[UCAPAN] Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk & Zon Bersih JKP MPSJ 2015

Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat berhimpun bersama-sama untuk meraikan komuniti Subang Jaya yang komited untuk memastikan kelangsungan Subang Jaya sebagai sebuah bandar yang bersih, hijau dan ‘liveable‘ kepada rakyat. Kehidupan bandar yang sihat, konsep kejiranan hijau dan tahap livibility yang tinggi merupakan faktor yang signifikan ke arah merealisasikan Subang Jaya sebagai sebuah Smart and Livable City.

Sebagai mukaddimah, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada MPSJ yang baru sahaja menerima Anugerah Smart City Innovative Applications Award 2016 di Taipei World Trade Centre pada 22 Mac 2016 dan merangkul Anugerah The Green Era Award 2015 sempena Persidangan Green Ecconomy Forum 2016 pada 4 April 2016 di Berlin, Jerman.

Ini bukanlah kali pertama MPSJ diberikan pengiktirafan oleh badan dunia dan masyarakat antarabangsa. Anugerah ini membuktikan komitmen MPSJ yang konsisten dan inovatif dalam pelaksanaan inisiatif hijau untuk mewujudkan perbandaran yang mampan, meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat serta memupuk semangat dan kesedaran awam yang cintakan kebersihan dan keindahan.

Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri bukan sahaja untuk membangunkan perbandaran tetapi juga komuniti di Negeri Selangor. Strategi perancangan bandar bukan sahaja responsif terhadap tuntutan pembangunan dan pertumbuhan tetapi mestilah berteraskan citizen centric engagement yang merupakan komponen terpenting dalam gagasan Smart Selangor.

Sebagai langkah awal, MPSJ harus memberikan perhatian terhadap kecanggihan teknologi maklumat dan aplikasi internet of things dalam menentukan keutamaan atau smart solutions menerusi platform dan aplikasi yang membolehkan MPSJ dan agensi-agensi Kerajaan melakukan real-time monitoring terhadap aduan rakyat dan tindakan yang telah diambil dalam pelbagai isu termasuk isu kutipan sisa pepejal, trafik dan keselamatan.

Kaedah ini juga dapat membantu MPSJ melihat trend sesuatu masalah dan menjadikan KPI dalam penyelesaian masalah rakyat. Pada masa yang sama, expectation masyarakat yang tinggi terhadap sistem penyampaian MPSJ dapat ditingkatkan dan diperkemaskan.

Citizen centric engagement menuntut usaha ke arah pemberdayaan masyarakat. MPSJ harus menggunakan kesempatan ini untuk menggalakkan penglibatan rakyat dalam program-program kemasyarakatan termasuk menggerakkan komuniti untuk melibatkan diri dalam penyelesaian isu-isu seperti kesihatan, vandalisme dan keselamatan penduduk.

Engagement’ juga bermakna pemberdayaan penduduk yang membolehkan mereka berbangga untuk berada dalam kawasan kejiranan mereka.

Subang Jaya harus menjayakan idea ‘green cover’ atau ‘oxygen belt’ dalam aspek pembangunan taman dan lanskap di Subang Jaya. Pembangunan Taman Hijau pada hari ini bukan lah suatu pembaziran dan kemewahan namun ianya adalah kewajipan.

Atas dasar itu lah, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membangunkan Taman Rakyat yang hijau di Shah Alam. Hanya melalui pemempertingkatkan kelestarian dan kualiti hidup warga dan mempertingkatkan ekologi dan keindahan Negeri Selangor.

Akhirnya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada MPSJ dan warga Subang Jaya yang telah mengambil peranan yang cukup aktif bagi memastikan kelestarian bandar ini.

Semoga dengan kejayaan ini, MPSJ dapat meneruskan perkhidmatan perbandaran yang terbaik buat rakyat sekaligus mengangkat martabat Subang Jaya sebagai salah sebuah Smart City terkemuka di Negeri Selangor.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Anugerah Jawatankuasa Penduduk & Zon Bersih JKP Majlis Perbandaran Subang Jaya 2015.