Ucapan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor Majlis Perasmian Konvensyen Falak Selangor 2015 & Seminar Pemerkasaan Pendidikan Ilmu Falak

TEKS UCAPAN Y.A.B. DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN FALAK SELANGOR 2015 & SEMINAR PEMERKASAAN PENDIDIKAN ILMU FALAK MASJID TENGKU AMPUAN JEMAAH, BUKIT JELUTONG, SHAH ALAM

4 APRIL 2015

YB Dato’ Dr. Hj. Ahmad Yunus Bin Hairi,
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa & Kampung Tradisi Negeri Selangor ;

YB Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

YB Ahli – Ahli Dewan Negeri dan Parlimen ;

YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib bin Mohd Isa,
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor ;

Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes bin Abd Wahid,
Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor ;

Y.Bhg. Dato’ Hj. Emran bin Kadir,
Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Petaling ;

Yang Dihormatkan Orang-orang Besar Daerah ;

Yang Berusaha Ketua – ketua Jabatan ;

Pimpinan Masyarakat, seterusnya hadirin dan hadirat sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada pagi ini sempena Konvensyen Falak Selangor 2015 & Seminar Pemerkasaan Pendidikan Ilmu Falak.

2. Penganjuran konvensyen ini mencerminkan komitmen pentadbiran Negeri terhadap agenda pendidikan dan pengembangan keupayaan serta kecendekiawanan di Negeri Selangor. Apatah lagi ilmu falak telah memberi sumbangan besar dalam era kegemilangan tamadun Islam pada masa dahulu sehingga ke hari ini. Justeru itu, konvensyen ini merupakan wadah terbaik untuk Negeri Selangor menjadi peneraju kepada perkembangan pendidikan ilmu falak demi kemaslahatan semua.

3. Ilmu Falak mulai menarik minat bangsa Arab pada kurun kedua hijrah. Para saintis ilmu falak telah berjaya menghasilkan beberapa karya penting.

4. Antaranya al-Biruni yang terkenal dengan tulisan seperti al – Qanun al – Mas’udi, al – Farghani, penulis Kitab fil Harakat al – Samawiyya wal Jawami’ ‘Ilm al – Nujum, Nasaruddin al – Tusi, al – Bitruji dan lain – lain. Kemajuan ilmu falak sampai dikemuncaknya apabila berlaku proses timbal balik penterjemahan dari bahasa Greek, Persia dan India ke dalam bahasa Arab. Sebaliknya, karya – karya ilmu falak yang ditulis di dalam bahasa Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa – bahasa Latin, Parsi dan India.

5. Pusat – pusat pemerhatian atau observatori telah berkembang dengan begitu meluas dalam dunia Islam. Ibn Yunus melaporkan al – Nihawandi telah membina sebuah observatori yang penting dalam pembangunan ‘ilmu falak di Gundishapur pada akhir abad kelapan hijrah. Sesungguhnya, ilmu falak mempunyai bidang kajian yang luas dan telah berjaya mempengaruhi dunia Barat sejak abad pertengahan.

6. Pengkaji-pengkaji sejarah sains di dunia Barat seperti Profesor Regis Morelon, Edward S. Kennedy, Juan Vernet, Bernard R. Goldstein dan lain-lain akur dengan kehebatan sumbangan asli saintis – saintis falak kepada tamadun manusia moden pada masa kini.

7. Menuntut ilmu merupakan satu kewajipan bagi umat Islam. Ini jelas diperintahkan dalam hadis Rasulullah SAW, Riwayat Ibnu Majah dan al – Baihaqi, yang menyatakan :

Maksudnya : Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim dan Muslimat

8. Risalah yang dibawakan oleh para Rasul dan Nabi menekankan kesepaduan antara tauhid dan ilmu (wahdatul ‘ilm) merupakan teras kekuatan umat Islam dengan membudayakan tradisi keilmuan. Lihat sahaja ketika mana Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul yang terakhir dengan pengisytiharan ‘Iqra’ yang bererti bacalah, telitilah, dalamilah, ketahuilah. Hakikatnya, keagungan kalimah ‘Iqra’ adalah menjangkaui segala sesuatu dan memberi penekanan mendalam terhadap kepentingan ilmu.

9. Adalah jelas bahawa penguasaan umat Islam dalam pelbagai bidang ilmu merupakan satu keperluan (darurah) pada hari ini. Saya cukup yakin, konvensyen yang bertemakan ‘Kembara Menelusuri Hikmah al-Khaliq’ mampu membuka paradigma pemikiran setiap peserta untuk melihat kepentingan (hikmah) setiap bidang ilmu yang dianugerahkan oleh Sang Pencipta.

Malah, ia adalah sebahagian dari tuntutan pengisian maqasid syariah (tujuan utama syariah) yang harus menjadi kefahaman setiap umat islam dan dilaksanakan dalam kelompok masyarakat.

10. Setiap ilmu bukan hanya berperanan untuk pembangunan duniawi ( ) bahkan merangkumi hal ukhrawi. Disamping itu, ia juga menjadi panduan bagi setiap manusia untuk memenuhi tanggungjawab dan merealisasikan cita – cita (kekhalifahan di atas muka bumi). Ini penting bagi memastikan syiar Islam terus subur dan terpelihara.

11. Tanpa penguasaan ilmu, kita menjadi hina dan lemah. Ditegaskan oleh Almarhum Malik Ben Nabi, seorang tokoh pemikir Islam supaya kita terhindar daripada menjadi umat yang malas dan lemah berfikir. Oleh kerana itu, Islam merupakan agama yang sangat memuliakan darjat para ulama’ dan ilmuan seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Mujadilah, ayat 11, maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman. Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.

12. Ibnu Khaldun, tokoh ilmuan ternama dalam karya agongnya, al – Muqaddimah, banyak membicarakan soal ilmu pengetahuan. Rumusan daripada pandangan beliau, “…ilmu ialah sesuatu yang dapat dipelajari oleh manusia sama ada menggunakan akal fikiran, pancaindera, pengalaman, mahupun dengan pertolongan wahyu Ilahi”.

13. Beliau menulis karyanya tentang ketamadunan pada kurun ke – 14 Masihi, sedangkan di Eropah, perkataan civilisation hanya mula diungkapkan pada kurun ke – 18 Masihi.

14. Menyingkap khazanah sejarah silam, selepas wujud peradaban terutamanya Romawi dan Parsi, maka Tamadun Islam (al-hadarah al-Islamiyyah) telah mewarnai kehidupan, menguasai dunia selama hampir 700 tahun iaitu dari kurun ke-9 sehingga kurun ke-15.

15. Antara pusat kegemilangan Islam pada ketika itu selain daripada Mekah dan Madinah ialah Baghdad, Cordova, Bukhara, Damsyik, Marakesh, Samarkhand, Kufah, Toledo, Isfahan dan Granada. Sedangkan dunia Barat pula, pada masa itu berada dalam zaman kelam sebelum tibanya zaman pembaharuan.

16. Namun, mulai kurun ke – 15, dunia Barat mula mengambil alih, melakukan jajahan ke serata tempat. Maka, bermulalah era Tamadun Barat yang cuba disogokkan kepada kita. Walau bagaimanapun, Alhamdulillah, di Alam Melayu, kerana pegangan agama yang utuh, bahasa dan budaya Melayu yang kukuh, jati diri kita tetap teguh hingga kini.

17. Perubahan zaman pada masa kini telah menjadikan manusia kembali mencari jati diri masing-masing. Penekanan terhadap faktor modal insan telah menjadi keutamaan. Justeru, kita beriltizam membina sebuah generasi baru Muslim yang unggul seperti yang diungkap oleh Allah SWT dalam Surah al – Maidah ayat 100, sebagai generasi Ulul al – Bab, iaitu generasi yang mempunyai pemikiran yang bernas, menggunakan akal fikiran, cerdik dan bijaksana bagi membina sebuah kehidupan yang tinggi peradabannya.

18. Generasi Muslim yang sedang kita bina ini, diharap boleh menjadi insan yang berketrampilan dengan akhlak dan pekerti termulia, lengkap dengan ilmu yang luas – naqli dan ‘aqli serta tasawwur Islami yang serba komprehensif, malah pada ketika yang sama, mahir dalam pelbagai bidang. Mereka adalah generasi yang sentiasa kehausan dengan pencarian ilmu seperti sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat al-Tibrani dari Ibn Mas’ud : “Dua keinginan yang tidak puas, keinginan menuntut ilmu dan keinginan menuntut harta.”

19. Dalam hubungan ini, saya berdoa semoga para graduan yang menguasai ilmu falak boleh membantu umat Islam secara profesional dalam pelbagai urusan. Menjadi harapan Kerajaan Negeri, ikhtiyar ini mampu membangunkan generasi baru yang mahir dalam pelbagai bidang ilmu profesional iaitu doktor pakar, akauntan bertauliah, jurutera, arkitek, peguam serta usahawan tulen.

20. Maka, dengan lafaz , marilah kita bersama – sama menyempurnakan Konvensyen Falak Selangor 2015 & Seminar Pemerkasaan Pendidikan Ilmu Falak.

Sekian, terima kasih.