Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik Selangorku Idaman PKNS

22 Januari 2015

1. Kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya, saya dapat bersama di Majlis Pecah Tanah Rumah Selangorku Idaman PKNS Kota Puteri pada pagi ini.

2. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kekurangan rumah yang mampu dimiliki bukan sahaja menekan golongan berpendapatan rendah; tetapi juga golongan menengah di bandar. Berdasarkan data NAPIC (National Property Information Centre), semenjak 2011, harga rumah telah meningkat di antara 9.96% kepada 12.3% setiap tahun. Keadaan ini bertambah rumit apabila lonjakan harga rumah lebih besar daripada kenaikan gaji dan upah. Hal ini menyebabkan keupayaan memiliki rumah akan terus menjadi isu utama.

3. Harga rumah di pasaran hari ini menjadi semakin mahal untuk graduan muda dan golongan berpendapatan menengah. Mereka terpaksa menyewa rumah atau bilik di bandar atau membeli rumah di pinggir bandar. Ini akan menyumbang kepada isu baru iaitu urban poverty and unsustainable urban living environment. Maka; keperluan membina rumah mampu milik semakin mendesak.

4. Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa inisiatif untuk memenuhi permintaan perumahan mampu milik termasuk keperluan untuk memperkenalkan beberapa skim pemilikan rumah.

5. Kesan usaha ini akan dilihat dalam satu tempoh jangka panjang; tetapi yang penting ialah untuk menjamin kelangsungan dasar dan kemampanan program (continuity and sustainability) untuk setiap usaha bagi menjamin sosio ekonomi rakyat, taraf kehidupan yang lebih tinggi dan kehidupan yang berkualiti (quality of life).

6. Oleh yang demikian, melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan penyertaan pihak swasta, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menjadikan pembangunan perumahan mampu milik sebagai teras utama pakej rangsangan ekonomi Negeri Selangor bagi tahun 2015.

7. Pelaksanaan GST dalam Suku Tahun Pertama 2015 akan pasti memberi kesan kepada industri hartanah di negara ini. Selangor harus bersedia menghadapi kemungkinan kegawatan ekonomi dengan memberi fokus kepada pembangunan yang dapat menjana aktiviti ekonomi, meningkatkan disposable income, dan meneruskan program – program kebajikan dan sosio ekonomi bagi mengurangkan kesan perlaksanaan GST.

8. Saya memberi jaminan kepada rakyat Negeri Selangor bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak melupakan mereka khususnya golongan berpendapatan rendah dan golongan menengah. Kerajaan Negeri Selangor akan terus mendokong dasar peduli rakyat dan menjamin kebajikan setiap rakyat Selangor dan keluarga mereka. Langkah – langkah penjimatan dan belanja berhemah akan diperketatkan.

9. Trend pasaran hartanah dalam tahun 2015 yang menjurus kepada harga yang lebih mahal ekoran kenaikan harga kos bahan binaan pastinya merupakan cabaran baru kepada Kerajaan Negeri khususnya PKNS. Kita perlu mencari konsep pembangunan yang baru melalui kaedah cost efficiency, financial Innovation and convergence of design bagi mencapai hasrat sustainability dan impak positif dalam menangani masalah perumahan mampu milik khususnya di kalangan generasi muda. Namun begitu, saya yakin dan percaya dengan penggunaan teknologi pembinaan yang moden serta pembangunan di lokasi yang strategik seperti Kota Puteri, Kerajaan Negeri mampu memberikan nilai aset yang terbaik untuk dimiliki oleh rakyat.

10. Kerajaan Negeri Selangor telah menetapkan harga rumah mampu milik yang dimajukan oleh PKNS akan terus kekal dengan harga tidak lebih daripada RM 250,000.

11. Demi melunaskan tanggungjawab menyediakan perumahan untuk rakyat, Kerajaan Negeri mengalu – alukan penglibatan para pemaju hartanah swasta untuk terlibat dengan agenda Kerajaan Negeri yang mensasarkan pembangunan 15,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh 3 tahun. Pelbagai insentif telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam Dasar Rumah Selangorku termasuk diskaun premium tanah serta pengecualian caj pemajuan untuk melonjakkan lagi usaha yang berterusan.

12. Kerajaan Negeri juga sedang melihat kaedah pelaksanaan bagi mempermudahkan rakyat khususnya golongan muda untuk memiliki rumah mampu milik melalui konsep sewa – beli.

13. Melalui konsep sewa – beli ini, para penyewa boleh memiliki kediaman yang disewa selepas beberapa tahun membayar sewaan yang kemudiannya secara automatik bertukar menjadi deposit bagi memiliki kediaman tersebut. Ini secara tidak langsung mendidik para penyewa agar berdisiplin dalam aspek pengurusan kewangan dan pembayaran bulanan dengan motivasi bakal memiliki sebuah kediaman yang selesa untuk keluarga.

14. Projek Town House, Rumah Selangorku Idaman PKNS di Kota Puteri ini diyakini dapat melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial di kawasan sekitar Kota Puteri. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan pertumbuhan dan pembangunan baru di kawasan – kawasan tumpuan di luar Lembah Klang dan membangunkan Negeri Selangor sebagai sebuah negeri yang kosmopolitan, maju dan sejahtera.

15. Inilah tekad dan hasrat kita. Mudah – mudahan, kita mampu merealisasikannya dan projek ini dapat disiapkan demi kesejahteraan rakyat. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Selangorku Idaman PKNS, Seksyen 5, Kota Puteri.