Ucapan Sambutan Kemerdekaan Ke 58 Peringkat Negeri Selangor

DSC_5050 DSC_4995 DSC_4854 DSC_5017

YB Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

YB Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi,
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan ke 58 Peringkat Negeri Selangor ;

YB Dato’ Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman,
Penasihat Undang – Undang Negeri Selangor ;

YB Dato’ Noordin Bin Sulaiman,
Pegawai Kewangan Negeri Selangor ;

Pegawai – Pegawai Daerah ;

Datuk – Datuk Bandar ;

Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Daerah ;

Ketua – Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri ;

Brig. Jen. Badrul Hisyam Muhammad,
Panglima 11 Briged ;

SAC Zainuddin Bin Mohd Tahir,
Pemangku Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Selangor ;

Rakyat Selangor yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 58 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada malam ini.

2. Tahniah kepada 61 kontinjen pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menyertai perbarisan malam ini.

3. Rakyat Malaysia bersyukur di atas anugerah kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 58 tahun yang lalu. Kecintaan (patriotisme) terhadap negara adalah satu semangat yang menuntut tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan. Kita seharusnya mengambil kesempatan daripada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini untuk mengulangi ikrar dan tekad kita sebagai rakyat yang bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme kita terhadap negara.

4. Patriotisme bukan slogan dan simbol semata-mata tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh yang kuat terhadap tingkahlaku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat.

5. Di Malaysia, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan untuk membentuk negara yang bebas merdeka memperlihatkan perjuangan satu bangsa yang penuh dengan semangat patriotisme. Semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sehingga sanggup berkorban demi mempertahankan negara adalah contoh yang patut dihidupkan sepanjang zaman.

6. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan di atas sumbangan besar para pejuang kemerdekaan, khususnya anggota keselamatan termasuk tentera dan polis yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan sehingga ada di kalangan mereka terkorban demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

7. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu bermula sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Para pejuang kemerdekaan seperti Tun Perak di Melaka, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung di Terengganu, Mat Kilau di Pahang, Mat Saleh di Sarawak, Tuan Guru Haji Hasan Monas atau Tok Janggut di Kelantan, Raja Haji di Selangor dan ramai lagi berjuang menentang penjajah asing di atas nama kebebasan dan keadilan untuk masa depan anak bangsa mereka.
8. Sejarah tidak boleh dipadamkan di mana Dr. Burhanuddin Al Helmi bersama Tun Tan Cheng Lock telah bekerjasama dengan semua kaum; petani, peniaga dan juga para ulama’ untuk membentuk All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) untuk menentang penjajah. Mereka berjuang dengan penuh ketabahan, kesabaran dan kecintaan terhadap tanah air ini.

9. Nenek moyang kita sehati sejiwa sehingga berjaya menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah. Hasil perjuangan mereka dengan semangat patriotisme yang kental, kini kita berdiri di atas bumi yang berdaulat dan merdeka.

10. Semangat patriotisme memainkan peranan yang amat penting seperti yang sering disebut “kasihkan watan itu sebahagian daripada iman.”

11. Patriotisme tidak boleh membenarkan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia ke atas manusia iaitu satu bentuk penjajahan minda masa kini. Penjajahan ala ketenteraan telah meninggalkan bumi bertuah ini tetapi penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah asing kini berpindah kepada pribumi melalui penjajahan minda.

12. Generasi hari ini perlu sehati sejiwa, untuk memaknai semula citra kemerdekaan. Sudah tiba masanya untuk kita melihat semula erti kemerdekaan seperti yang telah dimasyhurkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menegaskan bahawa “Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

13. Pengisian kepada Pemasyhuran Kemerdekaan yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman bermaksud menegakkan prinsip keadilan dan kebebasan yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyat.

14. Rakyat Selangor harus bersatu padu untuk menghadapi krisis ekonomi yang melanda negara dan kecelaruan politik yang boleh menggugat prinsip-prinsip asas Pemasyhuran Kemerdekaan.

15. Kita perlu bertanya kepada diri kita, apakah suasana ekonomi hari ini dapat menjamin pertumbuhan yang mampan ? Apakah setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan, kekayaan negara dapat menjamin keadilan pengagihan (distributive justice) ? Kita perlu berani bertanya apakah kepimpinan negara berpaksi kepada politik nilai dan kebertanggungjawaban untuk menjamin kesejahteraan rakyat ?

16. Justeru itu, tanggungjawab kita hari ini adalah untuk menggilap semula erti kemerdekaan yang semakin lesu, menyapu debu-debu kekotoran yang menutupi jiwa dan jasad negara. Ini mesti dilakukan dengan jiwa yang merdeka dan tidak menjadi jiwa perhambaan.

17. Sang pemerintah tidak boleh meremehkan suara ratusan ribu rakyat yang berhimpun secara aman di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjelang ambang kemerdekaan untuk bersama menyelamatkan negara dan maju kehadapan untuk membina sebuah negara Malaysia yang gagah dan makmur bagi rakyat negara ini.

18. Malam ini kita berhimpun dengan jiwa dan semangat merdeka. Kita mengimbau jerit perih nenek moyang kita yang bangkit untuk melawan penjajah. Mereka berjuang untuk menebus maruah dan mengembalikan hak dan kebebasan untuk memerintah negara sendiri sebagai negara yang berdaulat.

19. Ayuh, mari kita membawa obor kemerdekaan yang dinyalakan oleh anak watan negara ini dan kita bertekad untuk mengisi kemerdekaan dengan prinsip keadilan, kebebasan, kesejahteraan rakyat dan mengembalikan kemakmuran negara.

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

30 Ogos 2015
Dataran Kemerdekaan
Shah Alam