Ucapan Perbahasan Titah Di Raja Yb Mohamed Azmin Ali | Gombak

1 JULAI 2013

Pendahuluan

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Seri Paduka Baginda Yang Di – Pertuan Agong tatkala Istiadat Pembukaan Penggal Pertama, Majlis Parlimen Malaysia yang Ketiga Belas pada 25 Jun 2013 yang lalu. Hari ini saya tampil untuk mengambil bahagian dalam perbahasan demi mengangkat suara rakyat dalam Dewan yang mulia ini.

2. Saya menyahut dengan penuh taat setia akan saranan titah SPB YDP Agong agar Ahli – Ahli Dewan yang mulia ini sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta memberi penekanan terhadap nilai – nilai akauntabiliti, integriti dan tadbir urus yang baik demi kepentingan rakyat.

Pengukuhan Demokrasi – Parlimen, Undang – Undang & Sistem Pilihan Raya

3. Saya mendukung titah SPB YDP Agong yang mengingatkan ahli – ahli Dewan agar menghormati dan patuh kepada lunas – lunas demokrasi. Demokrasi menurut Robert A. Dahl adalah satu sistem politik yang memberi peluang kepada rakyat untuk berpartisipasi dalam pembuatan keputusan dan pembentukan dasar. Justeru partisipasi tersebut meliputi perihal undang – undang, hak asasi manusia serta proses pembentukan sesebuah Kerajaan rakyat sebagaimana yang dirangkumkan oleh Abraham Lincoln.

4. Sememangnya, Perlembagaan dan Negara Hukum adalah teras sesebuah Kerajaan yang demokratik. Sebaliknya, Kerajaan yang lemah akan meneruskan kebergantungan kepada undang – undang rimba untuk menjamin kelangsungan kuasa mereka. Justeru itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat yang terus mendapat mandat majoriti rakyat Malaysia akan terus mendukung dan mempertahankan perlembagaan dan memelihara kedaulatan negara yang tercinta ini.

5. Usaha UMNO untuk menyuburkan politik ugut dan gempak telah dipatahkan apabila 51 % rakyat Malaysia menyokong Pakatan Rakyat dan hakikat yang nyata ialah sokongan rakyat kepada UMNO dan BN merudum kepada 47 % sehingga mendesak BN membentuk Kerajaan Minoriti.

6. KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendapat 51 % undi popular disebalik kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya yang ditaja oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Isu dakwat kekal yang tidak kekal, orang asing diberikan kelayakan mengundi, lebih 60, 000 orang pemilih berstatus ‘dubious voters’, wujudnya pengundi yang mengundi 2 kali, media yang tidak bebas dan sogokan wang tunai untuk membeli undi. Ini semuanya telah mencemarkan proses pilihan raya di Malaysia dan Dewan ini menuntut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan.

7. Agenda pengukuhan demokrasi berasaskan keluhuran perlembagaan perlu terus menjadi perhatian Dewan Rakyat kerana ianya merupakan asas kepada pembentukan sesebuah negara Demokrasi Berparlimen. Ini ditegaskan dalam ucapan Pemashyuran Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman yang menyebut :

” … Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-duli Yang Maha Mulia-Raja-raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

8. Tekad Tan Sri Yang Di Pertua untuk berubah bukan sahaja dalam reka bentuk dan design jubah tetapi juga pengendalian Majlis Mesyuarat adalah permulaan yang baik untuk membudayakan amalan Demokrasi Berparlimen yang menjamin prinsip keadilan dan hak bersuara. Ayuh Tan Sri Yang Di Pertua, mari kita ubah, kita mereformasi, kalau bukan kita siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi, kalau bukan Tan Sri Yang Di Pertua siapa lagi, ini kali – lah !

9. Untuk melaksanakan agenda memartabat atau melaksanakan reformasi parlimen ini, kita perlu meneliti semula beberapa peraturan dewan yang lesu dan tidak progresif. Konsep ‘undi bersurat’ yang digunakan semasa pemilihan Yang Di Pertua baru – baru ini tidak menjamin elemen kerahsiaan undi dan terdedah kepada manipulasi dan tekanan politik. Perkara ini sama sekali tidak menurut lunas demokrasi yang menekankan peri pentingnya elemen ketelusan dan kerahsiaan dalam pengundian yang diadakan.

10. Selain itu, saya ingin mencadangkan supaya Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Bilangan 22(2) yang mengkehendaki pemberitahu bertulis berkenaan dengan tiap – tiap pertanyaan hendaklah diserahkan kepada Setiausaha dalam waktu pejabat biasa oleh seseorang ahli tidak lewat daripada 14 hari bekerja sebelum mesyuarat dimulakan. Pertanyaan jawab lisan yang perlu dihantar sebegitu awal menyebabkan kita tidak dapat menggarap isu – isu semasa yang muncul sejurus sebelum sidang dewan bermula. Sebagai contoh, Ahli – Ahli Dewan Rakyat tidak dapat mengemukakan soalan mengenai darurat jerebu malahan Kerajaan Persekutuan juga terlepas pandang untuk menasihati SPB YDP Agong untuk memasukkan isu ini dalam teks Titah Di Raja. Kelembapan dan kealpaan tidak boleh bertapak dalam sistem Parlimen kelas dunia.

11. Amalan negara – negara demokrasi maju seperti New Zealand dan Australia yang memperuntukkan waktu kurang 3 hari bagi mengemukakan soalan lisan kepada parlimen. Ini pastinya dapat memastikan kepentingan rakyat dan negara yang berbangkit dapat dibincang dan dibahaskan dengan komprehensif di Dewan yang mulia ini.

12. Selain itu, tempoh masa perbahasan YB Ketua Pembangkang juga harus kita teliti dan diberi perhatian yang serius. Peraturan Mesyuarat 35(7) membenarkan Yang Di Pertua menghadkan waktu perbahasan. Akan tetapi Peraturan Mesyuarat ini seharusnya tidak terpakai kepada Ketua Pembangkang dan ini sudah menjadi tradisi dan amalan di Parlimen negara – negara Komanwel yang lain. Jika kita rujuk kepada Erskine May dan House of Common, lebih jelas dinyatakan bahawa sememangnya Ketua Pembangkang tidak termasuk dalam had masa.

13. Dalam usaha melaksanakan reformasi institusi Parlimen, kita tidak seharusnya sekadar bergelut dengan tuntutan kenaikan elaun dan kemudahan – kemudahan Ahli – Ahli Parlimen sahaja tetapi juga penting membahaskan pembaharuan berhubung faedah – faedah yang seharusnya dinikmati oleh rakyat melalui Ahli – Ahli Dewan Rakyat seperti kemudahan penyelidikan, ruang kerja serta kemudahan pembantu peribadi yang dapat membantu Ahli – Ahli Dewan Rakyat untuk hadir di Dewan dengan persiapan yang rapi.

14. Demokrasi sesebuah negara adalah tempang apabila hak asasi manusia terus dicabuli dan undang – undang draconian terus dilaksanakan. Tekad Pakatan Rakyat tuntas untuk menyuburkan agenda reformasi demi pengukuhan demokrasi di Malaysia.

15. Justeru saya menggesa Kerajaan meneliti semula beberapa undang – undang yang dianggap mengekang hak asasi serta kebebasan rakyat seperti Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah – Langkah Khas) 2012.

16. Suka saya mengingatkan Kerajaan bahawa perihal Hak Asasi Manusia sentiasa menjadi perhatian masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi diseluruh dunia. Humans Rights Watch World Report 2013 telah menyatakan kritik terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah – Langkah Khas) 2012 kerana melanggar Universal Declaration of Human Rights 1948. Undang – undang ini dianggap meneruskan budaya penindasan yang menjadi ruh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang dikuatkuasakan sebelumnya.

17. Justeru itu, adalah menjadi kewajipan kita yang berperanan sebagai penggubal dasar untuk memastikan lunas – lunas demokrasi; hak asasi dan kebebasan rakyat terus dipertahankan.

18. Sebagai sebuah negara yang demokratik, pilihan raya yang bersih, adil dan telus adalah tunjang kepada pengukuhan demokrasi. Ketempangan sistem pilihan raya yang berlaku wajar diperbetulkan melalui agenda reformasi sistem pilihan raya. Pakatan Rakyat sebagai sebuah muafakat yang mendapat sokongan majoriti rakyat tuntas mendukung usaha reformasi sistem pilihan raya selaras dengan prinsip dan lunas – lunas demokrasi berperlembagaan.

19. Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada gerrymandering yang didalangi UMNO – BN. Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan. Saya ambil contoh Parlimen Subang dan Parlimen Putrajaya mempunyai jumlah pengundi yang begitu besar perbezaannya. Parlimen Subang mempunyai jumlah pengundi seramai 128, 543 orang sementara Parlimen Putrajaya mempunyai seramai 15, 791 orang pengundi. Ini berlaku apabila urusan persempadanan semula yang dilakukan selama ini tidak bersandarkan kriteria – kriteria tetap sejajar dengan lunas demokrasi.

20. Peranan SPR sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor – syor persempadanan baru bahagian pilihan raya kerana ianya menggasir kredibiliti dan kebebasan SPR.

21. Boundary Commission for England diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan – kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun. Antara kriteria – kriteria yang menjadi pertimbangan adalah electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties. Garis panduan ini terkandung dalam Laporan Boundary Commission for England 2013.

22. Justeru, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan menimbang untuk membentuk sebuah Suruhanjaya baru yang profesional dan mendapat keyakinan awam untuk meneliti dan memberikan syor – syor berkenaan urusan persempadanan bahagian – bahagian pilihan raya berasaskan garis panduan dan etika demokrasi.

Trans – Pacific Partnership Agreement (TPPA)

23. Saya percaya rakyat Malaysia mengikuti perbahasan mengenai hasrat Kerajaan Persekutuan untuk menandatangani Trans – Pacific Partnership Agreement (TPPA).

24. Sebanyak 17 pusingan rundingan telah dijalankan dengan negara – negara anggota yang lain. Dalam masa terdekat rundingan bagi pusingan ke 18 akan dijalankan di Negeri Sabah pada 14 Julai 2013 ini.

25. Saya ingin mengulas isu TPPA berdasarkan 3 aspek utama;

  • Ketelusan dan perdagangan yang strategik
  • Fabrik sosial
  • Federalisme dan hubungan Persekutuan – Negeri

26. TPPA adalah sebuah perjanjian perdagangan bebas yang pluri – lateral dengan penyertaan 12 negara anggota termasuk Malaysia. Matlamat utama TPPA adalah untuk menjana kerjasama strategik dan konstruktif antara negara – negara Pesisiran Lautan Pasifik demi melestarikan kedudukan ekonomi negara masing – masing.

27. Kebimbangan rakyat hari ini ialah TPPA berpotensi untuk mengancam kedaulatan negara atas nama kebebasan perdagangan dan pelaburan. Ini memandangkan perjanjian ini akan memberi dampak langsung kepada pelbagai sektor ekonomi negara termasuk tenaga buruh, kadar upah, aliran modal, pelaburan, kesihatan awam, alam sekitar serta sektor – sektor lain yang melibatkan kepentingan awam sebagai stakeholder.

28. Kita memahami aspek kerahsiaan dalam satu – satu rundingan antarabangsa yang bersifat pluri – lateral. Pendedahan teks rundingan akan dianggap sebagai breach of understanding yang telah ditandatangani selaras dengan persetujuan ahli – ahli rundingan. Namun begitu, adalah menjadi hak rakyat Malaysia untuk mengetahui butiran yang diperbincangkan serta dipersetujui oleh Kerajaan. Hal ini penting untuk memastikan proses semak dan imbang serta perbincangan yang konstruktif berlaku demi kepentingan rakyat.

30. Soal ketelusan dan akauntabiliti adalah signifikan dalam isu rundingan ini. Isu ketelusan ini bukan sahaja melibatkan ketelusan antara Kerajaan dan rakyat tetapi juga ketelusan dan akauntabiliti di antara kumpulan – kumpulan perunding yang mewakili negara. Justeru, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menjadi the custodian to the agreement serta mengetuai 20 kumpulan kerja (8 dari MITI dan 12 dari Kementerian lain) perlu memastikan proses rundingan berlangsung dengan telus termasuk memastikan kumpulan – kumpulan perunding ini berkongsi maklumat antara sama lain.

31. Rundingan FTA dan TPPA melibatkan perkara – perkara yang dirundingkan secara terperinci. Akhirnya, selain mandat dan prinsip yang ditetapkan oleh Kerajaan, kejayaan proses rundingan bergantung kepada kebolehan kumpulan – kumpulan perunding yang mewakili negara.

32. Makanya kerajaan bertanggungjawab untuk mendedahkan nama – nama kumpulan perunding ini yang sepatutnya terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran, kemahiran dan kompeten dalam bidang tersebut. Sementara saya mengiktiraf kemahiran dan kemampuan pegawai – pegawai Kerajaan, saya tidak ada keyakinan terhadap Menteri dan Timbalan Menteri. Dalam hal rundingan antarabangsa ini, saya lebih yakin dengan mantan Menteri MITI, Rafidah Aziz dalam konteks keupayaan menggarap perincian dan kemahiran beliau di meja rundingan. Kita tidak mahu peristiwa Pulau Batu Putih berulang lagi kerana Malaysia hanya menampilkan pasukan atau perwakilan peringkat pegawai sedang Singapura mengemukakan perwakilan yang wibawa, cekap dan pakar dalam undang – undang sempadan antarabangsa.

33. Saya mendapat maklum bahawa MITI telah meminta UNDP mengadakan cost benefits analysis bagi melihat dampak ekonomi rundingan ini andai memasuki TPPA. Kerajaan secara amnya juga telah menyatakan bahawa keputusan cost benefits analysis menunjukkan ekonomi Malaysia akan mendapat kelebihan jika memasuki TPPA. Namun, selain daripada analisa tersebut, adakah Kerajaan telah membuat regulatory audit bagi memastikan tiada percanggahan antara agensi Kerajaan, Kementerian dan juga Negeri – Negeri ? Dan apakah Kerajaan telah mendapat nasihat daripada Jabatan Peguam Negara berkenaan regulatory audit ini ? Ini penting demi menjamin masa depan rakyat dan negara serta perkembangan perdagangan dan pelaburan yang strategik untuk negara ini.

34. Satu lagi persoalan yang berlegar tentang isu ini, apakah hasil perjanjian ini bakal mewujudkan income equality atau menambah jurang pendapatan supaya lebih ketara ? Kita bimbang sekiranya pusingan perniagaan dalam sektor perdagangan bebas ini akhirnya hanya akan memberi manfaat kepada syarikat – syarikat gergasi dan menutup peluang syarikat – syarikat kecil Bumiputera untuk bersaing di pasaran terbuka.

35. Hal ini akan meneruskan monopoli dan dominasi perniagaan yang akhirnya tidak akan mendatangkan keuntungan kepada rakyat sebaliknya hanya kepada segelintir kroni. Maka kita perlu fokus supaya rundingan ini memberdayakan persaingan dalam industri perdagangan serta menguntungkan rakyat secara keseluruhannya.

36. Saya ingin merujuk kepada sektor Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang merupakan salah satu sektor ekonomi penting khususnya di kalangan golongan bumiputera di Malaysia. Menerusi TPPA, SME akan mendapat kesan langsung. Namun persoalan yang perlu diperbahaskan adalah kesediaan syarikat – syarikat mikro untuk bersaing dengan SME dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Australia dan Singapura. Malahan, kesenjangan atau disparity of definition untuk SME di Malaysia dan negara – negara maju yang lain akan menyebabkan syarikat – syarikat mikro Malaysia tewas dalam persaingan perniagaan antarabangsa.

( Definisi SME : Amerika – 1500 orang pekerja, Jerman – 255 orang pekerja, Malaysia – 150 orang pekerja. )

37. Saya mendapat maklum bahawa rundingan berkenaan sektor SME ini telah selesai dan tidak akan dirundingkan lagi. Justeru, saya memohon supaya Kerajaan mendedahkan butiran rundingan yang melibatkan negara supaya kita dapat meneliti terma dan butiran rundingan sama ada benar – benar memberi manfaat kepada sektor ekonomi negara atau sebaliknya.

38. Satu lagi aspek yang harus dibincangkan dengan teliti adalah berkenaan Investor – State Dispute Settlement (ISDS) yang menjadi ketakutan terhadap isu kedaulatan negara. Ini kerana menerusi TPPA, peruntukan ISDS ini membenarkan negara diheret ke muka pengadilan dan membayar kos pampasan yang begitu tinggi apabila Kerajaan dianggap mengingkari legitimate expectation syarikat – syarikat korporat yang melabur di Malaysia.

39. Pandangan YB Menteri bahawa ISDS dapat menarik lebih banyak pelabur asing untuk masuk melakukan pelaburan dan memberi manfaat kepada syarikat – syarikat tempatan yang melakukan pelaburan diluar adalah hambar. Faktanya, Malaysia lebih banyak menerima pelaburan berbanding membuat pelaburan asing. Maka isu kedaulatan negara penting kerana kebarangkalian untuk kita diheret ke international arbitration lebih tinggi berbanding menggunakan peruntukan ISDS dengan jayanya.

40. Isu ISDS ini sebenarnya boleh diselesaikan melalui 3 kaedah; Pertama melalui kaedah alternatif iaitu melalui proses perbincangan dan persetujuan sesama pihak yang bertelagah tanpa prosiding. Kedua melalui State or Domestic Court dan ketiga melalui International Arbitration. Jika Kerajaan Persekutuan dan pelabur asing yakin akan kredibiliti domestic legal system atau sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia, maka mengapa kita masih perlu bersetuju dengan ISDS yang akan memberi kesan buruk kepada kedaulatan negara ? Ini merupakan cerminan kepada tahap sistem perundangan dan kehakiman negara kita sama ada benar – benar bebas dan adil serta mempunyai kredibiliti atau tidak mendapat kepercayaan awam.

41. Mengapa Malaysia tidak mengikut rancangan Australia untuk tidak akur kepada cadangan ISDS ini ? Negara India juga telah menarik diri daripada bersetuju dengan mekanisme ISDS ini dan terbaru Negara Canada juga sedang membuat pertimbangan kembali untuk bersetuju dengan cadangan ISDS selepas menerima 27 saman ke international arbitration dalam tempoh satu tahun kebelakangan ini.

42. Saya juga ingin menekankan bahawa sebarang persetujuan untuk melanjutkan tempoh hak paten ke atas ubat-ubatan dan agricultural chemical akan memberi kesan langsung kepada rakyat. Ubat-ubatan berpaten akan terus menikmati monopoli pengeluaran dan monopoli ke atas harga, dan hal sama akan terjadi kepada agricultural chemical seperti racun rumpai dan lain-lain. Tambahan masa paten untuk agriculture chemical akan menyebabkan monopoli harga berterusan dan ini akan meningkatkan kos ke atas petani-petani dan pekebun-pekebun kecil dan akan menjadi faktor ke atas kenaikan harga makanan. Ini bukan memberi kesan kepada sekelopok kecil petani, tetapi akan memberi yang lebih besar kepada pengguna.

43. Maka, saya ingin mendapat penjelasan daripada YB Menteri, apakah pendirian Kerajaan berhubung cadangan yang terkandung dalam TPPA untuk melanjutkan tempoh paten ke atas produk kesihatan dan juga produk pertanian yang sekaligus akan menutup ruang pengeluaran produk – produk ubat generik yang mampu diperolehi oleh rakyat ?

44. Malahan, sekiranya hasil TPPA ini tidak memberikan kesan dan hasil yang positif demi kepentingan rakyat, Malaysia boleh bertindak untuk tidak menandatangani perjanjian akhir dan ianya tidak akan memberi impak kepada aspek pelaburan negara. Ini kerana kita telah ada FTA dengan Singapura, Brunei dan Vietnam (melalui AFTA) dan FTA dengan Chile, Japan, Australia dan New Zealand. Malaysia boleh mengadakan FTA berasingan dengan Mexico dan Canada. Pelaburan terbesar di Malaysia adalah Amerika, Japan, Australia dan Singapura dan ini telah dilakukan sebelum ini tanpa sebarang FTA. Switzerland menarik diri dari FTA dengan Amerika dan ini tidak menjejaskan ekonomi Switzerland.

45. Saya juga ingin menyentuh berkenaan isu federalisme dalam membahaskan isu TPPA ini. Ini penting kerana setiap Negeri – Negeri di Malaysia akan menerima kesan langsung hasil daripada rundingan TPP yang dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan. YB Menteri menyatakan bahawa proses konsultasi telah berlangsung antara MITI bersama 19 buah organisasi NGOs, parti politik dan agensi – agensi Kerajaan dan Bukan Kerajaan. Namun adakah MITI telah melakukan proses konsultasi dengan mana – mana Kerajaan Negeri ?

46. Salah satu daripada 29 bab yang terkandung dalam TPPA adalah berhubung dengan bab perkhidmatan. Di bawah tajuk bab perkhidmatan, terdapat satu klausa yang bertajuk domestic regulation discipline dan klausa ini boleh memberi impak kepada dasar dan polisi Kerajaan Negeri yang sedia ada.

47. Antara lain, isu perlesenan yang dikeluarkan oleh PBT dan dasar industri dan perkhidmatan air yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri boleh menjejaskan pentadbiran Kerajaan Negeri atas alasan non trade discriminatory yang dicadangkan oleh TPPA.

48. Antara perihal penting dalam rundingan perdagangan bebas antarabangsa seperti TPPA ialah elemen ‘Non Conforming Measures’ (NCM) yang mana Kerajaan yang mewakili negara perlu menyenaraikan ‘perkara yang dipersetujui’ oleh Kerajaan dan ‘perkara yang tidak dipersetujui’ oleh Kerajaan termasuklah ‘perkara yang dipersetujui oleh Negeri’ dan ‘perkara yang tidak dipersetujui oleh Negeri’. Biarpun keputusan muktamad di tangan Kerajaan Persekutuan, namun adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan konsultasi dengan Kerajaan Negeri. Konsultasi ini penting kerana ianya termasuklah hal – hal yang berkait dengan klausa – klausa perlindungan seperti affirmative action dan hak Negeri untuk menerima atau menawarkan pelaburan asing ke Negeri tersebut.

49. Maka, Kerajaan Persekutuan perlu menghormati semangat federalisme dan pengasingan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sebagai mana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan Persekutuan harus sedar bahawa persetujuan Kerajaan Negeri penting memandangkan setiap pelaburan asing atau domestik yang masuk ke Malaysia pastinya akan diurus dan diakomodasikan oleh Negeri. Maka Negeri berhak untuk menentukan apa yang ‘state exclude’ dan ‘state include’.

50. Justeru saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan proses konsultasi dengan Kerajaan Negeri tidak kira sama ada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat atau BN kerana ia adalah hak negeri. Malahan, wakil – wakil Kerajaan Negeri perlu terlibat sama dalam proses rundingan TPPA ini khususnya kerana ia melibatkan hal – hal negeri seperti domestic regulation discipline berkaitan sektor perkhidmatan. Perlu diingatkan bahawa dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan telah dinyatakan Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan Senarai Bersama. Ini menuntut perbincangan dan konsultasi berlangsung kerana sebahagian besar hal perdagangan dan pelaburan melibatkan perkara – perkara yang tercatat dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama seperti tanah, perancangan bandar dan desa, perumahan, kesihatan awam serta saliran dan pengairan. Di Amerika Syarikat, Kerajaan Persekutuan telah mengadakan rundingan dan perbincangan bersama Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan kedua – duanya. Ini semangat federalisme yang harus ada di Malaysia.

51. Saya tegas mengggesa Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan perbincangan dan konsultasi dengan Kerajaan – Kerajaan Negeri khususnya Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan sebelum rundingan seterusnya pada 14 Julai 2013 akan datang.

52. Sebagai langkah proaktif, saya akan turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menerajui usaha perbincangan dan konsultasi ini dengan mewujudkan sebuah kaukus antara Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan untuk membuat satu ketetapan segera berkenaan hal – hal ini termasuk mendapatkan nasihat pakar dan profesional sebelum mengadakan konsultasi dengan Kerajaan Persekutuan.