Ucapan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Selangor ke 19

MAJLIS KONVOKESYEN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR KE 19 2016

1. Hari ini ibu bapa, keluarga dan warga akademik berhimpun di Majlis Konvokesyen Ke 19, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk merayakan kejayaan saudara dan saudari. Saya mewakili Kerajaan Negeri merakamkan tahniah dan syabas kepada 1006 graduan yang berjaya menerima ijazah kali ini. Kejayaan saudara saudari akan terus meningkatkan khazanah ilmu dan modal insan dalam Negeri Selangor.

2. Saya melihat keceriaan yang terpancar di wajah ibu bapa yang gembira di atas kejayaan anak masing-masing sebagaimana cerianya saya beberapa minggu lalu apabila menyaksikan anak saya memakai jubah graduasi. Saudara saudari jangan sesekali melupakan pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa; yang berterusan berdoa untuk kejayaan anak-anak di dalam pendidikan dan kerjaya. Terima kasih untuk ibu dan ayah.

Nyiur gading puncak mahligai,
Tempat pungguk bersama helang;
Ibu dan ayah bagai dibelai,
Putra-putri anak cemerlang.

3. Profesor dan pensyarah adalah paksi kecemerlangan intelektual yang merupakan asas kepada pembangunan masyarakat yang berkemajuan. Maka, mereka selayaknya diberikan penghargaan di atas khidmat yang gigih untuk memekarkan suasana kampus KUIS dari sebuah universiti yang lazim difahami kepada sebuah pusat kecemerlangan ilmu yang mampu menggerak dan menjana perubahan. Tahniah profesor dan pensyarah.

4. KUIS yang ditubuhkan pada Februari 1995 telah melalui transformasi yang membanggakan daripada sebuah kolej kepada universiti yang bertaraf antarabangsa.

5. Hari ini KUIS berjaya mengangkat martabat ilmu dan mutu pendidikan di Negeri Selangor. KUIS menjadi pilihan pelajar dengan peningkatan 200 peratus iaitu daripada 3500 pelajar kepada 9350 pelajar.

6. Sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, KUIS bertanggungjawab memenuhi harapan negeri untuk menjadi sebuah gedung ilmu selaras dengan motto KUIS, “pemangkin tradisi ilmu”.

7. Sebagai sebuah universiti, prinsip ta’dib mesti diterjemahkan dalam kerangka falsafah pendidikan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W :

Maksud : Tuhanku telah mendidik aku dengan sebaik-baik pendidikan.

8. Saya ingin menyorot kupasan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam karyanya “Islam : Faham Agama dan Asas Akhlak” mengenai tujuan menuntut ilmu dengan memupuk prinsip ta’dib, yakni menjelmakan kebaikan yang bertujuan menyemai adab ke dalam jiwa insan dan keadilan dalam diri insan. Adab merangkumi kesopanan, kesantunan dan keindahan peribadi. Adab juga bermaksud menentang kepalsuan dengan kebenaran, menegakkan sistem sosial yang berteraskan keadilan, ketertiban dan keteraturan dalam hubungan sesama manusia, yang menjamin hak kepada yang berhak dan yang layak.

9. Ini merupakan falsafah pendidikan yang abadi dan sejagat. Plato menegaskan peranan pendidikan dalam usaha melahirkan pemimpin yang berupaya dan mempunyai dhamir untuk menegakkan keadilan di dalam negara; dan keadilan di dalam negara bermula dari keadilan dalam diri sendiri.

10. Justeru itu, apabila sarjana Harvard, Harry Lewis, memaparkan kemerosotan institusi dan tradisi keilmuan, melebarkan permasalahan nilai dan keluhuran insan di institusi ulung barat dalam karyanya “excellence without a soul”, beliau sebenarnya memperakukan cita-cita murni dan idealisme pendidikan sebagai wahana pembangunan insan seutuhnya. Pendidikan bukan semata-mata bersifat utilitarian, kerana manusia bukan alat atau perkakas tetapi sebaik-baik kejadian Tuhan.

11. Kritikan terhadap pendidikan tinggi masa kini yang meremehkan persoalan jiwa dan ruh mempunyai asas yang kukuh. Namun, kita tidak boleh mengabaikan kecemerlangan akademik dalam menyediakan masa depan masyarakat dan negara. Untuk menghasilkan kecemerlangan ini, pelajar perlu memiliki disiplin.

12. Sementara kita menganjur kebebasan akademik untuk menyuburkan wacana dan pencerahan, namun kebebasan tersebut perlu terikat dengan disiplin dan nilai. Kebebasan tanpa disiplin akan membawa kepada keberantakan diri dan masyarakat. Penyair-filasuf Muhammad Iqbal berpuisi:

Freedom of thought for them is ruinous,
Which do not possess a disciplined mind;

13. Dengan mengambil inspirasi dari gagasan Muhammad Iqbal, KUIS berperanan menyambung tradisi pendidikan Islam sejagat, mengikut epistemologi ilmu-ilmu Islam dalam tradisi Ahlus Sunnah Wal Jamaah; mengithbatkan mazhab Imam Abu Hasan al-Asha’ari dalam aqidah, mazhab Imam al-Shafie dalam fiqah dan mazhab Imam al-Ghazali di dalam tasauf. Inilah yang disebut sebagai affirmation of faith dalam konteks Islam Nusantara.

14. Pada masa yang sama, doktrin dan amalan ijtihad mesti dipertahankan kerana terbukti doktrin ini telah menyumbang kepada dinamisme dan perkembangan khazanah tamadun Islam. Ijtihad semakin releven khususnya dalam menghadapi cabaran semasa.

15. Namun, dalam menganjurkan amalan ijtihad bagi mereka yang layak dalam masyarakat, kita juga mempunyai tanggungjawab untuk mempertahankan prinsip toleransi dan kesederhanaan yang telah berakar dalam tamadun Islam. Pendekatan ini amat perlu bagi mengelakkan berlakunya keterlanjuran, ekstrimisme, sikap fanatik agama dan kaum.

16. Pendekatan sederhana ini menyerlah dalam genius dan kebijaksanaan tradisi pendidikan Islam tradisional Nusantara yang telah melahirkan alim ulama dan menjadikan Asia Tenggara sebagai rantau Islam yang terbesar di dunia. KUIS telah mendokumentasikan tradisi ini melalui dua penerbitan, “Prosiding Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara” dan “Tokoh-Tokoh Ulama Selangor”.

17. Penerbitan ini turut menampilkan Selangor sebagai salah satu tonggak kepada tradisi tersebut melalui gabungan antara ulama’ dan umara’. Keistimewaan ini tampak mekar dalam pemerintahan Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor ke 5 yang diberikan gelaran sultan yang mengasihi ulama.

18. Kebijaksanaan para ulama Nusantara lampau menjadikan Bahasa Melayu, lingua franca rantau ini, sebagai bahasa dakwah. Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Nafis al-Banjari telah mengangkat Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pengucapan intelektual.

19. Apabila Nusantara bangkit kembali di zaman penjajahan, Muhammad Yamin menulis Sumpah Pemuda dalam tahun 1924 menobatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Indonesia meskipun Bahasa Jawa merupakan bahasa ibunda kepada jauh lebih ramai penduduk wilayah yang kemudiannya bernama Indonesia. Sutan Takdir Alisyahbana, pemimpin kepada gerakan bahasa dan kebudayaan yang bernama Pujangga Baru, menjadikan Bahasa Melayu sebagai wahana wacana dan perdebatan tentang hala tuju dan masa depan kebudayaan dan tamadun Alam Melayu dalam Polemik Kebudayaan.

20. Tidak ada gagasan dan pemikiran, lama atau baru, baik sastera mahupun sains dan teknologi, hatta ekonomi, yang tidak boleh diwacanakan melalui Bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan di Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura. Namun, Bahasa Melayu perlu terus diperkaya dan diperkasa dengan segala warisan ilmu dan kebudayaan dari semua tamadun manusia.

21. Syahdan, kini kita boleh membaca San Guo Yan Yik dari China dan Mahabharata dari India dalam Bahasa Melayu. Kita perlu mengusahakan agar karya-karya agung dunia yang lain boleh dihayati dalam Bahasa Melayu. Sayugia itu, gerakan perterjemahan perlu dirancakkan sebagai wahana kepada osmosis intelektual dengan membawa idea dan pemikiran timur dan barat, lama dan baru untuk dirakyatkan.

22. Hasrat inilah yang mendasari Projek Pencerahan Selangor, usaha penterjemahan karya agung dunia dari pelbagai bahasa ke dalam Bahasa Melayu. Dengan langkah ini, tanpa ragu, Bahasa Melayu akan kembali memacu tradisi ilmu dan mencapai apa yang diungkapkan sebagai greater intellectual advancement. Saya yakin KUIS, para profesor, pensyarah dan pelajar mampu bersama dalam menjayakan agenda ketamadunan ini.

23. Tatkala kita berdepan dengan cabaran semasa, Kerajaan Negeri tuntas menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk semua rakyat khususnya daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Kita tidak mahu mewujudkan keadaan survival of the richest, di mana pendidikan berkualiti hanya dimonopoli oleh segelintir kaum elit.

24. Selangor sedang melakukan anjakan paradigma daripada ekonomi berasaskan buruh kepada ekonomi berasaskan ilmu (knowledge economy) dan berteknologi tinggi.

25. Kerajaan Negeri sedang melabur dalam sumber daya manusia dan kepakaran. Justeru, Kerajaan Negeri sejak tahun lalu telah mewujudkan Tabung Biasiswa Selangorku dengan peruntukan berjumlah RM 10 juta setahun untuk membantu anak Selangor dari luar bandar dan berpendapatan rendah mendapatkan akses kepada pendidikan berkualiti. Walhasil, seramai 61 orang pelajar di KUIS telah menerima manfaat ini bagi melanjutkan pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

26. Bagi melahirkan kumpulan fikir dan profesional di peringkat tinggi, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Brain Bank dengan dana berjumlah RM 5 juta sebagai biasiswa bagi pengajian bidang-bidang strategik dan kritikal di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

27. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM 5.07 juta kepada Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat KUIS sebagai tajaan kepada 352 orang pelajar bagi melahirkan para huffaz yang profesional.

28. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga peduli terhadap bebanan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh para pelajar KUIS dan UNISEL. Maka, Kerajaan Negeri telah melaksanakan Dana Bantuan Sara Diri Anak Selangor yang memberi manfaat kepada 290 orang pelajar KUIS dengan pembiayaan sebanyak RM 533,200.

29. Akhirul kalam, doa saya mengiringi para graduan. Berjalanlah di muka bumi dengan penuh keyakinan membawa obor pencerahan untuk menjana perubahan. Ilmu yang diperolehi dari profesor dan pensyarah menjadi bekalan untuk para graduan menjadi agen perubahan.

30. Jadilah seorang reformis; berlabuhlah dalam masyarakat dengan membawa harapan baru untuk membina sebuah negara Malaysia yang gagah dan rakyat yang bermaruah.

31. Harapan saya tinggi menggunung, apabila saudara saudari para graduan meninggalkan dewan ini, bawalah bersama bukan hanya segulung ijazah, tetapi juga keyakinan diri, dan iltizam untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara. Saudara saudari adalah sebahagian daripada 15,179 alumni KUIS yang akan dan sentiasa mencurahkan khidmat bakti demi mengangkat martabat rakyat dan Negeri Selangor.

32. Ingatlah, kalian mungkin telah menamatkan pengajian tetapi ianya hanyalah langkah pertama kepada satu permulaan.

33. Sementara harapan saya kepada profesor dan pensyarah KUIS. Kemudilah KUIS dengan mantap dan jaya. Didiklah anak watan dengan rasa kasih, himmah dan hikmah; ajar mereka mengenal jati diri, hidup berpaksi kepada aqidah dan berpaut pada budaya luhur; ibarat ungkapan Taufik Ismail, “…mengakar ke bumi dan mengapai langit.”

34. Penampilan warga akademik adalah sebagai ilmuan, pengurus prihatin, menekankan nilai dan akhlak, mempertahankan kebebasan akademik dengan tekad tegas menjurus kepada kecemerlangan ilmu. Universiti perlu mengembalikan suasana terbuka seperti yang dilontarkan oleh Amartya Sen sebagai “public contestation of ideas to generate an argumentative environment” dan berupaya mencungkil bakat dan kreativiti di kalangan warga kampus dan menjana wacana ilmiah dan akademik di universiti. Saya berpendirian prasyarat ini tidak boleh dimungkiri.

Raja Haji pendeta Bugis,
Mengarang kitab nahu Melayu;
Menuntut ilmu janganlah habis,
Kelak akal tidak layu.

Siti Nurbayah srikandi ratu,
Membaca kitab dari seberang;
Tinggi ilmu adab menyatu,
Akal dan hati menjadi terang.

35. Maka, dengan lafaz marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke 19, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.