Ucapan YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Majlis Pelancaran Buku “Institusi Seni Khat dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu”

Yayasan Restu (2 of 5)Yayasan Restu (3 of 5)Yayasan Restu (4 of 5)Yayasan Restu (5 of 5)

 

1. Pada petang ini, kita mendukung usaha Yayasan Restu untuk meningkatkan kefahaman terhadap dimensi kesenian dan keindahan Islam. Buku “Institusi Seni Khat dari Semenanjung Tanah Arab ke Yayasan Restu” adalah saksi kepada hadis nabi :

إِنَّ اللَّهَ جَمِيْلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah maha indah, Dia suka kepada segala yang indah.

2. Buku ini memberikan kita pencerahan kepada keagungan seni khat dalam tamadun Islam yang tiada taranya. Seni khat Islam telah memaparkan kemuncak ketamadunan estetika Islam dalam lapangan seni halus.

3. Seni Islam yang pertama adalah seni qiraat Al-Quran kerana wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W diajarkan kepada para sahabat secara lisan. Ilmu qiraat dan seni qiraat muncul untuk memastikan Al-Quran dibaca secara tartil mengikut tajwidnya. Ini diperkembangkan kemudiannya dengan seni taranum. Kegemilangan qiraat Al-Quran adalah antara manifestasi yang nyata mukjizat Al-Quran.

4. Sejak awal lagi, seni khat sebagai seni Islam yang kedua telah melahirkan generasi pengkarya dan pereka yang berkemahiran untuk terus memperbaiki dan memperindahkan pengeluaran teks bertulis Al-Quran.

5. Dalam sejarahnya, penghasilan seni khat ke tahap yang tinggi telah dihasilkan dengan sumbangan bangsa Arab, Parsi, Turki dan Mughal. Secara beransur-ansur, seni ini tersebar ke China dan Asia Tenggara sebagai mercu tanda kegemilangan tamadun Islam.

6. Kini, pengaruh dan genius rantau ini telah mencorakkan hiasan dan citra estetik dalam perkembangan khat di Nusantara. Bunga dan tumbuhan yang dikurniakan Ilahi di wilayah khatulistiwa memang sewajarnya menjadi inspirasi dan pendorong kepada penghasilan dan penghiasan mushaf untuk rantau ini.

7. Kita berkongsi kegembiraan dengan usaha Yayasan Restu untuk menginstitusikan pengajian seni khat supaya kembali ke zaman kegemilangan Islam di mana seni dan budaya merupakan elemen terpenting dalam mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan umat.

8. Justeru itu, Yayasan Restu telah berjaya melahirkan penggiat seni khat yang sering mengungguli banyak pertandingan seni khat termasuk peringkat antarabangsa. Pencapaian seperti ini amat bermakna untuk memperkayakan nilai warisan Islam dalam negara khususnya di Negeri Selangor.

9. Medium adalah mesej. Keindahan seni khat Islam adalah cerminan yang membawa risalah keindahan Islam itu sendiri, menampilkan wajah Islam kepada dunia sebagai Rahmatan lil Alamin.

10. Kejayaan menampilkan risalah keindahan Islam telah meletakkan Negeri Selangor, khususnya Shah Alam, dalam peta estetik dunia Islam dan memberikan nuansa serta warna khas kepada penghayatan Islam di Nusantara yang berteraskan keadilan, kasih sayang dan toleransi.

11. Sejarah Islam telah mempamerkan sintesis kudrat intelektual yang begitu dashyat dan keupayaan amali serta teknik. Sintesis ini telah menghasilkan kejayaan gemilang dalam usaha manusiawi yang didorong oleh kekuatan Islam itu sendiri.

12. Maka, dunia menyaksikan pencapaian yang agung oleh umat Islam dalam bidang falsafah, sains & teknologi dan lapangan estetik yang meliputi seni bina, khat dan lain-lain.

13. Pada hari ini, tenaga umat Islam harus ditumpukan kepada mencipta mercu tanda ketamadunan. Malangnya, sebahagian besar tenaga umat Islam telah dibazirkan dalam konflik dan pertelingkahan, terorisme dan gerakan militanisme.

14. Justeru itu, cabaran kepada umat Islam hari ini adalah untuk menggembeleng kembali dan menyalurkan tenaga kepada kegiatan yang produktif, bermanfaat dan berguna.

15. Usaha Yayasan Restu mencerminkan langkah signifikan towards the reconstruction of the glory of Islamic civilization – meminjam ungkapan Muhammad Iqbal untuk membangun kembali kegemilangan tamadun Islam.

16. Untuk mencapai matlamat ini, pendidikan perlu memainkan peranannya. Kerajaan Negeri melihat prinsip ta’dib mesti diterjemahkan dalam kerangka falsafah pendidikan termasuk di institusi pengajian tahfiz. Kurikulum tahfiz hari ini sedang menyaksikan suatu anjakan yang menuntut perkembangan pendidikan yang lebih holistik termasuk memberikan nilai kepada bidang-bidang kemahiran, teknologi dan kesenian.

17. Kerajaan Negeri menyarankan supaya Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi juga memperkenalkan kurikulum dalam bidang seni khat Islam sebagai subjek elektif. Kita mengharapkan agar graduan Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi ini boleh meningkatkan tahap kebolehpasaran mereka dalam masyarakat melampaui kegiatan masjid dan madrasah dengan mencipta nilai baru kepada perkembangan Islam yang menyeluruh.

18. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penerbitan buku ini, terutamanya penulis, Dr. Haji Abdul Rahman Bin Haji Hamzah.

19. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan buku ini dengan iringan doa agar ia mencapai matlamat murninya dan tersebar luas di tengah masyarakat.

Sekian, terima kasih.