Ucapan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)

Assalamualaikum warahmatullahhi wabarakaatuh. Salam Sejahtera.

1. Alhamdulilah, inilah julung kalinya saya dapat bersua muka dengan warga MITI. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri.

2. Setelah tiga bulan kita bertarung dengan penularan wabak COVID-19, kita bersyukur kerana pada hari ini Malaysia telah berada di tahap pemulihan (recovery). Tindakan segera Kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pematuhan kepada garis panduan WHO telah berjaya membendung penularan wabak COVID-19. Jumlah kes COVID-19 kini berada di tahap satu digit, dengan kebarangkalian yang kecil untuk peningkatan yang mendadak. Walhasil, Malaysia hari ini diiktiraf oleh dunia sebagai salah sebuah negara yang telah berjaya mengawal pandemik ini dengan berkesan hasil daripada keupayaan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan negara yang baik.

3. Kerajaan juga telah melaksanakan langkah-langkah proaktif untuk segera mencerdaskan ekonomi negara. Kita akui bahawa pandemik COVID-19 ini adalah krisis global yang telah mengundang the unintended consequences.

4. Sebagai sebuah ekonomi dagang yang signifikan dalam global supply chain, Kerajaan sekali lagi telah mengambil langkah yang proaktif dan berani untuk membuka semula ekonomi bagi melindungi pekerjaan, menjamin bekalan essential goods and services tidak terganggu dan merancakkan ekonomi domestik. Justeru, mendepani cabaran ekonomi pasca COVID-19, kita perlu melangkah cepat dan pantas melalui perencanaan Economic Recovery Plan dan merangka dasar-dasar strategik untuk mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing dan berimpak tinggi untuk menarik pelaburan yang berkualiti dan berimpak tinggi.

5. Inilah peranan dan tanggungjawab kita. MITI, jabatan dan agensi seperti MIDA, MATRADE, Invest KL dan MARii perlu menggalas amanah ini dengan komitmen yang tinggi. Dokongan pegawai dan warga MITI keseluruhannya amat penting bagi mendepani cabaran baharu ini untuk Malaysia melonjak ke tahap yang lebih tinggi – Malaysia yang resilient, maju, makmur dan bersatu.

6. Pegawai-pegawai yang gigih, rajin, cekap dan inovatif adalah pra-syarat terpenting untuk membantu usaha Kerajaan menjana semula ekonomi rakyat dan negara.

7. Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA yang bernilai RM295 bilion. PENJANA adalah satu pelan yang dinamik, peduli rakyat dan merupakan pemudahcara untuk merancakkan aktiviti perniagaan demi menjana kemampanan ekonomi.

8. PENJANA turut menawarkan pelbagai insentif buat pemangkin ekonomi negara dalam sektor PKS, Mid- Tier Companies dan perusahaan sosial.

9. Pandemik COVID-19 juga telah mendedahkan rakyat dan industri kepada keperluan untuk meningkatkan penggunaan teknologi digital.

10. Kita mesti membina segera infrastruktur digital yang lengkap untuk menerapkan teknologi baharu, improving public services, empowering industry’s digitalisation and enriching people’s lives.

11. Justeru itu, kita harus menyambut perkembangan terbaharu ini dengan menggalakkan rakyat untuk menggunakan teknologi digital seluas mungkin. Kita harus membudayakan inovasi dan pengenalan teknologi baharu yang canggih dengan penekanan khusus untuk pembangunan ekonomi tempatan.

12. Inisiatif ini akan dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk warga tempatan sekaligus mengurangkan kebergantungan kita kepada buruh asing.

Saudara-saudari sekalian,

13. Kita sedar bahawa Malaysia tidak boleh memisahkan diri daripada ekonomi global. Namun, kita perlu terima hakikat ekonomi dunia sedang berubah ke arah deglobalisation and greater regionalisation. Justeru itu, kita perlu menangani gejala deglobalisation ini dengan bijaksana agar ekonomi, perdagangan dan pelaburan terus tumbuh dengan cerdas. Anjakan strategik yang perlu diambil adalah untuk merancakkan supply chain pada peringkat serantau.

14. Kita perlu melihat potensi ASEAN dengan penduduk yang dianggarkan sekitar 650 juta orang sebagai satu blok ekonomi yang besar yang boleh menjadi sumber pertumbuhan baharu untuk mengganti kehilangan daripada gejala deglobalisation. ASEAN perlu menjadi paksi kepada pembaharuan ini dan memperkukuhkan pertumbuhan serta kolaborasi serantau. Satu pasaran dagangan intra-ASEAN yang lebih dinamik dan inklusif perlu dibentuk untuk mengatasi cabaran ekonomi pasca wabak COVID- 19.

15. Cabaran COVID-19 sebenarnya membuka ufuk baharu kepada masa depan ekonomi Malaysia dan rantau ini. ASEAN telah sampai tahap matang untuk membuka era baharu ekonomi serantau yang dinamik dan mampan.

16. Ketidaktentuan yang disebabkan oleh penularan COVID-19 telah memberikan impak yang besar kepada perancangan Malaysia sebagai penganjur mesyuarat-mesyuarat APEC sepanjang tahun 2020. Namun begitu, MITI sebagai Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 kekal komited memikul tanggungjawab yang digalas dengan memastikan segala tugas dan inisiatif yang telah dirancang bagi APEC 2020 insyaallah dapat diteruskan.

17. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih saya kepada semua warga MITI dan agensi atas segala khidmat dan sumbangan yang telah diberikan dalam merancakkan pembangunan ekonomi negara. Tidak dilupakan kepada ahli keluarga warga MITI dan agensi atas sokongan padu dan menjadi tunjang kekuatan tuan-tuan dan puan-puan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik selama bertugas bersama MITI termasuklah sepanjang tempoh PKP sebagai barisan hadapan ekonomi negara atau economic frontliners. Tahniah dan terima kasih saya ucapkan.

18. Pada petang ini, kita akan meraikan 73 penerima APC untuk tahun 2019. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada 65 orang warga MITI dan lapan orang dari Jabatan Standard Malaysia.

19. Semoga pengiktirafan ini akan mencetus inspirasi kepada semua warga MITI dan agensi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang dan penuh dedikasi.

20. Akhir sekali, tahniah dan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua ahli jawatankuasa kerja majlis dan pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini.

21. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis APC MITI tahun 2019.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Article by Azmin Ali

Leave a comment