Ucapan Yab Dato’ Menteri Besar Selangor Di Majlis Makan Malam Tautan Ukhwah Wadah

 

UCAPAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR DI MAJLIS MAKAN MALAM TAUTAN UKHWAH WADAH

Tarikh: 3 SEPTEMBER 2016

Waktu: 8.00 MALAM

Lokasi: BANDAR BARU BANGI

  1. Saya bersyukur kerana pada malam ini dapat bersama dalam keluarga besar Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
  1. Dalam kita meraikan para du’at dan penggerak dakwah, marilah kita bersama – sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan pemimpin dan sahabat kita, Saudara Anwar Ibrahim yang kini masih merengkok di sebalik jeriji besi.
  1. Malam ini menghimpunkan generasi“The Rising Tide of Islam”, ungkapan yang disemarakkan oleh Saudara Anwar Ibrahim dalam ucapan dasar Muktamar ABIM pada tahun 1975 di Kolej Islam, Klang. Ucapan tersebut dibacakan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Nor kerana pada ketika itu Saudara Anwar Ibrahim berada dalam tahanan ISA.
  1. Hanya beberapa hari yang lalu kita menyambut kemerdekaan negara ke 59. PKPIM telah memainkan peranan yang cukup signifikan mengisi dada anak muda pasca kemerdekaan untuk menggilap idealisme dan memaknai erti kemerdekaan sebenar.
  1. Usaha PKPIM telah menyemai benih generasi baru yang membawa mesej dakwah Islam sebagai ad-deen – peraturan hidup yang lengkap, inklusif dan berdaya maju. Usaha secara tuntas memartabatkan pendidikan dalam program – program dakwah dan perkaderan telah mencorakkan pemikiran umat dan membentuk jati diri masyarakat madani bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di rantau ini.
  1. Selain daripada kegiatan bersifat aktivisme, PKPIM dan ABIM berperanan besar sebagai gerakan intelektual yang bertaut dengan umat dan mengangkat wacana sebagai medium untuk menyantuni aspirasi rakyat.
  1. Generasi zaman itu, menyaksikan bagaimana keupayaan dan keyakinan Ustaz Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang ketika itu hanya seorang pensyarah muda untuk berdebat dengan Menteri Pelajaran mengenai falsafah pendidikan negara.
  1. Maudhu’ perdebatan seperti itu masih relevan hari ini kerana matlamat dan falsafah pendidikan merupakan asas pembangunan insan dan tamadun. Seperti kita sedia maklum, intipati perdebatan hari ini adalah mengenai lunturnya kompas akhlak (moral compass) dan semata – mata memburu keduniaan. Perkara yang sama dikupaskan oleh Harry Lewis dalam bukunya yang berjudul Excellence Without A Soul.
  1. Selain daripada isu pendidikan dan pembangunan, PKPIM dan ABIM juga memberikan sumbangan yang besar kepada pembangunan integriti di dalam pentadbiran negara.
  1. ABIM sering menyorot kupasan Almarhum Profesor Dr. Syed Hussein Alatas, The Sociology of Corruption, yang diterbitkan pada tahun 1960 untuk menjana kesedaran awam tentang bahana rasuah yang boleh meruntuhkan negara dan tamadun.
  1. Sekiranya generasi hari ini dapat melihat semula pemikiran Syed Hussein Alatas, terbukti gejala kleptokrasi bukan satu gejala baru tetapi telah diperingatkan pada masa itu. Pentakkulan pesanan Syed Hussein Alatas menuntut generasi hari ini berwaspada dengan momokan bahawa kecurangan pengurusan kewangan adalah agenda asing.
  1. Semangat dan idealisme perjuangan harus disuburkan semula. Setelah hampir 60 tahun negara merdeka, saya percaya WADAH berperanan untuk meneruskan engagement, atau temu tembung dengan rakyat, masyarakat madani dan institusi kenegaraan untuk membolehkan obor idealisme ini terus membara.
  1. Menyambut saranan Saudara Anwar Ibrahim dalam perutusan sempena 45 tahun ABIM baru – baru ini, saudara – saudara sekalian perlu menjadi dhamir umat, the conscience of the majority.  Tatkala rakyat dihimpit oleh pelbagai kesulitan, tatkala kepimpinan negara tidak memiliki hala tuju dan bahtera kenegaraan terumbang ambing, kita perlu mengambil kemudi.
  1. Rakyat mendambakan kepimpinan yang berwibawa untuk mengeluarkan negara dari kemelut dan krisis yang berpanjangan. Kita dapat merasai denyutan nadi rakyat yang menuntut islah dan tajdid. Justeru itu, kita perlu bersama rakyat, menyantuni mereka dan memberikan kepimpinan kepada perubahan ini.
  1. Demi kelangsungan generasi pewaris masa depan, kita tidak boleh membazirkan tenaga melayani polemik picisan dan membiarkan anak muda hilang prinsip tasamukh dan diperdaya ke arah terorisme dan gerakan militan. Kita perlu menyuntik semangat baru kepada umat, menyeru mereka kepada pencerahan dan perpaduan sebagai wasilah untuk mengembalikan kegemilangan Islam.
  1. Realiti masyarakat Malaysia yang rencam menuntut kita melakukan temu tembung dengan semua golongan, merentasi umat Islam dan bukan Islam sebagai proses dakwah dengan kesabaran dan hikmah.
  1. Menggauli kepelbagaian masyarakat dengan sifat kasih sayang, bukan dengan kebencian dan permusuhan, adalah prasyarat pembinaan bangsa Malaysia yang dapat mengapresiasi kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.
  1. Sempena Bulan Kemerdekaan dan sambutan Eidul Adha, kita sewajarnya menghayati pengorbanan junjungan besar Baginda Rasulullah SAW yang diutuskan oleh Allah SWT untuk membawa rahmat kepada sekalian alam.
  1. Melihat kejayaan besar WADAH dalam usaha membangunkan umat yang berwibawa dan kompeten, saya terpanggil untuk memberikan dukungan dengan bantuan kecil awal bernilai RM50,000 untuk membiayai pembangunan Pusat Dakwah dan Tarbiah WADAH.
  1. Akhirnya, saya sekali lagi mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada pimpinan  dan keluarga besar WADAH di atas kesempatan bertemu para mantan du’at dan aktivis gerakan Islam. Marilah kita mendoakan semoga usaha dan ikhtiyar yang dilaksanakan ini, mampu memartabat negara dan syiar Islam seluruhnya.