[ UCAPAN ] PELANCARAN PERSIMPANGAN BERTINGKAT SEKSYEN 7, SHAH ALAM

J2  J3  J1

Hari ini kita dapat melihat satu lagi mercu tanda yang akan meningkatkan connectivity dan mobility bagi pengguna jalan raya khususnya warga Shah Alam.

Pembangunan yang pesat berkembang di Shah Alam dan Daerah Petaling telah melebihi kemampuan kapasiti sistem pengangkutan sedia ada. Keadaan ini menuntut pembangunan infrastruktur seperti persimpangan bertingkat ini bagi membantu penyuraian aliran trafik yang kian meningkat.

Projek infrastruktur  yang bernilai hampir RM50 juta dan diterajui oleh MBI ini pastinya akan memberi nilai tambah kepada pertumbuhan dan pembangunan sosio ekonomi yang sedang rancak berlangsung di Shah Alam sebagai Ibu Negeri Selangor.

Kajian awal Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor mendapati peningkatan jumlah pemilikan kenderaan yang tinggi di kalangan rakyat menyebabkan peningkatan trafik yang pesat dan jajaran jalan raya yang tidak mampan. Sebahagian besar daripada masyarakat masih memilih pengangkutan persendirian untuk bergerak.

Kerajaan Negeri menyedari kepentingan mewujudkan jaringan jalan raya yang mencukupi bagi memenuhi keperluan waktu puncak dengan peningkatan trafik.

Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor juga komited untuk melaksanakan penambahbaikan interconnectivity pengangkutan awam ke semua kawasan lingkaran Selangor dan Kuala Lumpur.

Sebagai langkah permulaan, Kerajaan Negeri telah menyediakan ‘feeder bus’ melalui perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri cukup yakin, penambahbaikan ke atas sistem pengangkutan awam dan sistem jaringan jalan raya yang mampan akan membantu sistem penyuraian trafik termasuk merealisasikan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan persendirian iaitu 60:40.

Bagi memenuhi keperluan pembangunan sosial dan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sejumlah RM373 juta bagi tahun 2016 kepada JKR Negeri Selangor bagi membiayai pembangunan projek infrastruktur dan kemudahan awam. Ia adalah peningkatan sebanyak RM53 juta berbanding tahun 2015.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM199.2 juta disediakan bagi melaksanakan projek membina dan menaiktaraf jaringan jalan raya dengan melaksanakan kerja – kerja menaiktaraf Persiaran Mokhtar Dahari di Daerah Petaling Jaya dengan kos pembangunan sebanyak RM150 juta dan membina Jalan Sambungan Kota Warisan, Sepang dengan kos pembangunan sebanyak RM109 juta.

Berdepan pelbagai cabaran pembangunan semasa, Kerajaan Negeri lebih proaktif untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian rakyat. Kita akan memastikan setiap pembangunan atau aktiviti pemajuan yang akan dilaksanakan di Negeri Selangor bersifat peduli rakyat dan bermanfaat kepada rakyat.

Oleh yang sedemikian, Kerajaan Negeri senantiasa bersedia untuk berbincang dengan rakyat dalam sesi dialog dan pendengaran awam. Kerajaan Negeri juga mengingatkan Kerajaan Pusat untuk berunding dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang projek dan aktiviti pemajuan selaras dengan peruntukan Seksyen 20 (a) Akta Perancangan Bandar & Desa 1976.

Pembukaan persimpangan bertingkat pada hari ini diyakini mampu memberi peningkatan kepada nilai hartanah di kawasan sekitar. Apatah lagi, pembangunan perumahan yang rancak serta pelbagai prasarana yang tersedia akan menjadikan Shah Alam sebagai sebuah kota yang kosmopolitan.

Kelebihan ini pastinya menarik minat para pelabur asing dan tempatan untuk mengembangkan perniagaan di Negeri Selangor. Selari dengan gagasan Smart Selangor, pembangunan Shah Alam yang lestari dan berpaksikan rakyat akhirnya akan menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang rencam di Negeri Selangor.

Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat, Seksyen 7, Shah Alam.