Ucapan Timbalan Presiden Rapat Pimpinan Kebangsaan 2012 Parti Keadilan Rakyat

1. Sepanjang lebih satu dekad kita bersama dalam perjuangan untuk melakukan perubahan, ramai antara kita punya pengalaman tersendiri; pengalaman manis dan getir. Dalam usia perjuangan yang muda, anggota parti telah diasak dan diuji. Cabaran yang bertali arus telah menjadikan anggota parti matang. KEADILAN muncul sebagai sebuah parti yang terbilang dalam peta politik di sejagat raya.

2.Perjuangan yang berteraskan reformasi adalah untuk membina Malaysia yang gagah, makmur dan sejahtera.

Prinsip keadilan yang mendasari perjuangan KEADILAN bukan sahaja bersifat perjuangan politik tetapi satu gerakan massa. Ianya juga bertepatan dengan tuntutan Islam. Apabila Rasulullah S.A.W. didatangi oleh segerombolan kabilah – kabilah Arab dan ditanya apa risalah dan misi Baginda ? Lantas Rasulullah mengungkapkan perintah Allah;


Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan.

Surah An-Nahl, Ayat 90

Perintah ini jelas menunjukkan bahawa keadilan adalah nilai terpenting di dalam Islam. Malahan, semua rasul yang diutuskan oleh Allah S.W.T. adalah untuk menegakkan keadilan.

3. Maka kita perlu yakin perjuangan ini berada dilandasan yang menepati tuntutan agama dan juga tuntutan massa. Apa yang menggarap seluruh kekuatan dan menyatupadukan kita semenjak 1998 ? Kerana berlakunya ketidakadilan dan kezaliman. Lantas rakyat bangkit menuntut keadilan dan menjadi moral force kepada perjuangan yang menjadikan keadilan sebagai ideologi politik baru. Alexis de Tocqueville menyatakan : “Hanya ada satu undang – undang sejagat yang disepakati oleh sebilangan besar manusia. Undang – undang itu adalah keadilan”.

4. Malah keadilan perlu dipromosikan sebagai norma baru dalam politik global kerana ia menjawab segala keterbatasan ideologi lampau. Justeru, KEADILAN layak bersama – sama menerajui gerakan keadilan antarabangsa bersama parti politik lain di dunia yang meletakkan prinsip keadilan sebagai asas ideologi mereka.

5. Cabaran hari ini bukan sekadar isu – isu furu’ tetapi prinsip keadilan sosial, distributive justice dan masyarakat madani. Keyakinan ini diterjemah dalam bentuk penggubalan dasar. Belanjawan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh KEADILAN jelas menolak dasar yang berasaskan kaum tetapi berpegang kepada keperluan.

Program ekonomi untuk golongan kelas menengah dan rakyat miskin menjadi tumpuan kita. Sarjana Amartya Sen juga menyentuh prinsip yang sama dalam bukunya ‘The Idea of Justice’. Maka pilihan dalam PRU 13 yang akan datang ialah tentang adil atau ketidakadilan.

6. KEADILAN pernah mengalami zaman kegelapan pada tahun 2004 apabila mampu mempertahankan hanya satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail. Tatkala itu ada sejumlah kecil pimpinan yang mulai memperlahankan langkah. Tidak kurang juga mereka yang terus memisahkan diri daripada parti.

7. Namun, saya bangga kerana saudara – saudari yang hadir di dewan ini adalah pejuang yang setia dan tetap bersama perjuangan ini. Perubahan itu memang sukar. Tetapi saya yakin, dengan kesabaran, kebijaksanaan dan kesungguhan, kita pasti akan tiba di Putrajaya.

8. Renungilah pesanan Syeikh Dr. Yusuf al Qardhawi yang disampaikan pada 11 Januari 2011, hari Hosni Mubarak melepaskan jawatan. Beliau menyebut : “Tidak masuk akal bahawa kebatilan boleh mengatasi kebenaran, tidak masuk akal si taghut boleh mengatasi rakyat.”

9. Pasca 2004, kita bangkit dengan semangat baru, keyakinan baru, perpaduan dan muafakat yang akhirnya membawa berkat.

Wahai anakanda dengarlah wasiat
Duduklah engkau dalam muafakat
Supaya ringan beban yang berat
Sebarang kerja membawa berkat

Wahai anakanda dengarlah amanat
Jangan sesekali tinggalkan muafakat
Elok berunding sebelum berbuat
Supaya kerjamu jadi selamat

10. Alhamdulillah, kita menyaksikan gabungan upaya pejuang parti dan dokongan rakyat seluruhnya telah mencetuskan satu tsunami yang mengubah lanskap politik negara. Gabungan itu memiliki satu sinergi, dinamika tenaga cergas dan minda yang segar untuk menggerakkan massa ke arah reformasi.

11. Clamour for change bukan hanya terbatas di kalangan anggota KEADILAN. Ianya juga menjadi tuntutan rakyat kerana mereka mahukan sesuatu yang terbaik untuk anak – anak mereka dan generasi akan datang. Seperti yang diungkapkan oleh Sasterawan A. Samad Said beberapa hari yang lalu ketika berucap di Majlis Penyerahan Watikah sebagai Sasterawan Tamu Selangor, beliau menegaskan: “Dalam keadaan sekarang, saya rasa berdosa jika tidak bersuara”.

12. Yakinlah kemahuan rakyat Malaysia untuk melaksanakan perubahan tidak pernah surut. Sampaikan pesan kepada rakyat bahawa kita boleh melaksanakan Malaysia yang gagah. Together we could make a difference.

13. Parti keramat ini muncul sebagai parti terbesar dan sekaligus menyanggah andaian bahawa KEADILAN adalah the weakest link. Lebih bermakna apabila PAS dan DAP bermuafakat untuk bersama KEADILAN membentuk Pakatan Rakyat. Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada muafakat ini yang memberi ruang kepada kewujudan sebuah negara demokratik dengan sistem dua parti.

14. Sepanjang perjuangan ini, kita berkesempatan untuk menjelajah ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman.

Memandu dan menaiki bot berjam – jam ke Ulu Krian di Sarawak, Kampung Taginambur di Kota Belud, Kuala Balah di Jeli, Kampung Tong Pelu di Pedu semata – mata untuk bertemu dengan rakyat dan membawa mesej perubahan.

15. Anak muda di Sabah, Sarawak, Kelantan dan seluruh pelusuk negara; yang cerdik dan punyai potensi; terhalang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana dihambat dengan kemiskinan dan kos pengajian yang tinggi. Anak – anak peneroka dan nelayan terpaksa dibebankan dengan hutang PTPTN semata – mata untuk menimba ilmu. Justeru itu, kita mesti membawa kemenangan untuk KEADILAN bagi merealisasikan harapan rakyat dengan memansuhkan PTPTN dan memberi pendidikan percuma.

16. Peneroka FELDA di Keratong dan Semencu gigih mengusahakan ladang sawitnya. Pahit derita mereka untuk mendapatkan hasil tani demi menanggung kos sara hidup ditempelak dengan dasar yang menguntungkan syarikat dan kroni. Lantaran itu, generasi kedua tidak terjamin masa depannya sementara peneroka asal berputih mata melihat saham FGV terus merudum. Maka sekali lagi menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengibarkan panji KEADILAN bagi merubah kehidupan warga felda dengan membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang – ladang untuk generasi kedua.

17. Golongan pengusaha dan peniaga wanita di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu adalah cerminan wanita gigih dan punyai kemahiran keusahawanan. Ini membuktikan wanita perlu diberikan pengiktirafan sebagai agen perubahan dan pemangkin ekonomi negara. Tahniah kepada Wanita KEADILAN yang mencetus suatu gagasan baru dalam usaha mengangkat martabat wanita melalui program yang terancang dalam Agenda Wanita Malaysia. Saranan yang disambut baik antaranya Caruman Wanita Nasional.

18. 10 tahun lalu, ketika saya berceramah di Negeri Perlis, saya didatangi oleh seorang tua yang dipapah oleh anaknya. Orang tua ini sedang dirawat di dalam hospital dan meminta kebenaran doktor untuk keluar sebentar bagi menemui saya. Pakcik dari keluarga miskin ini datang semata – mata untuk menyatakan sokongan kepada KEADILAN kerana keyakinannya KEADILAN akan mengubah kehidupan keluarganya yang miskin.
Sebagai komitmen beliau bersama perjuangan, pakcik tua yang uzur ini memberikan sumbangan RM 1.20 sebagai titipan buat anak – anak saya. Maka isu kemiskinan perlu menjadi agenda utama KEADILAN. Kita perlu mendukung agenda yang menjamin pertumbuhan lestari dan pengagihan yang adil seperti yang dicerakinkan dalam belanjawan Pakatan Rakyat yang bertemakan Ekonomi Rakyat, Negara Berkat. Antara langkah untuk membasmi kemiskinan tegar, KEADILAN akan menaikkan Pembayaran Kebajikan daripada RM 300 kepada RM 550 sebulan. Ikhtiyar ini akan membebaskan lebih 84,000 keluarga daripada belenggu kemiskinan tegar.

19. KEADILAN mengiktiraf Hari Malaysia dan merintis penghayatan serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 yang memberi kesemakmuran kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Justeru, KEADILAN mengulangi tekad untuk menjunjung Perjanjian Malaysia melalui Deklarasi Kuching. Iltizam ini diperkukuhkan lagi di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menjanjikan bayaran 20% royalti minyak, penubuhan syarikat minyak milik Kerajaan Negeri dan membina Lebuhraya Pan – Borneo dari Kuching ke Kota Kinabalu dan Pantai Timur Sabah.

20. Kesungguhan KEADILAN untuk membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak telah mencambahkan agen Reformasi dan perubahan di Negeri Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

Kita menyaksikan tokoh masyarakat KDM dan Bumiputera Islam bersama dengan perjuangan KEADILAN. Selamat berjuang Dato’ Seri Lajim Haji Ukin, Dato’ Seri Wilfred Bumburing, Senator Maijul Mahap dan Tan Sri Ibrahim Menudin.

21. KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim secara tuntas membicarakan soal perubahan dan reformasi. Hasil ketekunan kita bersama, gelombang kebangkitan rakyat tidak mampu disekat sehingga Perdana Menteri Najib terpaksa memperkenalkan program transformasi. Persoalannya siapakah yang layak dan boleh dipercayai untuk memimpin perubahan ?

22. Permulaan perjalanan perjuangan reformasi lebih satu dekad yang lalu menimbulkan banyak tanda tanya dan persepsi. Namun, saya yakin dengan visi Saudara Anwar Ibrahim. Meskipun beliau berhadapan dengan pelbagai bentuk mehnah dan cabaran, Saudara Anwar Ibrahim tekad melaksanakan harapan untuk rakyat Malaysia.

23. Saya mengenali Saudara Anwar Ibrahim hampir 30 tahun. Keperibadian, keyakinan dan akhlak beliau tidak pernah berubah, sama seperti hari pertama saya mengenali beliau. Beliau adalah insan berprinsip yang pertahan soal nilai dan bicara keperitan rakyat miskin.

24. Apabila bicara soal tradisi keilmuan, beliau ungkap peluang pendidikan yang berkualiti untuk setiap anak Malaysia. Bicara soal wanita, beliau tegas wanita perlu diberdayakan. Bicara isu pekerja, beliau mahu gaji minima dilaksanakan. Bila bicara soal ekonomi rakyat, bukan sahaja beliau tekankan soal pertumbuhan, tetapi juga soal pengagihan yang adil kepada semua kaum.

25. Hal yang sama dalam budaya KEADILAN. Kita dididik dengan nilai murni, maruah, integriti dan kejujuran. Ini lah yang hendak kita semai dalam masyarakat. Menurut Saudara Anwar, kejayaan tidak diukur dengan kemewahan, akan tetapi berdasarkan keupayaan untuk merobah kehidupan masyarakat.

26. Saudara Anwar Ibrahim adalah pejuang rakyat yang tuntas membawa obor reformasi. Wibawa kepimpinan beliau tidak dapat disanggah lagi.

Teman – teman seperjuanganku,

27. This is the man that we can trust his words. Ini lah insan yang boleh kita pegang kata – katanya. Ini lah insan yang berpegang kepada prinsip. Ini lah insan yang kita yakini untuk mengubah kehidupan rakyat Malaysia. Sekiranya kita mahu menjayakan gagasan besar yang diungkapkan tadi, ini lah sosoknya. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri rakyat Malaysia.

Teman – teman seperjuangan,

28. JPRP telah mengagihkan segala kelengkapan pilihan raya ke seluruh negara. Potensi SISMEP telah diperkenalkan. Logistik atau paraphernalia telahpun berada di semua cabang dan ranting. Ini membuktikan bahawa persiapan kita kali ini jauh lebih baik daripada PRU 12.

29. Kita dalam fasa terakhir rundingan pengagihan kerusi dengan rakan – rakan dalam Pakatan Rakyat dan juga rakan – rakan seperjuangan di Sabah dan Sarawak. Saya ingin memberi jaminan bahawa proses rundingan kerusi ini tidak akan meminggirkan dan mengorbankan kepentingan parti keramat ini.

30. Kita akan maju ke hadapan dengan segala upaya untuk melaksanakan perubahan dalam pilihan raya ini. Biarpun berhadapan dengan budaya samseng dan culture of fear, kita tidak akan berundur malah kita lebih nekad untuk menumbangkan pihak lawan.

31. Kita tidak bersendirian. NGOs seperti SUARAM dan mahasiswa yang berani kini menjadi sasaran pemerintah yang rapuh dan tergugat kerana kita bersama menjadi agen perubahan dan demokrasi negara.

32. Kita sudah punya dasar yang jelas, kita ada pemimpin yang wibawa dan boleh dipercayai, kita ada laskar teruji dengan latihan, sarat dengan pengalaman, lengkap dengan ilmu dan peralatan. Seluruh kekuatan kita sudah siap siaga. Hanya menunggu seruan untuk bertempur di medan perang.

33. Pada petang ini, wahai teman-teman seperjuanganku, selaku Pengarah Pilihan Raya, saya meniup semboyan perang. Ayuh ! Seluruh pejuang keadilan, kita ikrarkan kesediaan kita untuk bertempur di medan pilihan raya. Adat pejuang pantang undur sekali – kali. Ini tekad kita. Ini tekad anak Malaysia. Bersama KEADILAN dan semangat reformasi, akan kita jayakan ibu pertiwi.

34. Ayuh seluruh pejuang keadilan, kita bersama mengubah harapan. Kita kibarkan panji KEADILAN. Kibarkan panji ini sejagat raya. Demi rakyat semua.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat

One comment

  • Comments are closed.