Ucapan Perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa INPENS Kali Ke 19

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini, kita menyaksikan kejayaan para graduan menamatkan pengajian di INPENS International College dalam bidang masing – masing.

2. Kejayaan yang diraikan pada hari ini juga adalah hasil dari pengorbanan dan doa ibu bapa demi memastikan anak – anak mereka berjaya dengan cemerlang. Kepada para graduan, jangan sesekali lupa pengorbanan ayah dan ibu.

3. Saya ingin berkongsi kegembiraan, di atas kejayaan para graduan pada hari ini, kerana kejayaan ini juga merupakan kejayaan bagi Negeri Selangor. Graduan INPENS pada hari ini adalah generasi yang akan mencorakkan masa depan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang maju dan peduli rakyat serta melonjakkan prestasi Negeri Selangor ke arah ekonomi yang berpendapatan tinggi.

4. Selangor merupakan negeri termaju di Malaysia dan industri moden menjadi daya tarikan kepada pelabur asing dan permintaan domestik. Selangor terus dikenal sebagai penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), iaitu sebanyak 23.5%. Pentadbiran Selangor hari ini komited untuk memperkukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri industri perdana di Malaysia. Keupayaan industri Selangor mesti mampu bersaing dengan negara rantau ini yang lebih maju seperti Singapura, serta provinsi yang lebih maju seperti Daerah Gyeonggi di Korea Selatan.

5. Jumlah penduduk Selangor seramai 5.8 juta orang hampir sama dengan jumlah penduduk Singapura. Keluasan bumi Selangor membuka ruang untuk membangun industri dan menjadi industrial power house.

6. Untuk memenuhi visi ini, Kerajaan Negeri komited untuk mendepani cabaran bagi melahirkan generasi muda yang memiliki kemahiran dalam pelbagai sektor industri moden. Berdasarkan perkembangan pada hari ini, 3.3 juta tenaga mahir diperlukan bagi menjana pelbagai sektor industri menjelang 2020.

7. Tahun ini adalah permulaan kepada perlaksanaan gagasan ASEAN Economic Community. Berhadapan dengan era AEC 2015, Selangor perlu mempunyai visi serantau dan melaksanakan “Internationalisation of Selangor”, sebagai satu strategi untuk terus mara ke depan. Pengantarabangsaan merupakan strategi yang dilaksanakan oleh Bavaria, negeri termaju di Jerman. Strategi ini memerlukan Selangor mengambil langkah – langkah agresif untuk memperoleh pelaburan luar dan dalam negara yang menggunakan teknologi tinggi dan pekerja berpengetahuan.

8. Kemakmuran dan daya saing industri hari ini mempunyai kebergantungan yang tinggi kepada pendidikan dan latihan. Justeru, sektor pendidikan dan latihan adalah faktor penentu kepada masa depan Selangor. Meninjau pengalaman dari Singapura dan Korea Selatan, negara – negara rantau ini yang telah berjaya melonjak dari ekonomi berpendapatan menengah kepada ekonomi berpendapat tinggi ; juga menunjukkan peranan penting pada kualiti dan keterampilan sumber daya manusia.

9. Oleh yang sedemikian, satu reformasi pendidikan perlu dilakukan bagi menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan (knowledge worker) dan berkemahiran (skilled worker). Kini, negara terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing yang murah. Dasar ini tidak membantu Malaysia untuk melakukan lonjakan menuju kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Sekiranya ini tidak dilakukan, Malaysia akan terperangkap dalam gejala “middle-income trap” seperti yang dialami oleh beberapa negara Latin Amerika dan Afrika yang pesat membangun dalam dekad 70 an dan 80 an.

10. Selangor mempunyai ruang untuk melakukan ikhtiyar dalam pendidikan dan latihan kemahiran. Apa yang telah dilaksanakan di INPENS hari ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor industri yang pesat membangun.

11. Namun begitu, segala inisiatif yang dilaksanakan ini masih tidak memadai bahkan masih jauh untuk memenuhi tuntutan industri dan cabaran tenaga kerja mahir di abad ke – 21. INPENS perlu dikembangkan lagi agar lebih ramai anak muda mendapat peluang latihan kemahiran, dan diperluas untuk menambah kemahiran – kemahiran baru yang diperlukan oleh industri.

12. Negeri Selangor sedang mengkaji dwi – sistem yang dilaksanakan di Jerman dan sudah diterima pakai oleh European Centre for the Development of Vocational Training (Cedefop) dalam melaksanakan pendidikan dan latihan vokasional atau Vocational Education and Training (VET). Dwi – sistem yang dilaksanakan di Jerman sejak enam dekad yang lalu telah berjaya melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor industri, perkhidmatan dan menjadikan Jerman sebagai ekonomi terkuat di Eropah dan keempat di dunia.

13. Melalui sistem ini, anak muda yang kurang berminat dalam bidang akademik dan berkebolehan dalam aspek kemahiran disalurkan terus ke pendidikan vokasional seawal umur 15 tahun. Latihan praktikal dan amali yang mereka perolehi di gedung industri membolehkan mereka memperolehi kepakaran dan menyertai tenaga kerja mahir ketika berumur 18 tahun.

14. Peranan sektor swasta dalam melaksanakan dwi – sistem di Jerman adalah penting. Bahkan penyertaan sektor swasta adalah kunci kepada kejayaan pendidikan dan latihan vokasional. INPENS kini telah melakukan kerjasama dengan Proton, Perodua, Toyota dan Suruhanjaya Tenaga. Malah, beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya turut menjadi rakan kongsi INPENS.

15. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi syarikat – syarikat dalam dan luar negeri yang beroperasi di Selangor yang boleh dijadikan rakan kongsi dalam program pendidikan vokasional dan kemahiran. Untuk maksud itu, saya mahu INPENS mengambil langkah yang lebih pro – aktif dan agresif untuk mendapatkan rakan kongsi di mana pelajar – pelajar INPENS boleh melakukan apprenticeship.

16. Negeri Selangor terletak dalam rantau yang paling pesat membangun dalam dunia. Kebangkitan Asia dalam beberapa dekad yang lalu merupakan pembangunan ekonomi yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia. Bank Pembangunan Asia mengunjurkan, jika trend ini berterusan menjelang tahun 2050, separuh dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia adalah datangnya dari Asia.

17. Pendapatan per kapita Asia akan meningkat sebanyak enam kali ganda dan mencapai paras yang dinikmati oleh Eropah hari ini. Dalam senario ini, KDNK Asia akan meningkat dari $16 trillion pada tahun 2010 kepada $148 trillion pada tahun 2050. Dengan menggandakan sumbangannya kepada KDNK dunia dari 27% pada tahun 2010 kepada 51% menjelang 2050, Asia akan kembali kepada kedudukan dominan dalam sektor ekonomi yang pernah dikuasainya 250 tahun yang lalu iaitu sebelum Revolusi Industri.

18. Namun, Bank Pembangunan Asia yang membuat unjuran ini mengingatkan pengalaman yang berlaku kepada beberapa buah negara di Latin Amerika dan Afrika yang mencapai pertumbuhan yang membanggakan dalam era 1970 an and 1980 an yang telah mencapai kedudukan negara pendapatan menengah, namun gagal untuk membuat lonjakkan untuk memasuki kumpulan negara berpendapatan tinggi. Negara – negara ini seperti Brazil dan Afrika Selatan terperangkap dalam middle income trap. Malaysia sendiri mungkin mengalami gejala middle income trap sekiranya kerajaan tidak melaksanakan dasar – dasar yang progresif untuk membolehkan ekonomi melonjak ke paras pendapatan tinggi.

19. Negara – negara yang terperangkap dalam middle income trap tersepit, tidak mampu bersaing dengan negara – negara berpendapat rendah, ekonomi bergaji rendah dalam eksport pembuatan dan tidak pula dapat bersaing dengan ekonomi maju yang berinovasi dan berkepakaran tinggi. Ketidakupayaan untuk melakukan transisi dari ekonomi yang didorong oleh sumber, buruh murah dan modal rendah, kepada ekonomi yang didorong oleh produktiviti akan menyebabkan negara seperti Malaysia terperangkap pada takuk ekonomi pendapatan menengah.

20. Dalam mengejar pertumbuhan 4 dekad yang akan datang, Selangor perlu menggunakan sepenuhnya potensi teknologi, inovasi dan keusahawanan yang amat kritikal. Sebelum ini, model pembangunan yang diamalkan adalah untuk mengejar, atau “catching-up” dengan negara – negara maju. Model ini telah usang dan tidak boleh digunakan lagi. Model baru yang perlu dilaksanakan adalah dengan beralih dari mengejar atau “catching-up” kepada keusahawanan bidang – bidang baru (frontier entrepreneurship) dan inovasi serta mencipta breakthrough dalam sains dan teknologi.

21. Keperluan terpenting untuk melakukan anjakan ini adalah melaksanakan pendidikan berkualiti yang mampu merangsang kreativiti di semua peringkat dan disokong oleh ekosistem yang mengasuh inovasi dan keusahawanaan.

22. Penguasaan beberapa bidang asas sains dan teknologi perlu terus digalakkan. Ini termasuk penguasaan bahasa Inggeris sebagai lingua franca untuk mendalami dan mengaplikasi bidang sains dan teknologi. Seterusnya, penguasaan beberapa “programming languages” untuk membolehkan automasi dan juga sebagai asas pembinaan ekonomi berasaskan “digital creativity”.

Penguasaan bidang – bidang ini akan memberdayakan generasi muda untuk menceburi sektor ekonomi baru yang berasaskan kos yang rendah tetapi bernilai tinggi seperti “computational engineering”, “computational finance”, “digital animation” dan “apps development”.

23. Bidang – bidang inilah yang telah berjaya menjadikan London dan New York sebagai “The Global Trade and Economic Centers” serta Silicon Valley sebagai “The Global Digital Creativity and Software Development Centre”.

24. Tidak mustahil untuk kita mencipta beberapa start-up communities serta ‘entrepreneurial ecosystems’ yang mendorong inovasi di Selangor yang setaraf dengan Boulder, Boston, New York, Seattle, dan Omaha. Ini akan mendorong minat “Venture Capitals” dari dalam dan luar negara untuk melabur dalam bidang – bidang digital baru berasaskan kreativiti yang diterajui oleh anak – anak Selangor.

25. Selaku negeri yang memiliki peratusan generasi muda yang paling tinggi, Selangor harus segera menggarap sumber daya manusia khususnya generasi muda yang memiliki tenaga, sarat dengan idea – idea baru yang boleh diterjemahkan kepada perniagaan, produk dan perkhidmatan.

26. Persekitaran atau ekosistem yang boleh membina startup communities perlu disediakan menerusi inisiatif baru untuk mewujudkan Shah Alam Youth City iaitu sebuah komuniti di Shah Alam yang akan dibina berasaskan konsep “Artistic and Business Cities” dan berteraskan “Healthy and Green Living”. Infrastruktur ini beserta beberapa program “startup communities” akan diwujudkan untuk memberdayakan generasi usahawan muda dengan modal dan kepakaran serta membina jaringan perniagaan dengan rakan – rakan usahawan dalam negeri dan juga serantau.

27. Menjadi harapan kita agar segala ikhtiyar ini akan memastikan Selangor kekal sebagai “The Economic Powerhouse of Malaysia” yang dipacu oleh generasi muda Negeri Selangor dan seterusnya mara sebagai sebuah kuasa ekonomi yang mampu bersaing di peringkat global.

28. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim , marilah kita bersama – sama menyempurnakan Perasmian Majlis Konvokesyen Kolej Antarabangsa INPENS ke 19.