[UCAPAN] Majlis Tilawah Al-Quran Negeri Selangor 1437H / 2016M

 

  1.   Marilah kita bersama-sama memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan iradat-Nya dapat kita bersama-sama berhimpun dengan satu tekad untuk menyuburkan syiar Islam di Negeri Selangor, InshaAllah. Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor membuktikan iltizam Kerajaan Negeri untuk menjunjung Al-Quran sebagai kalam suci Allah SWT. Menjadi hasrat Kerajaan Negeri untuk mendidik masyarakat menghayati ajaran Al-Quran sebagai panduan kehidupan manusia demi kebahagiaan hidup  duniawi dan ukhrawi.
  1.   Mewakili Kerajaan Negeri Selangor, saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para huffaz dari Negeri Selangor yang berjaya menduduki tangga teratas di Majlis Menghafaz Al-Quran Kebangsaan baru-baru ini. Kejayaan ini mencerminkan kesuburan perkembangan Islam yang terpelihara di Negeri Selangor. Adalah menjadi harapan kita agar para peserta Majlis Tilawah Al-Quran yang berjaya mewakili Negeri Selangor ke peringkat kebangsaan nanti, akan meraih kejayaan yang sama.
  1. Perkembangan ini adalah selaras dengan tuntutan Islam melalui pengertian Al-Quran itu sendiri yang secara harfiah bererti ‘bacaan yang mencapai puncak kesempurnaan’. Kita dituntut untuk membaca Al-Quran dengan pembacaan yang terbaik selain mempunyai kefahaman yang syumul terhadap ajaran kitab suci tersebut.
  1. Tilawah Al-Quran selain daripada suatu ibadat juga merupakan salah satu seni teragung di dalam Islam. Justeru itu, aspek estetika dalam pembacaan Al-Quran merupakan salah satu seni yang menyelubungi dunia Islam dengan aspek keindahan suara dari zaman ke zaman. Aspek ini perlu dikembangkan dan dipergiatkan aktiviti taranum kerana aspek keindahan bacaan Al-Quran itu mempunyai dampak yang sangat mengesankan kepada pendengar.
  1. Umat Islam hari ini menghadapi pelbagai cabaran. Untuk menangani cabaran ini, kita perlu kembali kepada peranan Al-Quran yang menyeluruh. Ini bermakna Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca atau ditilawahkan, tetapi dihayati prinsipnya seperti nilai kebenaran, keadilan dan kasih sayang. Dengan pemahaman dan pelaksanaan nilai-nilai tersebut, InshaAllah kita akan dapat menampilkan Islam sebagai rahmatan lil alamin.
  1. Untuk menghayati gagasan tersebut, pemahaman Al-Quran harus berlandaskan ilmu. Semangat untuk mengikuti Al-Quran tanpa berlandaskan ilmu boleh menimbulkan kekeliruan. Ini disaksikan apabila segelintir anak-anak muda yang bersemangat tetapi tanpa pemahaman yang berlandaskan ilmu dan falsafah atau epistimologi yang betul untuk memahami Al-Quran, boleh terpedaya dengan propaganda IS dan gerakan militan lain, yang kononnya ingin mengikut Al-Quran.
  1. Justeru itu, kita perlu mengambil langkah untuk mengembangkan ilmu-ilmu Al-Quran yang telah berkembang sekian lama serta telah memberikan pencerahan kepada masyarakat dalam memahami mesej Islam yang sebenar. Ilmu-ilmu tersebut terkandung di dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar dan menjadi ikutan kepada mazhab ahli sunnah wal jamaah. Ilmu-ilmu yang berkaitan dengan usaha untuk memahami Al-Quran ini amat luas. Ianya mencakupi ilmu-ilmu alat seperti Bahasa  Arab dan nahunya, balaghah, asbabul nuzul dan lain-lain.
  1. Sesungguhnya khazanah Islam dalam bidang pemahaman Al-Quran sungguh luas dan kita perlu menggalinya dari kitab-kitab tafsir agung dan muktabar seperti Tafsir Al-Tabari, Tafsir Al-Qutubi, Tafsir Al-Razi, Tafsir Ibnu Kasir dan lain-lain. Kitab-kitab tafsir ini mengandungi lautan ilmu dan juga hasil daripada ijtihad para ulama besar untuk menjelaskan kepada umat tentang relevensi Al-Quran dengan semua zaman dan mencakupi bidang-bidang seperti hukum, falsafah, kerohanian dan lain-lain.
  2. Kita juga tidak boleh mengabaikan sumbangan mufassir semasa dan juga serantau yang memberikan panduan untuk mengaplikasikan mesej Al-Quran dalam konteks semasa dan masyarakat serantau.
  1. Sebagai rantau terbesar umat Islam, Asia Tenggara dan Nusantara mempunyai pengalaman yang kaya dan tersendiri. Ada cabaran yang kita hadapi berbeza dengan cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di rantau yang lain. Maka, kita memerlukan hikmah dan kreativiti untuk menyelesaikan masalah ekonomi, politik, sosial, pendidikan, dan pentadbiran. Umat Islam serantau perlu menerapkan nilai-nilai yang terdapat dalam Al-Quran bagi menghadapi cabaran tersebut, tetapi kita harus melaksanakannya secara berhikmah dan kreatif.
  1. Tema tilawah Al-Quran tahun ini, “Umat Bermuafakat Negeri Berkat” perlu digarap secara menyeluruh kerana Al-Quran sendiri menganjurkan muafakat dan perpaduan. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 103 :

 

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;”

( Surah Ali Imran : 103 )

 

  1. Tatkala berdepan dengan cabaran dan krisis dalam berbagai bidang seperti politik, ekonomi dan lain-lain yang mencengkam umat Islam dan rakyat keseluruhannya di dalam negara ini, kita perlu mewujudkan muafakat di atas prinsip yang jelas di dalam Al-Quran dan mencari titik temu kepentingan bersama dan kebajikan untuk rakyat terbanyak sebagai keutamaan.
  1. Kita perlu mengenepikan ego, kepentingan sempit kumpulan dan kabilah, dan sikap bengkeng. Marilah kita bersama-sama mencari jalan penyelesaian. Kita yakin sekiranya kita bersungguh-sungguh dan ikhlas, Allah SWT akan memberikan kita petunjuk seperti firmanNya dalam surah Al-Ankabut, ayat ke 69 :

 

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

 

( Surah Al Ankabut : 69 )

  1. Menurut Imam Al-Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, pembelajaran agama dan Al-Quran harus diimbangi dengan pembelajaran ilmu-ilmu dunia. Sekiranya di dalam sesebuah kampung itu semua penduduk kampung hanya mempelajari agama dan tidak wujud pembelajaran perubatan, maka seluruh kampung akan berdosa. Tegasnya, mempelajari ilmu dunia adalah fardu kifayah bagi umat Islam dan ilmu agama adalah fardhu ain.
  1. Atas tuntutan ini, maka Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 52 juta untuk membina Maahad Tahfiz Integrasi Sains dan Teknologi (MITS) di Pandan dan Bagan Lalang. Kedua-dua buah MITS ini dijangka siap pada tahun 2018 dan akan menempatkan 600 orang pelajar dengan kurikulum yang bersepadu.
  1. Pelbagai ikhtiyar telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk merealisasikan pembangunan umat Islam dengan menjadikan Al-Quran sebagai teras.  Usaha ini perlu didorong melalui penciptaan golongan berkerjaya profesional yang berpandukan Al-Quran. Usaha ini adalah sebahagian daripada agenda memasyarakatkan Al-Quran dalam kehidupan seharian.
  1. Saya berkeyakinan penuh, dengan adanya usaha yang berterusan dari pihak Kerajaan Negeri dalam melaksanakan pelbagai program dan aktiviti berorientasikan Al-Quran, ia mampu menjadi wadah terbaik untuk melahirkan para ilmuan Muslim yang menguasai ilmu-ilmu agama dan ilmu-ilmu duniawi dengan baik dan berimbang.
  1. Mudah-mudahan rasa cinta terhadap Al-Quran di kalangan masyarakat kita akan menebal dan kian meningkat dari masa ke semasa. InshaAllah, jika umat Islam berjaya melaksanakan tuntutan ini sudah tentunya umat Islam akan menjadi umat yang terunggul dan dicontohi oleh seluruh masyarakat dunia.
  1. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1437H / 2016M.

 

Article by Azmin Ali