[UCAPAN] Sambutan Hari Wesak 2016

Pada malam ini kita berhimpun dalam semangat yang penuh muhibbah untuk meraikan Hari Wesak 2016 bersama-sama seluruh masyarakat Buddha.

Sambutan Hari Wesak mempunyai nilai-nilai universal  yang mengajar erti kesederhanaan dan keharmonian dalam kehidupan berkomuniti.

Kita sedar, sejak kebelakangan ini, muncul kelompok kecil yang minoriti termasuk dari kalangan masyarakat Melayu Islam yang mempamerkan sikap tidak toleran sehingga masyarakat Islam itu dikaitkan dengan sikap sombong, arrogant dan keras.

Kerajaan Negeri mahu menegaskan bahawa pentadbiran ini sama sekali tidak mewakili suara mereka. Menjadi tanggungjawab kita menghormati hak agama lain tanpa sedikitpun mengurangkan keyakinan terhadap agama kita sendiri.

Ini yang dijelaskan oleh Al Quran melalui prinsip Li Taarafu ; kenal mengenal serta menghormati perbedaan kaum dan warna kulit. Ditegaskan dalam Islam bahawa Allah SWT tidak menilai seseorang itu melalui pangkat atau darjat. Pangkat dan darjat itu bukan ukurannya sebaliknya akhlak dan etika. Seseorang itu mungkin paling miskin atau tidak mempunyai apa-apa pangkat, tetapi lebih mulia di sisi tuhan.

Justeru itu, kita dituntut untuk memuliakan insan.

Perayaan ini juga menganjurkan sikap berbakti dengan tulus ikhlas kepada mereka yang kurang bernasib baik. Justeru, nilai ini menjadi inspirasi kepada pelbagai lapisan masyarakat Malaysia yang rencam untuk menganjurkan aktiviti kebajikan, bergotong royong dan membantu masyarakat yang menghadapi kesusahan.

Kesedaran tersebut adalah selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dasar dan program yang berlandaskan prinsip adil dan ihsan kepada rakyat tanpa mengira agama dan latar belakang.

Mendepani cabaran pada hari ini, Kerajaan Negeri tuntas untuk memastikan agar setiap rakyat di Negeri Selangor mengecapi nikmat daripada hasil kekayaan negeri.

Kita bersyukur, Rezab Negeri setakat 16 Mei 2016 sebanyak RM 4.034 bilion.

Prestasi kutipan hasil negeri pada tahun ini juga telah melonjak kepada RM 1.41 bilion berbanding dengan anggaran Belanjawan 2016 sebanyak RM 2.25 bilion. Hasil ini adalah sebanyak 62.5% berbanding 52% bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

Sudah tentulah kejayaan dan kecemerlangan pentadbiran ini merupakan hasil daripada sokongan dan dukungan rakyat kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang berterusan mempertahankan integriti dan urus tadbir yang baik.

Kita yakin toleransi kaum dan agama akan menjamin kemakmuran negeri dan memacu pertumbuhan sosio ekonomi di Negeri Selangor. Oleh itu, saya ingin memberi jaminan bahawa tidak akan ada satu pun kelompok masyarakat yang akan tersisih daripada hak mereka untuk mengamalkan kebebasan agama sepertimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kita akan memastikan keamanan negara ini dipertahankan. Semangat untuk memastikan keadilan dan kasih sayang akan terus dipertahankan di negeri ini tidak kira kepada orang Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.

Sebagaimana peringatan Quran menerusi ayat Khalimatun Sawa, yang juga ditegaskan dalam Bible, prinsip keadilan juga ditegaskan secara universal. Kita mungkin menganuti agama yang berbeza tetapi tujuan kita sama, demi kasih sayang, keadilan dan kemuliaan insan. Menjadi harapan Kerajaan Negeri agar setiap matlamat ini menjadi perjuangan kita bersama.

Akhirnya, saya ingin merakam rasa penghargaan dan berterima kasih kepada yang menjayakan majlis yanh penuh bermakna ini terutamanya kepada Selangor Buddhist Development Council yang begitu gigih menjaga kepentingan masyarakat Buddha di negeri ini.

 

 

 

 

Maka dengan penuh takzim dan muhibbah, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Sambutan Hari Wesak 2016 Peringkat Negeri Selangor.