Ucapan Perbahasan Titah Di Raja Yb Mohamed Azmin Ali | Bukit Antarabangsa

1 JULAI 2013

Puan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian, saya mohon izin untuk membawa suatu usul yang berbunyi seperti berikut :

Ampun Tuanku,

Patik – patik sekalian iaitu Speaker dan Ahli – Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang berhimpun memohon sembah terima kasih serta menjunjung kasih di atas Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bagi membuka dengan rasminya Mesyuarat Pertama Pembukaan Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas.

Saya menjunjung kasih atas Titah Tuanku Sultan Selangor tatkala Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang Ketiga Belas pada 28 Jun 2013 yang lalu. Hari ini saya tampil untuk membawa usul dan mengambil bahagian dalam perbahasan demi mengangkat suara rakyat dalam Dewan yang mulia ini.

Reformasi Dewan Negeri Selangor

1. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB Puan Speaker yang telah terpilih sebagai Speaker wanita yang pertama di negara kita. Saya yakin YB Puan Speaker dapat memimpin Dewan yang mulia ini ke arah memartabatkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Negeri Selangor.

2. Sebagai permulaan, saya ingin mencadangkan supaya Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor perenggan 22(2) yang mewajibkan setiap pertanyaan hendaklah dikeluarkan pemberitahunya oleh seseorang Ahli Dewan Negeri dengan bertulis tidak kurang daripada 21 hari daripada hari yang dikehendaki jawabnya dipinda kepada satu tempoh yang lebih munasabah.

3. Pertanyaan – pertanyaan mulut dan bertulis yang perlu dihantar begitu awal menyebabkan Ahli Dewan Negeri tidak dapat menggarap isu – isu semasa yang muncul sejurus sebelum sidang dewan bermula. Sebagai contoh, Ahli – Ahli Dewan Negeri tidak dapat mengemukakan soalan mengenai darurat jerebu yang melanda Negeri Selangor baru – baru ini.

4. Amalan negara – negara demokrasi maju seperti New Zealand dan Australia memperuntukkan tempoh masa kurang 3 hari bagi mengemukakan soalan lisan kepada Parlimen. Amalan ini dapat memastikan kepentingan rakyat dan negara yang berbangkit dapat dibincang dan dibahaskan dengan komprehensif di Dewan yang mulia ini.

Pasca PRU 13 – Reformasi Sistem Pilihan Raya

5. Alhamdulillah, rakyat Negeri Selangor terus memberikan mandat yang besar kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Kerajaan Negeri Selangor. Mandat ini adalah manifestasi rakyat yang menuntut dasar pentadbiran yang berteraskan prinsip tata kelola yang baik (good governance), kepimpinan yang berintegriti dan prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam membuat keputusan.

6. Pakatan Rakyat di Negeri Selangor telah berjaya meraih 1.04 juta undi dari 1.7 juta undi di peringkat DUN. Sementara itu, 298 ribu rakyat telah memberikan sokongan dengan memilih parti DAP, 367 ribu memilih parti PAS dan sejumlah 373 ribu rakyat telah memilih KEADILAN bagi menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan meneruskan kecemerlangan yang dikecapi sebelum ini.

7. Muafakat utuh di antara komponen Pakatan Rakyat di Selangor telah berjaya mencatatkan 60 % undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) yang hanya menerima 40 %. Peratusan ini memperlihatkan bahawa dukungan rakyat di Negeri Selangor terhadap Pakatan Rakyat meningkat sebanyak 4 % berbanding Pilihan Raya Umum 2008.

8. Sementara itu, Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan mendapat 51 % undi popular sementara sokongan kepada BN terus merudum kepada 47 %. BN terpaksa membentuk sebuah Kerajaan Minoriti.

9. KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat 51 % undi popular disebalik kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya yang ditaja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Isu dakwat kekal yang tidak kekal, orang asing diberikan kelayakan mengundi, lebih 60 000 orang pemilih berstatus ‘dubious voters’, wujudnya pengundi yang mengundi 2 kali, media yang tidak bebas dan sogokan wang tunai untuk membeli undi. Ini semuanya telah mencemarkan proses pilihan raya di Malaysia dan Dewan ini menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan.

10. Artikel 114 Perlembagaan Persekutuan berkenaan keanggotaan SPR dalam fasal (2) menegaskan peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

Fasal tersebut menyatakan :

“Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.”

11. Oleh kerana keyakinan rakyat sudah terhakis ekoran kecurangan dalam PRU – 13, maka Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR harus mengambil tanggungjawab moral untuk meletakkan jawatan masing – masing.

12. Saya ingin menarik perhatian Kerajaan Negeri berhubung Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberikan kuasa perundangan yang sama kepada Kerajaan Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di – Raja. Saya mendesak supaya Kerajaan Negeri segera menggunakan peruntukan ini bagi maksud menyiasat kecurangan dan penipuan dalam proses Pilihan Raya Umum ke 13 yang turut berlaku di Negeri Selangor. Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan. Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam.

13. Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini memberi perlindungan kepada saksi – saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan Pegawai – Pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR. Suruhanjaya ini juga diberikan kuasa undang – undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana – mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan sekiranya ingkar, maka waran tangkap boleh dikeluarkan. Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh UMNO untuk memaparkan berita – berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program – program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

14. Fungsi Suruhanjaya Siasatan Di – Raja ini dapat mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi – saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan Negeri. Justeru itu, saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Di – Raja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti – bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang – undang. Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia

15. Sebagai sebuah negara yang demokratik, pilihan raya yang bersih, adil dan telus adalah tunjang kepada pengukuhan demokrasi. Ketempangan sistem pilihan raya yang berlaku wajar diperbetulkan melalui agenda reformasi sistem pilihan raya. Pakatan Rakyat sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang menjunjung prinsip dan lunas – lunas demokrasi berperlembagaan tuntas mendukung usaha reformasi sistem pilihan raya.

16. Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada gerrymandering. Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan.

17. DUN Permatang dan DUN Seri Serdang mempunyai jumlah pengundi yang begitu besar perbezaannya. DUN Seri Serdang mempunyai jumlah pengundi seramai 72,769 orang sementara DUN Permatang mempunyai hanya 19,636 orang pengundi.

Ini berlaku apabila urusan persempadanan semula yang dilakukan selama ini tidak bersandarkan kriteria – kriteria tetap sejajar dengan lunas demokrasi.

18. Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor – syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR.

19. Boundary Commission for England diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan – kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun. Antara kriteria – kriteria yang menjadi pertimbangan adalah electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties. Garis panduan ini terkandung dalam Laporan Boundary Commission for England 2013.

20. Justeru, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menerajui usaha untuk melantik dan menubuhkan satu jawatankuasa yang professional dan berkredibiliti untuk meneliti dan memberikan syor – syor berkenaan urusan persempadanan bahagian – bahagian pilihan raya dalam Negeri Selangor.

Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA)

21. Saya percaya rakyat Negeri Selangor mengikuti perbahasan mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menandatangani Trans – Pacific Partnership Agreement (TPPA).

22. Sebanyak 17 pusingan rundingan telah dijalankan dengan negara – negara anggota yang lain. Dalam masa terdekat rundingan bagi pusingan ke 18 akan dijalankan di Negeri Sabah pada 14 Julai 2013 ini.

23. Adakah Kerajaan Negeri sedar bahawa TPPA mempunyai kesan langsung yang boleh menjejaskan perlaksanaan dasar Kerajaan Negeri ? Persoalan saya ialah apakah langkah – langkah proaktif yang telah dan akan di ambil oleh Kerajaan Negeri untuk terlibat secara langsung di meja rundingan ?

24. TPPA adalah satu daripada Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang bersifat pluri – lateral. Namun, lebih mencabar kerana ianya bukan sahaja melibatkan isu – isu pelaburan dan perdagangan tetapi juga instrumen – instrumen baru ekonomi seperti intellectual property rights, procument, buruh dan kedaulatan negara.

25. Daripada 29 bab dalam perjanjian, hanya 5 bab sahaja yang berhubung secara langsung dengan isu perdagangan dan pelaburan. Manakala selebihnya isu – isu baru yang sangat mencabar keupayaan dan kekuatan delegasi negara dalam mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan pengusaha – pengusaha tempatan khususnya dalam Industri Kecil dan Sederhana (SME) di Negeri Selangor.

26. Salah satu daripada 29 bab yang terkandung dalam TPPA adalah berhubung dengan bab perkhidmatan. Di bawah tajuk bab perkhidmatan, terdapat satu klausa yang bertajuk domestic regulation discipline dan klausa ini boleh memberi impak kepada dasar dan polisi Kerajaan Negeri yang sedia ada.

27. Antara lain, isu perlesenan yang dikeluarkan oleh PBT dan dasar industri dan perkhidmatan air yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri boleh menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri atas alasan non trade discriminatory yang dicadangkan oleh TPPA.

28. Ini menuntut supaya Kerajaan Negeri segera menyemak sama ada Kerajaan Negeri melalui Penasihat Undang – Undang Negeri telah menerima panggilan untuk proses perbincangan dan konsultasi bagi mendapatkan persetujuan Negeri khususnya dalam hal – hal yang berkait dengan bidang kuasa Negeri sebelum Kerajaan Persekutuan menandatangani TPPA.

29. Adalah sangat penting untuk konsep federalisme serta hubungan Persekutuan – Negeri dibangkitkan dalam membahaskan isu TPPA ini. Ini penting kerana setiap Negeri – Negeri di Malaysia akan menerima kesan langsung hasil daripada rundingan TPPA yang dipimpin oleh Kerajaan Persekutuan. Merujuk kepada jawapan lisan Menteri MITI di Dewan Rakyat pada 27 Jun 2013, YB Menteri menyatakan bahawa proses konsultasi telah berlangsung antara MITI bersama 19 buah organisasi NGOs, parti politik dan agensi – agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan. Namun tidak ada dinyatakan langsung tentang konsultasi dan perbincangan dengan mana – mana Kerajaan Negeri termasuk Kerajaan Negeri Selangor.

30. Antara perihal penting dalam rundingan perdagangan bebas antarabangsa seperti TPPA ialah elemen ‘Non Conforming Measures’ (NCM) yang mana Kerajaan yang mewakili negara perlu menyenaraikan ‘perkara yang dipersetujui’ oleh Kerajaan dan ‘perkara yang tidak dipersetujui’ oleh Kerajaan termasuklah ‘perkara yang dipersetujui oleh Negeri’ dan ‘perkara yang tidak dipersetujui oleh Negeri’.

31. Biarpun keputusan muktamad di tangan Kerajaan Persekutuan, namun adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan konsultasi dengan Kerajaan Negeri. Konsultasi ini penting kerana ianya termasuklah hal – hal yang berkait dengan klausa – klausa perlindungan seperti affirmative action dan hak Negeri untuk menerima atau menawarkan pelaburan asing ke Negeri tersebut.

32. Maka, Kerajaan Persekutuan perlu menghormati semangat federalisme dan pengasingan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus sedar bahawa persetujuan Kerajaan Negeri penting memandangkan setiap pelaburan asing atau domestik yang masuk ke Malaysia pastinya akan diurus dan diakomodasikan oleh Negeri. Maka Negeri berhak untuk menentukan apa yang ‘state exclude’ dan ‘state include’.

33. Justeru, saya akan menggesa Kerajaan Persekutuan dalam perbahasan saya di Dewan Rakyat supaya mengadakan proses konsultasi dengan Kerajaan Negeri termasuk Negeri Selangor diberikan keutamaan. Malahan, wakil – wakil Kerajaan Negeri perlu terlibat sama dalam proses rundingan TPPA ini khususnya kerana ia melibatkan hal – hal negeri seperti domestic regulation discipline yang terkandung dalam sektor perkhidmatan. Perlu diingatkan bahawa dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

34. Ini menuntut perbincangan dan konsultasi berlangsung kerana sebahagian besar hal perdagangan dan pelaburan melibatkan perkara – perkara yang tercatat dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti tanah, perancangan bandar dan desa, perumahan, kesihatan awam serta saliran dan pengairan. Di Amerika Syarikat, Kerajaan Persekutuan telah mengadakan rundingan dan perbincangan bersama Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan kedua – duanya. Ini semangat federalisme yang harus ada di Malaysia dan Negeri Selangor perlu menerajui semangat ini.

35. Sebagai langkah proaktif, saya juga mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya menerajui usaha perbincangan dan konsultasi ini dengan mewujudkan sebuah kaukus antara Kerajaan – Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat; Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk membuat satu ketetapan segera berkenaan hal – hal ini termasuk mendapatkan nasihat pakar dan profesional sebelum mengadakan konsultasi dengan Kerajaan Persekutuan.

36. Di samping itu, Kerajaan Negeri amat perlu untuk menuntut satu kerusi dalam Jawatankuasa Rundingan di peringkat pusat. Saya difahamkan kini terdapat 20 kumpulan kerja yang mewakili negara ke meja rundingan; 8 daripada MITI dan 12 daripada kementerian dan agensi – agensi kerajaan yang lain. Tidak ada wakil Negeri yang dilantik bagi bersama – sama membincangkan perkara penting ini.

Perbekalan Tambahan – Belanjawan

37. Kerajaan Negeri akan sekali lagi mengemukakan Perbelanjaan Perbekalan Tambahan berjumlah RM 761 juta dalam Mesyuarat kali ini.

38. Alasan yang diberikan adalah untuk beberapa perbelanjaan Kerajaan Negeri bagi maksud – maksud yang tidak diperuntukkan atau yang tidak diperuntukkan dengan secukupnya termasuk keperluan RM 165 juta untuk menampung bayaran Program Air Percuma, pemberian pinjaman berjumlah RM 413 juta untuk KDEB bagi tujuan pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), RM 24 juta sebagai pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi pelaksanaan projek – projek dan RM 76 juta untuk perbelanjaan bagi menampung kekurangan bagi projek – projek pembangunan yang sedang dilaksanakan.

39. Saya pernah menegur dalam Dewan yang mulia ini bahawa pengurusan kewangan yang baik adalah pengurusan yang berasaskan disiplin fiskal, perancangan kewangan dengan unjuran dan angka yang tepat serta perbelanjaan yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi negeri. Perbekalan tambahan dengan jumlah yang besar tidak seharusnya dibentangkan selain daripada berlakunya krisis ekonomi yang mendesak atau malapetaka besar seperti tsunami atau gempa yang menyebabkan unjuran asal tersasar dan menuntut Kerajaan menyediakan perbelanjaan luar jangka.

40. Jika disemak rekod selama 5 tahun Pakatan Rakyat mentadbir Negeri Selangor, mulai tahun 2008 sehingga 2012, peruntukan perbekalan tambahan yang diminta pastinya dibentangkan lebih daripada 1 kali setiap penggal. Malah pada mesyuarat bagi penggal ketiga, peruntukan perbekalan tambahan dibentangkan sehingga 3 kali.

41. Teguran saya ini adalah untuk mengelakkan daripada rakyat membina persepsi dan berpandangan bahawa Kerajaan Negeri tidak dapat merancang penggunaan wang Negeri dengan bertanggungjawab dan pengurusan kewangan yang jujur. Apatah lagi, ini adalah Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri. Apakah peruntukan yang diluluskan dalam Belanjawan yang lalu telah dibelanjakan sepenuhnya dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini ?

42. Apabila dewan bersidang untuk meluluskan Belanjawan Negeri pada setiap tahun, ianya adalah bertujuan secara prinsipnya untuk mendapat kelulusan rakyat melalui dewan bagi tujuan – tujuan pembangunan yang telah dirancang. Adalah amat malang sekiranya dalam setiap sidang dewan, Ahli – Ahli Dewan Negeri diminta untuk memberi kelulusan terhadap perbelanjaan perbekalan tambahan atas alasan perbelanjaan luar jangka. Ianya membayangkan bahawa Kerajaan Negeri telah memesongkan Dewan yang mulia ini dengan membentangkan Belanjawan yang berimbang tetapi 3 atau 4 bulan berikutnya tampil di Dewan dengan mengemukakan sejumlah perbelanjaan perbekalan tambahan yang akhirnya akan menjadikan Belanjawan Defisit bagi Negeri Selangor.

43. Saya mengambil maklum bahawa simpanan rizab Negeri telah meningkat kepada RM 2.5 bilion. Ini tidak bermakna Kerajaan Negeri boleh berbelanja tanpa perancangan yang baik dan pengurusan kewangan yang berhemah.

44. Banyak perkara perbelanjaan bagi tujuan kebajikan rakyat boleh dirancang dan dibajetkan setiap tahun tanpa perlu dikemukakan dalam dewan ini untuk kelulusan perbelanjaan perbekalan tambahan yang terlalu kerap.

45. Saya sedia maklum KDEB telah lama merancang untuk melakukan pengstrukturan korporat melalui pengambilalihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB). Persoalannya, mengapa dalam masa yang singkat dan diluar tempoh sesi Belanjawan Negeri yang mengikut amalannya diadakan pada suku tahun ke 4 setiap tahun, KDEB memberi notis yang singkat dan tergesa – gesa untuk mendapatkan pinjaman daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM 413 juta sehingga berlakunya keperluan untuk perbekalan tambahan dalam mesyuarat kali ini. Sekiranya pengstrukturan korporat ke atas KHSB ini mempunyai nilai yang tinggi dan bakal meraih keuntungan, saya percaya KDEB boleh mendapat pembiayaan dana dan kemudahan pinjaman dari sektor kewangan. Mengapa KDEB mengambil jalan mudah dengan membebankan Kerajaan Negeri melalui pinjaman yang merupakan wang rakyat Negeri Selangor ?

46. Keupayaan pengurusan sesebuah GLC diukur berdasarkan pengurusan yang cekap, berhemah dan tidak bergantung dengan dana Kerajaan sebaliknya peranan GLC adalah untuk menjana keuntungan dan mengembalikannya kepada rakyat melalui Kerajaan Negeri.

47. Sebagai contoh, Petronas hanya menerima modal berbayar berjumlah RM 10 juta pada tahun 1974 dan pada tahun – tahun yang berikutnya, Petronas mendapat pembiayaan dari sektor swasta dan sektor kewangan atas dasar pengurusan korporat yang berwibawa. Petronas menjana keuntungan melalui pembiayaan swasta dan kemudiannya mengembalikan keuntungan ini kepada rakyat melalui pembayaran dividen dan cukai kepada Kerajaan Persekutuan.

48. Berhubung Perbelanjaan Perbekalan Tambahan berjumlah RM 165 juta untuk menampung bayaran Program Air Percuma, saya ingin berhujah bahawa peruntukan sepatutnya telah dibajetkan dalam Belanjawan Negeri 2013 yang dibentangkan pada tahun yang lalu. Program Air Percuma telah dilaksanakan hampir 5 tahun yang lalu dan sewajarnya Kerajaan Negeri dapat membuat unjuran yang tepat dan bertanggungjawab berhubung kos program ini bagi setiap tahun. Sekiranya Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan isu penstrukturan industri air dengan Kerajaan Persekutuan lebih awal daripada jadual yang disasarkan, maka lebihan peruntukan boleh dimasukkan semula dalam Akaun Yang Disatukan Kerajaan Negeri bagi keperluan perbelanjaan di masa yang akan datang. Saya berhujah Kerajaan Negeri boleh mengelak dari membentangkan Perbelanjaan Perbekalan Tambahan sekiranya unjuran dan perancangan dibuat dengan bertanggungjawab.

49. Maka saya menggesa Kerajaan Negeri untuk lebih cermat mengimbangi keperluan pengstrukturan korporat dengan kepentingan membuat unjuran dan perancangan yang menyeluruh dalam Sidang Belanjawan Negeri bagi mengelakkan kekerapan perbelanjaan perbekalan tambahan dalam Dewan yang mulia ini.

Pembangunan Rakyat

50. Tuanku Sultan Selangor telah bertitah supaya perbelanjaan untuk infrastruktur diberikan keutamaan secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.

51. Pelaburan di dalam teknologi jalur lebar dan kemudahan internet berkelajuan tinggi perlu diperluas ke kawasan desa dan luar bandar. Hanya dengan teknologi maklumat kita dapat membina modal insan yang berilmu dan menolak kezaliman dan kemungkaran ekonomi dan politik.

52. Perbincangan dua hala antara saya dengan Yth. Bapak Ir. Jokowi, Gubernur DKI Jakarta baru – baru ini telah memperlihatkan bagaimana keupayaan beliau yang baru dipilih sebagai Gubernur Jakarta pada bulan Oktober 2012 telah berjaya memberikan tumpuan dan perhatian kepada pembangunan perumahan rakyat dalam skala yang besar dan juga menyelesaikan masalah pengangkutan awam melalui projek MRT yang dilancarkan pada bulan Mei 2013 yang lalu.

53. Pengalaman mengurus Mega City Jakarta yang mempunyai penduduk siang seramai 11 juta dan 5 juta berulang alik dari Kota Jakarta ke Kota Satelit di pinggir Jakarta amat mencabar pentadbiran Negeri Selangor supaya mengurangkan birokrasi dan menumpukan persoalan menyelesaikan masalah rakyat.

54. Bapak Jokowi yang dikenali sebagai pemimpin yang bersih dan melancarkan jihad rasuah telah dengan tegas dan berani memecat Wali Kota atau Datuk Bandar Jakarta Selatan yang dilihat tidak cocok dengan prinsip dan amalan pentadbiran yang telus dan bersih.

55. Perlantikan Datuk Bandar yang baru tidak lagi dibuat digedung atau hotel mewah, tetapi di kawasan perumahan rakyat yang usang dan penuh sampah sarap yang tidak dikutip. Bapak Jokowi menegaskan bahawa peranan Wali Kota adalah menggalas amanah rakyat supaya segera menangani masalah perumahan dan menjadikan Jakarta sebuah perbandaran yang bersih dan selamat.

56. Tuanku Sultan telah bertitah supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan. Penyediaan perkhidmatan bandar, infrastruktur dan utiliti yang berkualiti, perumahan mampu milik dan pengangkutan awam yang efisien perlu disediakan untuk mewujudkan persekitaran kehidupan bandar yang sejahtera dan berindentiti. Tuanku Sultan turut menegaskan PBT perlu pantas mengambil tindakan terhadap aduan – aduan rakyat dan sentiasa bersikap inovatif dan proaktif dalam melaksanakan sebarang perubahan dan penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatannya. Sudah tentulah aduan – aduan ini sampai ke pengetahuan Tuanku Sultan ; apabila PBT dinasihatkan untuk terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab asasnya iaitu menyediakan kemudahan jalan dan longkang, pengurusan sampah yang cekap, pemotongan rumput dijalankan secara berjadual serta lampu – lampu jalan yang sentiasa berfungsi.

57. Sementara kita boleh menegur prestasi PBT, Kerajaan Negeri juga bertanggungjawab untuk membantu PBT bagi mempertingkatkan kualiti hidup rakyat di setiap daerah melalui peruntukan yang lebih besar bagi semua PBT untuk menjayakan program – program pembangunan yang dinyatakan tadi. Kesemua peruntukan ini tidak perlu dibuat dalam belanjawan tambahan tetapi perlu perancangan yang menyeluruh dan unjuran yang bertanggungjawab.

58. Sementara PBT digalakkan untuk meningkatkan kutipan hasil, saya merasakan Kerajaan Negeri juga mempunyai peranan besar bagi membantu PBT. Geran MARRIS wajib disalurkan terus kepada semua PBT dengan adil dan telus supaya dapat meringankan beban kewangan PBT untuk menjalankan kerja – kerja penurapan dan pembaikan jalan.

59. Saya juga ingin menggesa Kerajaan Negeri untuk menyegerakan peruntukan pembangunan bagi Ahli – Ahli Dewan Negeri dikalangan pembangkang di Negeri Selangor sebaik sahaja Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengamalkan dasar yang sama dengan mengembalikan peruntukan Ahli – Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

60. Mereka berhak mendapat peruntukan ini kerana mereka juga mewakili rakyat Negeri Selangor. Marilah kita tunjukkan contoh teladan kepimpinan yang baik dan berharap Kerajaan Persekutuan juga akan mengikuti langkah – langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk memberi balik kepada Negeri Selangor sejumlah peruntukan yang setimpal dengan sumbangan Negeri Selangor kepada KDNK.

61. Perbincangan saya dengan Bapak Jokowi mengesahkan bahawa Kerajaan Republik Indonesia membayar balik kepada Badan Pemerintahan DKI Jakarta sejumlah 66 % daripada sumbangan yang dibuat oleh rakyat Jakarta.

Memartabatkan Institusi Umat Islam

62. Tuanku Sultan juga menitahkan supaya institusi umat Islam terus dimartabatkan untuk menjamin kesejahteraan umat Islam di Negeri Selangor.

63. Masjid Zakaria Gombak Utara yang dibina pada tahun 1938 adalah di antara masjid tertua di Gombak. Oleh kerana itu, kerja – kerja pembaikan termasuk keperluan untuk menaiktaraf dan pembesaran adalah mendesak kerana sudah tidak dapat menampung jamaah yang terpaksa menunaikan solat di bahu jalan utama. Keadaan ini boleh terdedah kepada risiko keselamatan para jamaah.

64. Saya telah membawa perkara ini kepada perhatian Kerajaan Negeri seawal Mac 2009 sehinggalah sejumlah peruntukkan bernilai RM 6 juta diluluskan pada 8 November 2010 bagi pembinaan bangunan baru Masjid Zakaria.

65. Pada 25 Mac 2011, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Gombak memaklumkan kepada JAIS untuk membuat nilaian awal cadangan pengambilan tanah untuk tujuan tapak baru Masjid Zakaria di Lot 1199, Batu 1/2, Gombak seluas 1.1 hektar.

66. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kemudiannya menyusul pada 29 Julai 2011 memaklumkan kepada JAIS bahawa permohonan peruntukan pengambilan tanah diluluskan bagi bajet tahun 2012.

67. Pada 20 April 2012, Pengarah JAIS meminta Pentadbir Tanah Daerah Gombak untuk menguruskan proses pengambilan balik tanah bagi tujuan tapak tambahan untuk Masjid Zakaria, Batu 8 1/2 Gombak seluas 2.779 ekar.

68. Akhirnya pada 1 November 2012, Warta Pengambilan yang dicadangkan di bawah Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan; Warta Kerajaan Negeri Selangor No. 4707.

69. Perisytiharan Pengambilan Tanah di Bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk tujuan tapak tambahan telah ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Negeri Selangor melalui Borang D, Akta Pengambilan Tanah 1960 (Seksyen 8) pada 16 November 2012 dan 6 hari berikutnya, pada 22 November 2012 – Perisytiharan Warta Pengambilan di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan; No. Warta : 5087.

70. Untuk makluman Dewan, siasatan bagi mendengar semua tuntutan pampasan mengenai semua kepentingan pada tanah selaras dengan Seksyen 10, Akta Pengambilan Tanah 1960 juga telah diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

71. Pampasan Bertulis (Borang G & H) telah dikeluarkan pada 8 Februari 2013 kepada 2 orang pemilik tanah bersama. Bayaran telah dibuat oleh JAIS pada hujung Februari 2013. Keseluruhan proses pengambilan selesai sepenuhnya pada 8 Mac 2013. Saya juga difahamkan bahawa pihak JKR sewajarnya telah menyiapkan pelan pembangunan pembinaan Masjid Zakaria yang baru.

72. Saya merasa amat kecewa kerana setelah lebih 4 tahun saya perjuangkan untuk pembinaan Masjid Zakaria yang baru, namun sehingga hari ini tidak ada maklumbalas tentang status pembangunannya.

73. Untuk maksud ini, saya ingin mendapat jawapan yang jelas daripada Kerajaan Negeri berhubung status pembinaan Masjid Zakaria di Gombak Utara. Saya berharap Kerajaan Negeri dan JAIS dapat menyegerakan pembinaan masjid ini dalam masa yang terdekat.