MESYUARAT KETIGA, PENGGAL KETIGA PARLIMEN KEEMPAT BELAS

DEWAN RAKYAT

PENGGULUNGAN OLEH MENTERI KANAN MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

23 NOVEMBER 2020

Tuan Yang Di-Pertua,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang menyentuh isu-isu di bawah tanggungjawab Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Perkara-perkara yang telah dibangkitkan merupakan isu-isu penting yang berkait rapat dengan peranan utama MITI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan serta meningkatkan eksport barangan dan perkhidmatan negara ke pasaran global.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia baru- baru ini, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar pada suku ketiga 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak 2.7 peratus. Penguncupan kadar KDNK yang jauh lebih kecil pada suku ketiga tahun ini berbanding suku kedua 2020 iaitu -17.1 peratus mencerminkan kegiatan ekonomi yang meningkat dengan ketara. Ini berikutan pembukaan semula ekonomi selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keadaan permintaan luaran yang lebih baik. Prestasi perdagangan negara juga meningkat pada suku ketiga tahun ini, di mana jumlah perdagangan, eksport dan import merekodkan pertumbuhan masing-masing sebanyak 17.3 peratus, 24 peratus dan 9.6 peratus berbanding suku kedua tahun 2020. Lebihan dagangan pula melonjak 118.6 peratus.
  • Selain daripada itu, langkah Kerajaan mengimbangi live and livelihoods telah mengukuhkan keyakinan pelabur. Hasil daripada itu, pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi telah menunjukkan peningkatan sebanyak 110.4 peratus iaitu daripada RM22.1 bilion pada suku tahun kedua kepada RM46.5 bilion pada suku tahun ketiga. Secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari hingga September 2020, pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama adalah berjumlah RM109.8 bilion, melibatkan 2,935 projek dan dijangka akan dapat mewujudkan lebih daripada 64,701 peluang pekerjaan. Daripada jumlah tersebut, pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak 38.8 peratus yang bernilai RM42.6 bilion.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Teguran Yang Berhormat Langkawi mengenai usaha- usaha untuk memudahcara dan mempercepatkan proses kelulusan projek pelaburan serta lesen pengilangan untuk menarik lebih banyak pelaburan mendapat perhatian serius dari Kerajaan.
  • Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam menyediakan ekosistem yang kondusif melalui penambahbaikan dan pengukuhan tatacara serta proses kelulusan projek-projek pelaburan baharu dan sedia ada.
  • MITI bersama-sama Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa memperkenalkan insentif dan galakan bagi syarikat-syarikat dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan yang terkesan daripada pandemik COVID-19 dan juga konflik perdagangan di antara Amerika Syarikat dan China. Usaha proaktif ini dapat memastikan pelabur sedia ada kekal beroperasi, sekaligus berpotensi untuk berkembang dan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.
  • Sebagai contoh, pada awal November 2020, Western Digital, syarikat pengeluar peralatan storan digital terkemuka bersetuju menambah pelaburan RM2.3 bilion bagi meningkatkan kemudahan dan kapasiti pengeluaran di Malaysia. Ini menjadikan nilai keseluruhan pelaburan Western Digital di Malaysia berjumlah hampir RM18 bilion. Pelaburan tambahan ini akan memberi manfaat ekonomi kepada negara selain membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 penduduk tempatan.
  • Untuk makluman Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini, sehingga September 2020, MIDA telah mengenalpasti sebanyak 97 projek yang berpotensi untuk memindahkan (relocate) atau mengembangkan operasi mereka ke Malaysia.
  • Daripada jumlah tersebut, 37 projek berjumlah RM9.2 bilion dari sektor pembuatan dan perkhidmatan telah diluluskan dalam tempoh Januari hingga September 2020. Kelulusan tersebut merangkumi projek-projek dalam sektor elektrikal dan elektronik, jentera dan logam, logistik, kimia dan bahan termaju serta industri berasaskan sumber seperti kayu dan kertas dari syarikat-syarikat yang berpengkalan di China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Singapura dan Switzerland.
  • MIDA sedang giat melakukan rundingan dengan syarikat- syarikat multinasional dari negara China, United Kingdom, Amerika Syarikat, Taiwan, Australia, Jepun, Jerman, Switzerland dan Korea Selatan untuk memuktamadkan pemindahan operasi (relocation) bagi 54 projek yang berjumlah RM 21.1 bilion bermula suku tahun pertama 2021.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Yang Berhormat Pekan mencadangkan agar konsep green lane diwujudkan untuk memudahcara proses kemasukan pelabur asing.
  • Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri pada 14 September 2020, telah bersetuju supaya ditubuhkan One Stop Centre (OSC) bagi memudahcara urusan kemasukan Pelawat Perniagaan. Penubuhan OSC ini terdiri daripada tiga (3) komponen utama iaitu:
  • Jawatankuasa OSC yang dianggotai oleh MITI, MIDA, Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan untuk menilai dan mempertimbangkan permohonan kemasukan Pelawat Perniagaan dalam masa tiga (3) hari bekerja;
  • Business Traveller Centre (BTC) yang menyediakan perkhidmatan pegawai pengiring dan makmal ujian COVID-19 di BTC untuk memudahkan kemasukan pelawat perniagaan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); dan
  • Laman web khas yang mengandungi maklumat dan khidmat nasihat untuk memudahkan kemasukan pelawat perniagaan.
  • Setakat 20 November 2020, Jawatankuasa OSC telah menilai sebanyak 2,243 permohonan Pelawat Perniagaan Jangka Panjang, di mana sebanyak 2,146 permohonan telah diluluskan dan 97 tidak dipertimbangkan di atas pelbagai faktor. Daripada jumlah permohonan yang diterima, sebanyak 1,225 (55 peratus) permohonan adalah untuk kategori Profesional Visit Pass (PVP) dan 1,018 (45 peratus) adalah di bawah kategori Pas Penggajian (Employment Pass).
  • Bagi permohonan Pelawat Perniagaan Jangka Pendek di mana keberadaan mereka di dalam negara adalah selama 14 hari dan kurang, MIDA sedang melaksanakan penambahbaikan Sistem MyEntry bersama Jabatan Imigresen dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad. Kategori Pelawat Perniagaan Jangka Pendek adalah Potential Investors, Existing Investors (Business owners / board members without Employment Pass), Business Customers dan Technical Experts for emergency/breakdown cases.
  • MITI senantiasa komited untuk menarik pelaburan baru dalam industri berimpak tinggi dan berteraskan teknologi. Antara usaha yang sedang giat dijalankan adalah:
  • Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (National Committee on Investments – NCI) sebagai Jawatankuasa pelulus pelaburan tunggal negara yang bermesyuarat setiap minggu, di mana semua penilaian dan kelulusan pakej pelaburan berkaitan insentif cukai dan geran di peringkat nasional dipusatkan. Bagi tempoh Mac hingga September 2020, sebanyak 1,054 projek yang bernilai RM66.9 bilion telah diluluskan dan dijangka akan menjana sejumlah 44,354 peluang pekerjaan. Ini termasuklah insentif status Multimedia Super Corridor di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), status Bionexus di bawah Bioeconomy Corporation dan Insentif Projek Pengeluaran Bahan Makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI);
  • meluluskan Lesen Pengilang secara fast track melalui platform digital e-ML (e-Manufacturing Licence) untuk industri yang tidak sensitif dalam tempoh dua (2) hari bekerja semenjak 1 Julai 2020. Menerusi mekanisma e-ML, sebanyak 312 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM22.9 bilion bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Oktober 2020; dan
  • penubuhan Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) di MIDA untuk memudahcara urusan dengan pelbagai agensi yang berkaitan dalam menyegerakan pelaksanaan projek pelaburan di Malaysia bermula dari 1 Julai 2020. Setakat 31 Oktober 2020, sejumlah 185 projek (46 peratus) daripada 398 projek pengilangan yang diuruskan oleh PACU, telah mula dilaksanakan.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Yang Berhormat Pontian membangkitkan kewajaran untuk berbincang semula mengenai Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPPA) berikutan kemenangan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat.
  • Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) bukanlah sesuatu yang baharu kepada Malaysia. Sehingga kini, negara telah menandatangani 16 FTA di mana 14 FTA tersebut telah berkuatkuasa. Sebagai sebuah negara perdagangan, Malaysia menikmati pelbagai manfaat daripada FTA, yang antara lain adalah penghapusan dan pengurangan tarif untuk barang-barang dagangan yang dieksport, penurunan halangan bukan tarif (non- tariff barrier), harmonisasi standard industri dan peraturan teknikal serta peningkatan fasilitasi perdagangan untuk industri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pedagang-pedagang Malaysia. FTA juga menyumbang kepada pengukuhan integrasi syarikat-syarikat tempatan dalam rantaian nilai dan bekalan global (global supply and value chain) untuk lebih berdaya saing di persada antarabangsa. Justeru, para pelabur asing akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan kerana akan dapat memanfaatkan peluang ini melalui FTA.
  • Kerajaan akan memantau perkembangan dasar perdagangan antarabangsa Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Washington DC yang baru.
  • Walaupun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah bersetuju untuk meratifikasikan CPTPP namun tidak menetapkan sebarang tempoh. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil pendirian bahawa sebagai sebuah negara perdagangan, penyertaan Malaysia dalam setiap FTA termasuk CPTPP adalah berdasarkan kepada prinsip kedaulatan negara terpelihara, free and open trade and investment, serta memelihara kepentingan pembangunan lestari industri tempatan.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Yang Berhormat Kubang Pasu ingin mengetahui inisiatif yang diambil oleh Kerajaan dalam menarik pelaburan luar untuk menjana peluang pekerjaan.
  • Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka dan mesra pelabur, Kerajaan akan terus memastikan pengaliran masuk pelaburan asing berkualiti dan berimpak tinggi ke dalam negara yang akan dapat mencipta pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat tempatan. Seiring dengan komitmen ini, MITI akan terus melaksanakan inisiatif-inisiatif seperti berikut kepada syarikat bagi kelulusan Lesen Pengilang dan pemberian insentif:
  • jumlah guna tenaga sepenuh masa hendaklah sekurang- kurangnya 80% rakyat Malaysia merangkumi kakitangan pengurusan, teknikal dan penyeliaan, dan melaksanakan program latihan industri (internship) dengan institusi pengajian tinggi tempatan;
  • menyasarkan peningkatan keupayaan pekerja tempatan menerusi penambahbaikan geran latihan di bawah Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) dengan nisbah padanan geran oleh Kerajaan ditingkatkan kepada 70 peratus; dan
  • melaksanakan ‘MIDA Apprenticeship Programme’, bersama Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menyediakan tenaga kerja tempatan terlatih mengikut keperluan dan kehendak pihak industri.
  • Belanjawan 2021 juga mencadangkan inisiatif-inisiatif tambahan seperti berikut:
  • Dana Strategik RM1 billion sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi untuk menarik pelaburan berkualiti, berasaskan penyelidikan dan penggunaan teknologi-teknologi baharu seperti machine learning, kecerdasan buatan (Artificial Intelligence);
  • Lanjutan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh 5 tahun kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia;
  • Galakan Cukai Istimewa kepada syarikat di sektor perkilangan yang ingin memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia di mana galakan cukai diperluaskan kepada sektor perkhidmatan terpilih seperti hab prinsipal dan maintenance, repair & overhaul (MRO); dan
  • MITI sedang merangka Misi Perdagangan dan Pelaburan tahun 2021 bermula dengan negara-negara seperti Singapura, Jepun, China dan Korea Selatan.

Tuan Yang Di-Pertua,

  • Negara sedang berhadapan dengan cabaran luar jangka akibat penularan pandemik COVID-19 yang telah merencatkan aktiviti ekonomi dunia. Justeru, tanggungjawab yang digalas oleh MITI dan agensi-agensi dalam mempromosikan perdagangan dan meningkatkan pelaburan menjadi semakin rumit dan mencabar. Namun, MITI akan terus bertekad untuk menerajui usaha-usaha memulih, memperkukuh dan mencerdaskan ekonomi serta meningkatkan daya saing syarikat-syarikat tempatan.
  • Belanjawan 2021 dapat dilihat sebagai kesinambungan usaha dan inisiatif-inisiatif pembaharuan Kerajaan Perikatan Nasional yang jelas berada di landasan yang betul dalam meningkatkan produktiviti dan tadbir urus negara. Teguh Kita, Menang Bersama. Bersatu Kita Demi Malaysia!