[ UCAPAN ] Perasmian Majlis Menghafaz Al-Quran Negeri Selangor 2016

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Negeri Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terus berusaha untuk meningkatkan syiar Islam. Kerajaan Negeri memiliki iltizam untuk menyegarkan penyebaran kemurnian ajaran Islam agar pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan yang pesat terus berada di dalam landasan Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Saya yakin melalui program Menghafaz  Al-Quran Peringkat Negeri,  Selangor turut memberikan sumbangan dalam konteks menyemarakkan kefahaman umat Islam terhadap ajaran suci Al-Quran. Melalui program hafazan dan penyebaran ilmu-ilmu Al-Quran kita sebenarnya menyebarkan “berita gembira” kepada orang-orang beriman seperti firman Allah dalam Al-Quran dalam surah al-Isra’ :

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. (Surah Al-Isra’ : 9)

Ayat ini senantiasa mengingatkan kita bahawa prinsip dan nilai murni yang terkandung di dalam Al-Quran perlu digarap, dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Memuliakan Al-Quran melalui pembacaannya akan memberi petunjuk kepada umat manusia untuk menjalani kehidupan yang sejahtera dan harmoni.

Sesungguhnya, hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah Al Jumu’ah :

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata. (Surah Al-Jumu’ah : 2)

Rasulullah SAW telah diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa manusia keluar daripada zaman kegelapan berpandukan kitab suci Al-Quran yang sarat dengan hikmah dan pencerahan. Maka, perintah dari Allah SWT itu boleh dirangkumkan dalam tiga perkara :

  • Pembacaan ayat-ayat Al-Quran (Tilawah Al-Quran) di mana Al-Quran sarat dengan hidayah dan bimbingan (al-Rashad) ;
  • Menerusi pembacaan Al-Quran, umat manusia akan muncul sebagai golongan yang bersih jiwa (azkiya’ ul-qulub) serta mempertingkatkan keimanan. Purification of hearts ;
  • Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah adalah pancaran nur yang memberi pedoman dalam aspek aqidah, syariah dan akhlak manusia.

Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir Al-Munir menyatakan Al-Quran sebagai kitab suci yang memberi kebaikan serta petunjuk duniawi dan ukhrawi yang menyucikan diri umat manusia (tazkiyyah al-nafs) dari dosa dan akhlak jahiliyyah. Ia juga adalah sumber kepada segala pengetahuan dan hukum hakam dunia.

Oleh yang sedemikian, Al-Quran perlu menjadi teras dalam dasar pentadbiran dan pembangunan. Alhamdulillah, falsafah pentadbiran dan pembangunan Negeri Selangor dilaksanakan berdasarkan tuntutan Al-Quran :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan keadilan dan ihsan” (Surah An-Nahl : 90)

Menyedari hakikat falsafah pembangunan negeri adalah berlandaskan tuntutan Al-Quran tentang keadilan dan ihsan, maka Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif untuk memperkukuh dan memastikan perkembangan ilmu-ilmu Al-Quran melalui institusi pendidikan yang khusus seperti pembangunan Maahad Tahfiz. Dalam pembentangan Belanjawan 2016 Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pembinaan 3 buah Maahad Tahfiz yang baru dengan kos berjumlah RM 18 juta.

Dari perspektif yang lain, Kerajaan Negeri juga melihat keperluan untuk mengintegrasikan ilmu hafazan Al-Quran dengan ilmu sains dan teknologi sejajar dengan prinsip Al Quran yang menggabungkan ilmu naqli dan aqli.

Sejarah telah membuktikan pada zaman keagungan tamadun Islam bahawa para ulama’ dan ilmuan muktabar seperti Ibnu Sina telah memulakan proses pendidikan dengan menghafaz Al-Quran semasa berumur 7 tahun dan mengakhiri kehidupannya sebagai ilmuan dalam bidang sains perubatan dan psikologi. Demikianlah juga dengan kewibawaan Al Biruni, seorang ahli astronomi, algebra dan ahli perbandingan agama.

Justeru kita yakin bahawa keberkatan hafazan Al-Quran boleh melahirkan ulama’ dan ilmuan yang mahir dalam pelbagai disiplin ilmu. Bagi merealisasikan cita-cita tersebut, dua buah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) akan dibangunkan mulai 2016 dengan kos RM52 juta. Insya Allah, Kerajaan Negeri juga akan menaiktaraf kemudahan di Maahad Tahfiz Darul Turath di Bagan Terap dengan peruntukan RM3 juta.

Kesemua projek yang saya sebutkan tadi menelan belanja RM73 juta, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan ilmu-ilmu Al-Quran di Selangor. Pembangunan Maahad Tahfiz ini adalah selaras dengan pelaburan besar Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan.

Kerajaan Negeri juga sedar akan ‘trend‘ permintaan yang tinggi dalam masyarakat Islam pada hari ini untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi pengajian Islam. Ini merupakan suatu perkembangan yang baik bahkan merupakan cabaran kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan peluang pendidikan Islam di negeri ini.

Sudah tentulah menjadi keutamaan bagi Kerajaan Negeri untuk bersama-sama menyemarakkan pendidikan Islam khususnya dalam usaha melahirkan generasi muda huffaz di Malaysia.

Namun begitu, Kerajaan Negeri juga sedar bahawa Al-Quran bukanlah semata-mata untuk dihafaz. Segala ilmu dan panduan yang terkandung dalam Al-Quran haruslah diterjemahkan dalam masyarakat. Justeru, menjadi cabaran buat Kerajaan Negeri untuk menjadi negeri peneraju bagi melahirkan golongan pentafsir-pentafsir muda atau mufassirun yang mempunyai kewibawaan ilmu tafsir yang komprehensif ; klasik dan kontemporari dari kalangan rakyat Negeri Selangor.

Saya cukup yakin, pemahaman yang mendalam terhadap ajaran Al-Quran yang universal mampu membawa kesatuan ke atas umat manusia khususnya umat Islam untuk berdepan dengan cabaran modenisasi pada hari ini.

Penekanan dalam bidang agama, khususnya Al-Quran sangat penting terutama apabila kita melihat krisis yang melanda umat Islam di dunia hari ini. Perbalahan antara mazhab kini berada di dalam keadaan yang sungguh membimbangkan sehingga kesatuan negara-negara Islam juga terpecah sehingga mewujudkan peperangan. Di tambah lagi keadaan politik yang tidak stabil sehingga umat Islam seperti di Syria terpaksa merintih-rintih bantuan dari negara Barat untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Sudah tentu semua keadaan ini memberikan imej yang gelap terhadap Islam itu sendiri. Kefahaman persaudaraan antara Muslim tidak lagi menjadi keutamaan dan soal kebebasan dan keadilan nampaknya tidak dihayati oleh pimpinan Islam di negara-negara tertentu. Dalam kegawatan ini, saya menyeru supaya kita semua kembali kepada pesan Allah SWT di dalam Al-Quran :

 

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya” (Surah An-Nisa’ : 59)

Kerajaan Negeri mahu seluruh rakyat Negeri Selangor agar dapat kembali menghayati Al-Quran dengan kesedaran bahawa Islam adalah agama yang mendorong persaudaraan (ukhwah) dan dakwah dengan jalan yang sederhana selaras dengan tema ‘Umat Bermuafakat, Negeri Berkat’.

Sejarah Islam yang sampai di Nusantara ini juga dengan jalan perdamaian, dan bukannya dengan jalan peperangan atau hujung pedang. Inilah kelebihan yang dimiliki oleh umat Islam di Asia Tenggara, dan keadaan yang membentuk budaya umat Islam di rantau kita ini harus pula dipertahan dan dikembangkan agar menjadi alternatif kepada gambaran imej Islam yang sedang tercalar mutakhir ini.

Dengan segala usaha yang kita lakukan ini, menjadi harapan kita untuk membangunkan semula sebuah model tamadun Islam dirantau Asia Tenggara dengan berpaksi kepada Al-Quran sebagai prinsip utama.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor bagi Tahun 1437H / 2016M.