Ucapan Mesyuarat Ketiga Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kedua Belas Tahun 2010

Tuan Speaker,

1.Saya ingin menyertai perbahasan Belanjawan 2011 Selangor Darul Ehsan yang dibentangkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada hari Isnin yang lalu.

2.Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Deepavali Nal Valthukal kepada semua rakyat Negeri Selangor yang meraikan Hari Deepavali dan juga Salam Eidul Adha untuk umat Islam.

3.Hari Deepavali atau Diwali merupakan satu perayaan cahaya menandakan kemenangan menegakkan keadilan dan menentang kezaliman.

4.Manakala, Eidul Adha menuntut kita untuk patuh kepada tuntutan Allah SWT dan bersedia berkorban tanpa keraguan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail.

5.Atas semangat inilah kita berhimpun di Dewan ini untuk patuh kepada Tuhan, berkorban dan berjuang untuk menegakkan keadilan dan menentang kezaliman UMNO dan Barisan Nasional.

6.Inilah tanggungjawab yang digalas oleh YAB Dato’ Menteri Besar pada hari ini. Kedudukan dan amanah ini adalah Taklifun Wala Tasrifun. Tanggungjawab dan bukan keistimewaan.

7.Keupayaan YAB Dato’ Menteri Besar mengurus ekonomi Negeri Selangor dengan telus dan bertanggungjawab telah dicemburui oleh Sungai Panjang. Semakin lama saya mendengar perbahasan Sungai Panjang, semakin celaru perwatakannya.

8.Sungai Panjang memuji bajet Najib yang dibentangkan pada pertengahan bulan Oktober 2010 dengan menyatakannya sebagai bajet peduli rakyat. Persoalannya rakyat mana yang dipedulikan?

9.Ekonomi tidak boleh dipacu dengan hanya menghapuskan cukai seluar dalam berjenama. Ekonomi akan berkembang sekiranya pimpinan punyai upaya, ‘political will’ untuk perangi rasuah, memulihkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman dan urus tadbir kerajaan yang telus dan baik, meningkatkan daya saing bagi menarik pelabur asing dan juga pelaburan dalam negara. Kesemua kriteria ini tidak disentuh oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2011.

10.YAB Dato’ Menteri Besar Selangor memberikan perhatian khusus terhadarp prinsip-prinsip urus tadbir kerajaan yang baik, konsep ‘value for money’, pendemokrasian rakyat Selangor termasuk meluluskan Akta Kebebasan Maklumat, program kepedulian rakyat termasuk Skim Kredit Mikro yang terkandung dalam Fasa 3 Merakyatkan Ekonomi Selangor.

11.Sungai Panjang cuba mengelirukan Dewan dengan menyatakan bahawa Negeri Selangor mengalami defisit sebanyak 10%. Saya ingin merujuk kepada Lampiran V Penyata Akaun Hasil Disatukan yang terkandung dalam halaman 97 Laporan Ketua Audit Negara. Belanjawan 2009 adalah RM1.4 bilion manakala perbelanjaan sebenar mencatatkan RM1.9 bilion. Defisit Bagi Tahun 2009 yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara ialah RM65.9 juta. Jumlah ini tidak mewakili 10% defisit seperti yang didakwa oleh Sungai Panjang.

12.Sungai Panjang juga mendakwa bahawa Kerajaan Negeri terlalu kerap membawa Bajet Tambahan dalam Dewan seolah-olah Sungai Panjang tidak mengamalkan pendekatan itu.

13.Saya pernah menegur Kerajaan Negeri supaya unjuran yang dibuat untuk bajet perlulah menepati prinsip dan amalan urus tadbir kewangan yang telus dan bertanggungjawab. Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri juga perlu berbelanja secara berhemah mengikut bajet yang diluluskan dan perlu menyediakan kertas-kertas EXCO mengikut jadual yang ditetapkan dan bukannya secara tergesa-gesa.

14.Walaubagaimanapun, nasihat saya ini tidak boleh menutup dosa-dosa yang turut dilakukan oleh Sungai Panjang.

15.Pada tahun 2007, Sungai Panjang meluluskan peruntukan tambahan berjumlah RM202 juta dengan pecahan belanja mengurus berjumlah RM127 juta berbanding dengan belanja pembangunan hanya RM74 juta.

16.Merujuk kepada fakta yang tidak boleh dipadamkan, pada tahun 2008, YAB Dato’ Menteri Besar memohon peruntukan tambahan berjumlah RM178 juta sahaja dengan pecahan belanja mengurus RM20 juta dan belanja pembangunan untuk rakyat Selangor melonjak kepada RM158 juta.

17.Sungai Panjang sekali lagi mengelirukan Dewan ini dengan menyatakan Kerajaan Negeri tidak berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang menyalurkan bantuan kewangan kepada Sekolah Rendah Agama di Negeri Selangor. Memang benar Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan kewangan kepada Sekolah-Sekolah Rendah Agama di Negeri Selangor. Apa yang tidak dijelaskan oleh Sungai Panjang ialah Kerajaan Pusat menyekat bantuan kewangan kepada Sekolah-Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negara atas alasan SAR adalah sarang-sarang ekstremis yang mendidik anak-anak membenci UMNO. Tanggapan sempit Dr. Mahathir yang disokong UMNO menyebabkan kemajuan anak-anak Islam di SAR disekat dan dizalimi.

18.Atas kesedaran bahawa pendidikan agama dan kerohanian adalah asas kepada kemajuan sesebuah tamadun, maka YAB Dato’ Menteri Besar dengan sokongan teman-teman seperjuangan dari PAS dan DAP telah meluluskan peruntukan tahunan berjumlah RM6 juta untuk SAR di seluruh Negeri Selangor.

19.Dakwaan bahawa Kerajaan Pusat lebih bermurah hati dengan Kerajaan Negeri melalui kenaikan peruntukan MARRIS juga adalah tidak berasas dan cuba mengelirukan rakyat. Pertambahan peruntukan MARRIS adalah ekoran skop kerja dan kategori jalan yang bertukar dengan memasukkan juga jalan-jalan pertanian dan jalan-jalan kampung.

20.Pada hari ini, saya ucapkan tahniah kepada kepimpinan YAB Dato’ Menteri Besar yang telah berusaha untuk membentangkan Belanjawan Berimbang 2011 untuk tiga tahun berturut-turut dengan bertemakan ‘Hasil Negeri Untuk Rakyat’. Keupayaan Kerajaan Negeri menguruskan ekonomi dengan baik dan bertanggungjawab memungkinkan kita untuk meneruskan Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor dalam Fasa 3 dengan penumpuan diberikan kepada 3 perkara iaitu Skim Kredit Mikro, Skim Kesihatan Wanita dan Takaful Orang Kelainan Upaya (OKU).

21.Bagi Fasa Ketiga MES, peruntukan RM50 juta untuk Skim Kredit Mikro SKIMSEL yang bakal memberi fokus kepada kumpulan-kumpulan sasaran di luar Bandar. Skim Kredit Mikro Miskin Bandar atau MIMBAR bakal dibentuk dengan peruntukan RM20 juta.

22.Peruntukan RM1 juta untuk membantu kaum wanita menjalani pemeriksaan kanser payudara secara percuma. Manakala, Skim Takaful OKU bakal dimasukkan bersama Skim Mesra Usia Emas, bagi memperluaskan capaian skim ini.

23.Saya juga tertarik dengan usulan YAB Dato’ Menteri Besar yang merangka 4 strategi dalam usaha untuk merealisasikan pengagihan kekayaan negeri secara adil kepada rakyat Selangor.

24.Strategi memantau pengurusan perbelanjaan yang cekap adalah prinsip pertanggungjawaban yang menjadi asas kepada Kerajaan Negeri. Saranan YAB Dato’ Menteri Besar untuk membenarkan syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor membuat pelaburan di luar negara adalah langkah yang ‘forward looking’ sebagai satu pendekatan yang boleh meningkatkan hasil negeri Selangor.

25.Namun begitu, perlu juga dipantau supaya tidak berulang amalan khianat dan salah guna kuasa seperti yang dilakukan oleh pentadbiran lama. Sebagai contoh, pembelian hartanah ‘Al Marwa Tower Makkah, Saudi Arabia’ oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan jumlah transaksi sebanyak RM25.6 juta bagi pembelian 12 unit pangsapuri hartanah.

Industri Kecil dan Sederhana

26.Saya menyambut baik langkah Kerajaan Negeri untuk menggalakkan sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan mewujudkan Pusat Pengumpulan Produk dan pengenalan produk melalui Projek “Satu Kampung Satu Produk”. Latihan keusahawanan untuk meningkatkan kemampuan masyarakat dalam hal ehwal pemasaran, pengurusan akaun, pembungkusan dan urusan memproses juga merupakan langkah pro-aktif Kerajaan Negeri.

27.Namun, saya ingin menganjurkan supaya IKS ini bukan ditumpukan takrifan kepada industri kampung sahaja tetapi IKS yang berasaskan kepada teknologi maklumat, sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan ‘call center’ out-sourcing, industri komponen untuk sektor pembuatan.

28.‘Skim payung’ yang diperkenalkan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika Menteri Kewangan adalah satu konsep yang dapat dicontohi oleh Kerajaan Negeri untuk membantu pengusaha-pengusaha IKS berkembang maju. Ini akan melibatkan syarikat besar seperti GLC dengan kedudukan kewangan dan kepakaran yang tinggi membantu menyelaraskan operasi dan pemasaran serta latihan kemahiran dan pengurusan kepada IKS.

29.Taiwan dan Korea Selatan mampu menghadapi Krisis Kewangan Asia 1997-1998 kerana industri sokongan IKS yang kukuh. Tindakan proaktif Taiwan yang memperkenalkan Statute for Small and Medium Enterprise Development yang meliputi soal pembangunan ekonomi, sumber manusia, kestabilan sosial dan pembangunan perkhidmatan awam merupakan asas utama untuk pembangunan IKS yang mampan.

30.Perkembangan IKS berkait rapat dengan polisi ekonomi, sosial dan pendidikan. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor harus berusaha untuk meningkatkan iklim pelaburan ke dalam negeri dan meningkatkan teknologi IKS. Sebagai sebuah negeri maju, Negeri Selangor akan kehilangan competitive edge dalam industry yang labour-intensive. Justeru itu, Kerajaan Negeri harus bersiap siaga dengan perubahan paradigma IKS ini dan mula mengambil pendekatan untuk pemodenan dan peningkatan teknologi IKS. Insentif berbentuk pelepasan cukai, penggalakkan R&D, latihan sumber manusia, automation of production dan pemuliharaan alam sekitar merupakan tunjang utama untuk pembangunan masa hadapan IKS di Negeri Selangor.

Alam Flora

31.Dalam sesi yang lalu, saya telah bangkitkan rungutan rakyat mengenai prestasi perkhidmatan yang tidak memuaskan oleh Alam Flora.

32.YAB Dato’ Menteri Besar telah mengesahkan bahawa maklumbalas yang diterima dari rakyat melalui sesi rundingan awam untuk menggubal Agenda Rakyat Selangor mendapati rata-rata rungutan rakyat adalah terhadap mutu perkhidmatan buruk oleh Alam Flora dalam kutipan sampah.

33.Apa yang dinanti oleh rakyat Selangor adalah penyelesaian untuk menangani masalah ini yang sudah berlarutan terlalu lama. Sudah sampai masanya, kontrak Alam Flora dengan PBT tidak dilanjutkan. Saya mencadangkan Kerajaan Negeri melalui Worldwide Holdings Berhad (WHB), mengambil alih operasi Alam Flora dan memberikan perkhidmatan yang memuaskan berdasarkan konsep ‘value for money’.

34.Saya dimaklumkanbahawa WHB telahpun mengkaji beberapa teknologi baru pelupusan sampah yang selamat dan berjaya dilaksanakan di beberapa buah negara maju.

35.Kerajaan Negeri perlu segera memberikan komitmen kepada WHB untuk memulakan operasi bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat Selangor.

Skim Kredit Mikro

36.Kerajaan Negeri melancarkan Skim Kredit Mikro yang dikenali sebagai SKIMSEL dengan peruntukan RM50 juta yang memberi fokus kepada kumpulan sasar di luar Bandar.

37.Saya difahamkan bahawa perlaksanaan skim ini telah dimulakan di Sabak Bernam. Saya ingin mendapatkan penjelasan bilakah skim ini dapat dilaksanakan di daerah-daerah yang lain? Saya berharap perlaksanaan skim ini dapat disegerakan untuk membantu kumpulan sasar di daerah-daerah lain memajukan perniagaan kecil masing-masing. Saya difahamkan peruntukan lebih setengah juta telah disalurkan oleh Menteri Besar (Pemerbadanan) untuk maksud ini.

38.Saya juga menyambut baik usaha YAB Dato’ Menteri Besar member peruntukan RM20 juta untuk menangani isu kemiskinann dalam Bandar melalui program MIMBAR Selangor. Namun, saya difahamkan program ini akan hanya dilancarkan pada awal tahun 2011.

39.Saya amat berharap supaya amalan birokrasi dapat diminimakan dan penyaluran skim ini kepada kumpulan saasr di bandar dapat dilakukan segera tanpa perlu ada acara-acara perasmian dan pelancaran yang lebih berbentuk ceremonial dan pembaziran.

Penyelesaian Hutang Syarikat Kumpulan Talam

40.Dewan ini telah berulang kali dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengenalpasti aset dan hartanah Syarikat Kumpulan Talam bernilai RM392 juta sebagai penyelesaian hutang syarikat berkenaan kepada Kerajaan Negeri.

41.Daripada kutipan hutang ini sejumlah RM70 juta diperuntukkan untuk SKIMSEL dan MIMBAR Selangor.

42.Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri, daripada jumlah keluasan tanah yang telah dikenalpasti yang dikatakan bernilai RM392 juta, berapa peratus daripada aset ini akan dijual sendiri oleh Syarikat Kumpulan Talam dan berapa peratus oleh Kerajaan Negeri?

43.Saya tidak bersetuju sekiranya Syarikat Kumpulan Talam membebankan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti pembeli-pembeli hartanah untuk menyelesaikan hutangnya kepada Kerajaan Negeri sedangkan syarikat berkenaan hanya berpeluk tubuh.

44.Yang kedua, saya juga ingin mengetahui apakah isu nilai tanah yang didakwa oleh Syarikat Kumpulan Talam bernilai RM392 juta telah selesai dan disahkan oleh pihak yang berwajib memandangkan maklumat awal yang saya terima terdapat nilaian tanah lebih tinggi daripada harga pasaran.

Bekalan Air Selangor

45.Kajian National Water Resource Study (NWRS) berdasarkan kaedah ‘economic growth projection’ mendapati bahawa pengguna di Lembah Kelang menggunakan 500 liter per kapita sehari. Angka ini jauh lebih tinggi daripada bandar-bandar maju seperti London (100 liter), Sydney (214 liter) dan Singapura (328 liter). Ketepatan angka ini perlu dikaji semula untuk mengelakkan tanggapan bahawa Negeri Selangor akan menghadapi krisis air.

46.Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memulakan usaha untuk meningkatkan kapasiti air di Negeri Selangor bagi menampung permintaan per kapita dan juga permintaan industri. Antara langkah yang perlu diberikan perhatian ialah membangunkan sumber air baru termasuk teknologi baru untuk mendapatkan air bawah tanah dan juga air sungai.

47.Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri juga perlu menjalankan kajian menyeluruh mengenai kapasiti air dan angka permintaan air di Negeri Selangor.

48.Program penjimatan air melalui Kempen Konservasi Air atau Penyimpanan Air termasuk mempromosi kegiatan tadahan air hujan merupakan langkah yang baik. Pengurangan pembaziran air juga dapat dilaksanakan dengan mempromosikan kitar semula air, mengumpul dan memproses air hujan.

Keselamatan Rakyat

49.Langkah pemasangan ‘closed circuit television’ (CCTV), lampu-lampu jalan di kawasan kediaman yang memadai serta ‘safety mirrors’ kadar indeks jenayah telah menurun sebanyak 43.4% di kawasan sekitar Majlis Bandaraya Shah Alam.

50.PBT harus bekerjsama dengan pihak polis untuk menubuhkan beat base polis, polis bergerak dan pasukan penguatkuasa kerajaan tempatan untuk memantau kawasan-kawasan hotspot dengan kadar jenayah yang tinggi seperti di bandar-bandar besar seperti Petaling Jaya, Subang Jaya, Ampang Jaya dan sebagainya. Inisiatif MBPJ membentuk khidmat Polis Tambahan (auxillary police) harus dipanjangkan kepada PBT-PBT yang lainnya untuk mewujudkan pembaharuan menangani kes-kes jenayah.

51.Saya menyambut baik usaha Kerajaan Negeri untuk memperuntukkan sejumlah RM6 juta kepada Kerajaan Tempatan bagi tujuan pemasangan CCTV dan meningkatkan pencerahan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

52.Saya ingin bertanya mengenai status pemasangan CCTV di lokasi bersesuaian di setiap PBT daripada peruntukan sebanyak RM3 juta yang diluluskan menerusi Bajet Negeri Selangor 2010. Saya juga ingin mengetahui samada CCTV tersebut sudah beroperasi dan adakah ianya membantu menurunkan kadar jenayah di lokasi-lokasi terbabit.

53.Saya juga difahamkan bahawa Kerajaan Negeri telah menganugerahkan kontrak melalui tender terbuka untuk projek pemasangan CCTV bersepadu di seluruh Negeri Selangor. Kontrak ini telah dianugerahkan hampir setahun yang lalu tetapi masih belum dilaksanakan ekoran kegagalan pihak yang berwajib untuk menyediakan ‘contract agreement’,. Saya ingin mendapat maklumbalas daripada Kerajaan Negeri berhubung status kontrak ini memandangkan keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi dan usaha meningkatkan keselamatan rakyat tidak boleh dilengah-lengahkan.

Perumahan Rakyat

54.Saya menggesa supaya Kerajaan Negeri dapat melihat perkembangan terbaru pasaran hartanah di Selangor dan Lembah Kelang yang melonjak naik.

55.Harga-harga rumah kediaman semakin mahal sehingga rakyat tidak mampu memiliki rumah sendiri untuk keluarga masing-masing.

56.‘Landed property’ menjadi mahal ekoran kekurangan tanah untuk dibangunkan khususnya di Lembah Kelang dan Kuala Lumpur.

57.Maka, industri pembangunan hartanah berpindah ke Negeri Selangor untuk meninjau peluang pelaburan bagi industri hartanah.

58.Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberikan kelulusan segera untuk strata development bagi menangani masalah pasaran hartanah yang tidak mampu dikuasai oleh rakyat biasa. Usaha ini akan dapat menurunkan harga rumah-rumah kediaman dan menyediakan rumah-rumah mampu milik. Usaha ini juga dapat menjana aktiviti ekonomi dalam Negeri Selangor dan meningkatkan hasil bagi PBT memandangkan cukai pintu untuk kondominium lebih tinggi daripada landed property. Manakala menjimatkan kos operasi penyelenggaraan dapat dikurangkan kerana ditanggung oleh JMB.

Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang

59.Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang merupakan projek utama dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor. Projek jajaran sungai sepanjang 120km (80km dalam Negeri Selangor) akan memacu pertumbuhan pusat perdagangan, komersil, ekonomi serta pembangunan sosial.

60.Empat syarikat telah dianugerahkan kerja-kerja untuk pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang iaitu TSS-Mako Engineering Sdn Bhd (TSS-Mako), GJA Engineering & Construction (GJA), Wessex Water i-Berhad Consortium (Wessex Water) dan DPZ Asia Sdn Bhd (DPZ) melalui inisiatif PPF seperti yang tercatat dalam surat penganugerahan kontrak.

61.Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada Kerajaan Negeri berhubung status perlaksanaan projek ini yang telahpun dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk membuka “new growth area” dalam sektor tanah dan pelancongan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

62.Apakah benar Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk mengubah kaedah pembiayaan projek daripada PPF (Public-Private Funding) kepada PFI (Private Funding Initiative) sehingga menyebabkan syarikat-syarikat yang terlibat menghadapi masalah kewangan untuk membiayai projek ini.

Perkhidmatan Awam

63.Kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor melaksanakan dasar-dasar kepedulian rakyat semenjak Mac 2008 adalah kerana dokongan yang kuat dari penjawat-penjawat awam di Negeri Selangor. Penjawat-penjawat awam di Negeri Selangor telah bekerja dengan kuat dan komited untuk menyokong YAB Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan reformasi dalam pentadbiran Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

64.Selaku Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan, saya amat hargai sokongan besar penjawat-penjawat awam di Negeri Selangor dalam melaksanakan dasar-dasar yang diluluskan di Dewan ini.

65.Kerajaan Negeri perlu terus memberikan galakan dan dorongan kepada penjawat-penjawat awam untuk bersama-sama membangunkan Negeri Selangor.

66.Untuk maksud ini, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberikan insentif kepada penjawat-penjawat awam khususnya Pegawai-Pegawai Daerah di Negeri Selangor.

67.Saya difahamkan jabatan Perkhidmatan Awam melalui Waran Perjawatan memberikan gred PTD M54 kepada semua Pegawai-Pegawai Daerah berbanding dengan gred lama dengan dua aras iaitu M1 (Gred M54) bagi daerah-daerah besar dan M2 (Gred M48) untuk daerah yang lebih kecil.

68.Penyelarasan skim gaji ini disambut baik. Namun, bagi Daerah-Daerah Metropolitan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan melebihi 1 juta orang, beban tugas dan tanggungjawab yang perlu digalas oleh Pegawai-Pegawai Daerah adalah besar dan mancabar.

69.Di atas beban tugas yang mencabar untuk mentadbir Daerah Metropolitan seperti Petaling, Gombak, Hulu Langat saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Negeri memberikan insentif kewangan tambahan berdasarkan perbezaan skim gaji di antara Gred M54 dan JUSA C.

Penutup

70.Sementara kita bersidang dalam keadaan yang aman dan damai, bagi pihak BBC saya menyeru supaya kita mengambil masa sejenak untuk berkongsi dan menzahirkan rasa sedih kita dengan nasib yang menimpa puluhan ribu saudara kita di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dilanda musibah banjir. Langkah segera Kerajaan Negeri Selangor yang telah meluluskan sumbangan berjumlah RM100,000 kepada Kerajaan Negeri Kedah sebagai bantuan utnuk mangsa banjir amatlah dialu-alukan dan menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri.

71.Kita juga kaget dengan malapetaka letusan gunung berapi Gunung Merapi di Jawa Tengah yang mengakibatkan ratusan ribu orang terpaksa dipindahkan serta juga kehilangan nyawa. Saya menyeru syarikat-syarikat korporat serta GLC milik Kerajaan Negeri untuk turut sama membantu meringankan beban mangsa-mangsa di utara tanah air dan di tanah seberang dalam menghadapi bencana ini. Semoga Allah S.W.T. memberi kekuatan kepada mereka untuk menghadapi dugaan dan malapetaka ini.

72.Belanjawan 2011 YAB Dato’ Menteri Besar memberikan manfaat dan kebaikan terus kepada rakyat dan membangunkan masyarakat Negeri Selangor. Undi BN unuk Pembangunan sudah menjadi mitos.

MOHAMED AZMIN ALI
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa
10 November 2010

Comments: 3

Comments are closed.