjakan paradigma dalam pengurusan universiti. Meskipun UNISEL adalah milik kerajaan negeri tetapi ia perlu berjalan seperti sebuah universiti swasta, bergelut dengan persaingan yang sengit. Perancangan strategik perlu meliputi aspek pergerakan universiti ke arah financial autonomy.

27. UNISEL perlu mencipta waqaf atau “endowment”nya agar universiti memiliki kekuatan kewangan untuk pengembangan dan pembesaran universiti di masa hadapan. Kunci kepada pembinaan endowment ini adalah para graduan UNISEL sendiri. Graduan yang berjaya akan berterima kasih dengan alma maternya sendiri dan akan memberikan sumbangan untuk kejayaan masa depan universiti ini disamping penyertaan pihak swasta yang patut menyumbang bagi melahirkan modal insan yang cemerlang.

28. Akhir sekali, saya mengajak seluruh keluarga UNISEL dan para graduan untuk bersedia melakukan anjakan paradigma yang diperlukan untuk membina masa depan yang gemilang bagi universiti ini.

29. Kepada para graduan, saya mendoakan semoga saudara-saudari akan mendapat keberkatan Allah SWT dengan limpahan ganjaran duniawi dan ukhrawi serta bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar dengan tekad dan keazaman yang utuh.

Terima Kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh