Ucapan Yab Dato’ Menteri Besar Selangor Di Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-64 Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (Pvatm) Negeri Selangor

UCAPAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR DI PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN KE-64 PERSATUAN VETERAN ANGKATAN TENTERA MALAYSIA (PVATM) NEGERI SELANGOR

Tarikh: 4 SEPTEMBER 2016

Masa: 9.30 PAGI

Lokasi: KELAB SHAH ALAM

  1. Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana buat julung kalinya dapat bersama para pejuang dan perwira negara di Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-64, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Selangor.
  1. Saya juga dengan rasa tawadu’ dan rendah hati mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada YB Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Haji Mohd Nor, Presiden PVATM dan YBhg. Haji Mohd Din Bin Husnin, Yang Di-Pertua PVATM Negeri Selangor yang sudi mengundang saya ke majlis ini.
  1. Secara peribadi, pertemuan hari ini sangat besar ertinya buat diri saya kerana saya sendiri merupakan anak seorang prajurit. Bapa saya adalah seorang anggota tentera, dan saya masih ingat nombor anggotanya iaitu 3443.
  1. Mewakili Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakam penghargaan tinggi dan terima kasih kepada pihak Angkatan Tentera Malaysia yang turut sama menyertai perarakan Hari Kemerdekaan ke-59 Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 31 Ogos 2016 yang lalu.
  1. Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan rakyat pelbagai kaum, negeri dan ideologi. Semua kumpulan ini mempunyai peranan dan sumbangan yang tidak boleh dipadamkan dari sejarah.
  1. Kita berbangga kerana sejarah Angkatan Tentera Malaysia mencatatkan Leftenan Adnan Saidi, anak jati Negeri Selangor sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan melawan tentera Jepun. Kecekalan dan keberanian beliau mempertahankan Bukit Chandu adalah inspirasi buat generasi pasca kemerdekaan untuk memaknai erti keamanan dan kemakmuran hari ini.
  1. Sejarah perjuangan kemerdekaan juga menyorot kembali jasa patriot negara seperti Almarhum Jeneral Tan Sri Tunku Osman Bin Tunku Mohd Jewa yang berperanan besar membangun pasukan keselamatan negara demi mempertahankan kedaulatan negara. Beliau merupakan putera negara yang pertama memimpin pasukan keselamatan bagi melawan ancaman pengganas komunis sehingga menjadikan Malaysia, satu-satunya negara membangun di dunia yang berjaya menumpaskan ancaman komunis.
  1. ATM juga telah menyertai misi keamanan di peringkat antarabangsa apabila menghantar Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja ke Congo pada tahun 1960. Begitu juga ketika ATM menghantar 11 Rejimen Gerak Khas untuk membantu mewujudkan keamanan ketika krisis perang Bosnia pada 1992-1995.
  1. Kemerdekaan yang kita kecapi bukan bermakna tugas dan peranan ATM harus dikesampingkan. Kita melihat bagaimana khidmat ATM cukup signifikan dalam mempertahankan kedaulatan negara dalam kes pencerobohan di Lahad Datu dan isu pertindihan wilayah oleh beberapa kuasa besar khususnya di Laut China Selatan.
  1. Justeru, kita sedar dan insaf akan masalah yang terus membelenggu golongan pesara tentera yang berdepan dengan isu kadar pencen yang rendah dan tidak diselaraskan dengan gaji anggota perkhidmatan awam. Insya Allah, saya akan bersama – sama dengan YB Senator Tan Sri Mohd Anwar Haji Mohd Nor, Presiden PVATM untuk mengangkat isu ini di Parlimen bagi membela nasib para pejuang negara.
  1. Kerajaan Negeri juga sedar akan cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang terus meningkat hari ini. Justeru, bagi membantu kebajikan para veteran ATM melalui pihak persatuan, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk menyumbangkan sejumlah RM100,000 bagi tahun 2016 dalam bentuk geran kepada persatuan. Kerajaan Negeri juga secara dasarnya bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian geran tahunan kepada persatuan demi merealisasikan program – program kebajikan bagi membela nasib bekas – bekas prajurit negara.
  1. Nilai pasaran hartanah yang terus melambung tinggi menyebabkan ramai di kalangan para pesara tentera tidak mampu untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa buat keluarga. Maka, di peringkat Kerajaan Negeri, Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) telah menetapkan kuota 10% pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada RM250,000 untuk dimiliki oleh pesara tentera dan polis berkuatkuasa 1 September 2016.
  1. Kerajaan Negeri juga sedang merangka satu skim berbentuk insurans kesihatan yang membolehkan kumpulan sasar dalam masyarakat termasuk kumpulan pesara tentera yang berpendapatan RM1,500 ke bawah untuk mendapatkan kemudahan perkhidmatan kesihatan secara percuma.
  1. Pada masa yang sama, saya juga akan berbincang dengan pihak pengurusan HIJRAH, untuk menetapkan kouta tertentu daripada Tabung Skim Mikrokredit HIJRAH supaya dapat membantu pesara tentera memulakan perniagaan.
  1. Insya Allah, dengan usaha Kerajaan Negeri hari ini, kita cuba untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai negeri pilihan buat para pesara tentera kerana kita mahu sumber daya manusia ini terus menyumbang kepada kegiatan ekonomi sekaligus dapat membela kebajikan para pesara tentera.
  1. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama – sama menyempurnakan, Persidangan Perwakilan Tahunan ke 64 PVATM Negeri Selangor.