[UCAPAN] Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBPJ 2015 & Meraikan Pesara 2016

 

Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, kita dapat bersama-sama di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 MBPJ dan meraikan pesara bagi tahun 2016.

Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ucapkan tahniah dan syabas kepada 143 orang pegawai dan kakitangan MBPJ yang terpilih sebagai penerima anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2015. Harapan kita semoga pengiktirafan ini menjadi pendorong semangat dan kesungguhan semua untuk turut komited melaksanakan agenda dan aspirasi negeri demi merealisasikan gagasan Smart Selangor yang peduli.

Majlis malam ini juga adalah untuk meraikan keluarga besar MBPJ – seramai 23 orang kakitangan yang bersara pada tahun ini. Kita amat menghargai sumbangan saudara-saudari yang mencurahkan keringat dan daya fikir, bermula dari Petaling Jaya hanya sebuah “suburb” – pinggiran bandar – kepada Kuala Lumpur hingga kini telah menjadi sebuah bandaraya yang tersendiri.

Warga Petaling Jaya hari ini boleh berbangga dengan ‘PJ’ sebagai sebuah bandaraya, namun kejayaan ini pasti tidak boleh tercapai tanpa sumbangan saudara-saudari sekalian.

Pengalaman, kebolehan dan bakat yang dimiliki oleh para pesara adalah sungguh bernilai bagi Negeri Selangor.

Warga Petaling Jaya adalah golongan masyarakat yang amat demanding, dan tuntutan mereka bukan sahaja amat mencabar kemahiran dan kebolehan, tetapi juga mencabar dari segi kesabaran. Saya berharap MBPJ masih boleh mengambil manfaat dari kepakaran terkumpul warga pesara sekalian.

Sebagai sebuah bandaraya, saya pasti Petaling Jaya mempunyai ruang untuk menyalurkan bakat-bakat veteran. Kehadiran masyarakat pesara yang berpengalaman, profesional, berpendidikan tinggi dan bercita rasa urban juga merupakan suatu cabaran kepada bandaraya seperti Petaling Jaya kerana kita perlu memberikan perkhidmatan yang cekap dan pintar kepada mereka.

Satu dekad yang lalu, golongan pesara akan memilih untuk pulang ke kampung untuk bersara. Trend kini sudah bertukar. Majalah “Forbes” beberapa tahun lalu menerbitkan rencana bertajuk “Back to the City – for Retirement” : “Extensive mass transit options, an established health care system and an existing structure of social services are among the many factors that can make a city a surprisingly practical choice for retirement. But there’s also a lifestyle lure: Inner-city neighbourhoods are close to–even within walking distance of–cultural amenities like major museums, libraries, entertainment facilities and outdoor spaces like botanical gardens.”

Saya berharap MBPJ meneliti elemen-elemen yang disebutkan oleh rencana ini seperti sistem sokongan sosial, perkhidmatan kesihatan, muzium, perpustakaan, hiburan dan rekreasi agar bandaraya turut menjadi pilihan untuk warga pesara.

Selangor adalah negeri termaju di Malaysia, dan Petaling Jaya pula adalah daerah termaju di Selangor. Oleh itu, PJ mempunyai tanggungjawab untuk mendepani aspirasi Kerajaan Negeri. “PJ” itu sendiri merupakan satu ‘branding’.

Dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang lalu, saya telah menegaskan bahawa kita mahu melonjakkan pembangunan Negeri Selangor ke tahap baru melalui penyelesaian pintar atau smart solutions dan penggunaan Internet of Things yang berpaksikan rakyat atau citizen centric.

Smart Selangor bukan sahaja berkenaan teknologi dan infrastruktur, tetapi juga tentang kemampuan untuk menangani isu-isu kritikal dan keperluan harian rakyat seperti pembanterasan jenayah, pengurusan sampah dan sisa pepejal, pengangkutan, laluan trafik, perkhidmatan pekerjaan, pendidikan dan penjagaan kesihatan.

Melalui teknologi dan aplikasi smart solutions dalam penyampaian perkhidmatan, Pihak Berkuasa Tempatan mampu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh partisipasi rakyat. Saya yakin, sekiranya gagasan ini dapat diterjemahkan, ia pasti akan melonjakkan mutu kehidupan rakyat dan kualiti perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana di Negeri Selangor ini, kita mempunyai para penjawat awam yang sentiasa bersikap profesional, telus, bertanggungjawab dan berintegriti. Namun, sebagai sebuah Smart Government, kita harus terbuka untuk berdepan dengan expectation warga yang sentiasa meletakkan penanda aras yang tinggi terhadap mutu dan kualiti perkhidmatan kita. Ini sekaligus merupakan suatu proses pemberdayaan yang pastinya akan menghasilkan tadbir urus yang cekap dan efisien serta mutu dan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MBPJ 2015.

Sekian, terima kasih.