UCAPAN YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI DI MAJLIS PERHIMPUNAN MALAYSIA PRIHATIN – MITI YANG PROGRESIF DAN RESPONSIF

10 March 2021

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi

1. Setahun yang lalu, saya melangkah masuk ke MITI dengan pelbagai cabaran dan harapan. Alhamdulillah, hari ini, setelah genap setahun, saya berdiri teguh di hadapan saudara-saudari untuk menjayakan visi MITI, yakni, menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan negara perdagangan paling berdaya saing.

2. Tidak mungkin saya berdiri di sini tanpa sokongan dan dukungan Ketua Setiausaha, Datuk Lokman Hakim Ali. Tidak mungkin saya berdepan dengan cabaran industri tanpa panduan Dato’ Sri Norazman Ayob. Saya tidak mampu menggalas dinamika perdagangan global tanpa kerjasama Encik Hairil Yahri Yaacob dan pastinya saya tidak akan berjaya mengamit pelabur untuk melabuh di Malaysia tanpa saranan Datuk Bahria Mohd Tamil.

3. Saya ingin berterus terang, bahawa saya tidak berupaya menangani segala cabaran dan menepis pelbagai serangan tanpa sokongan dan dukungan utuh saudara-saudari dan seluruh warga MITI sekalian. Terima kasih kepada anda semua.

4. Hampir setahun kita tidak dapat mengadakan rapat atau perhimpunan besar seperti ini. Pandemik COVID-19 telah menghalang pergerakan kita merentasi sempadan, daerah, negeri dan negara. Sekatan perjalanan telah menjejaskan aktiviti ekonomi serta pasaran pekerja.

5. Pandemik COVID-19 bukan sahaja mengancam kesihatan rakyat, tetapi ianya telah meruntuhkan apa yang kita bina selama ini. Ekonomi global, rantau dan negara semuanya terkesan. Rakyat hilang pekerjaan dan pendapatan. Rantaian bekalan terputus, permintaan luaran terjejas dan industri tempatan lumpuh.

6. Pagi ini kita bersyukur kerana dapat bertemu untuk mengembleng wahdatul fikr atau kesatuan pemikiran untuk menggarap seluruh kekuatan ke arah mencerdaskan ekonomi negara dan mengembalikan pekerjaan untuk rakyat. We rise to a new dawn and forge ahead towards a better and brighter future.

Pergi tanyakan pada helang,
Mengapa bunga hilang seri ;
Bukan kepalang wabak menyerang,
Laksana garuda menyambar negeri.

Helang terbang hingga ke Tenggara,
Mencari azimat memulihkan seri ;
Agar rakyat kembali sejahtera,
Tampil MITI mencerdaskan ekonomi.

7. Kerajaan Perikatan Nasional yang prihatin mendepani cabaran yang melanda negara dan dunia dengan tegas dan bertanggungjawab. Kita juga sedar, cabaran yang kita hadapi adalah unprecendented dan memerlukan penyelesaian luar biasa. Extraordinary circumstances demand extraordinary measures.

8. Dalam situasi yang amat mencabar ini, apakah tindakan kita? We took a calculated approach. We engaged all the experts in the field, the critical industries, infact, all relevant sectors including the informal sector and those in the gig economy, and last but not least, the backbone of our economy, the MSMEs.

9. Namun, persoalan kita adalah, apakah cabaran yang paling getir ? Saya pasti saudara saudari bersetuju bahawa cabaran terbesar di hadapan kita adalah untuk mengimbangi tuntutan melindungi nyawa dan kesihatan rakyat, serta menjamin pendapatan dan kesejahteraan mereka. The biggest challenge was, and still is, to strike a balance between lives and livelihoods.

10. Kita tidak ada pilihan selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan untuk melindungi nyawa dan kesihatan rakyat serta melandaikan keluk penularan COVID-19. Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini merupakan satu keputusan yang berani, tepat dan bertanggungjawab – courages, decisive and responsible.

11. Namun, sudah pasti tindakan ini memberi kesan kepada ekonomi dan pendapatan rakyat – the unintended economic consequences. Ekonomi negara mengalami pengucupan yang luar biasa sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) benar pada suku keempat 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak -3.4%. Bagi keseluruhan tahun 2020, KDNK benar telah mencatatkan kemerosotan sebanyak -5.6%.

12. Penguncupan KDNK pada suku keempat 2020 adalah disebabkan terutamanya oleh pelaksanaan PKPB semenjak bulan Oktober 2020. Kadar pengangguran kekal pada paras yang tinggi iaitu 4.8%.

13. Dalam tempoh sukar, saudara-saudari telah melakukan pengorbanan yang luar biasa. Di dewan ini, saudara-saudari duduk dan berkampung meninggalkan keluarga, bersengkang mata untuk memastikan aktiviti ekonomi terus beroperasi. Saudara-saudari sekalian telah menyumbang kepada usaha menjamin keseimbangan di antara perlindungan nyawa dan kesihatan serta ekonomi dan pekerjaan. For that, I salute you.

14. Kerajaan Perikatan Nasional yang prihatin, yang peduli rakyat dan senantiasa merasai denyutan nadi serta kepayahan hidup rakyat termasuk Mak Cik Kiah telah melakukan suntikan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM320 bilion untuk segera kick start the economy and initiate the recovery process.

15. Kepada segelintir kelompok yang berterusan mencemuh dan memperlekehkan usaha Kerajaan, biar saya tegaskan bahawa actions speak louder than words and numbers don’t lie. Kekuatan kita adalah pelaksanaan kata-kata.

16. Sehingga 26 Februari 2021, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah membantu 10,584,892 rakyat dengan peruntukan sebanyak RM17.17 bilion. Manakala seramai 4,264,000 orang telah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang melibatkan peruntukan Kerajaan sebanyak RM426.4 juta. Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) Mikro diberdayakan dengan peruntukan RM2.55 bilion melalui Geran Khas Prihatin yang dapat membantu seramai 848,512 peniaga kecil. Seramai 2.7 juta pekerja tempatan dilindungi pekerjaan mereka dalam 327,908 majikan dengan Bantuan Subsidi Upah sebanyak RM13.53 bilion.

Saudara-saudari sekalian,

17. Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia perlu terus aktif di dalam perdagangan global. COVID-19 merupakan satu cabaran besar kerana merencatkan rantaian bekalan global.

18. Mendepani cabaran ini, organisasi jaringan perdagangan antarabangsa dan kemitraan seperti APEC dan RCEP adalah sangat penting bagi Malaysia. Maka, Malaysia telah mengambil langkah proaktif dan progresif untuk meneruskan Sidang Ketua-Ketua Ekonomi APEC walaupun dilaksanakan secara maya buat pertama kalinya. APEC telah bersetuju untuk menerima Visi Putrajaya 2040 dan juga Deklarasi Kuala Lumpur 2020 untuk memacu perdagangan pelbagai hala di kalangan ekonomi APEC.

19. MITI juga telah memacu kejayaan apabila Malaysia menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau atau RCEP. Usaha ini telah merangkul 2.2 bilion penduduk dunia dari 15 buah negara dan kini, RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang terbesar di dunia. RCEP akan membuka pasaran yang lebih besar kepada pemain industry tempatan dan mewujudkan integrasi ekonomi serantau. Ini akan memberikan kesan gandaan kepada ekonomi tempatan.

Saudara-saudari sekalian,

20. Kejayaan tidak boleh membuatkan kita alpa dan leka. Kita tidak berhenti di sini. Kita terus mengorak langkah sederap ke hadapan. Kerajaan telah memulakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan meningkatkan sentimen pengguna ke arah pemulihan dan pencerdasan ekonomi.

21. Syukur, saya dan YB Timbalan Menteri telah menerima suntikan vaksin. Alhamdulillah.

22. Sekarang, menjadi tanggungjawab kita semua sebagai warganegara untuk mengambil suntikan vaksin. Pastikan diri kita, anak dan isteri kita, ibu bapa dan jiran tetangga serta sahabat handai segera mendaftar melalui MySejahtera. Kita berpegang kepada prinsip ‘no one is safe until everyone is safe’. Justeru itu, program immunisasi ini memberi tumpuan kepada Barisan Hadapan, kumpulan rentan, warga emas dan juga komuniti diplomatik, pemastautin tetap dan pekerja asing.

23. Lebih cepat rakyat mendapatkan vaksinasi bermakna lebih pantas ekonomi negara akan pulih. Kerajaan juga sedang mengkaji bagi memperkenalkan paspot vaksin kepada rakyat yang telah mendapat vaksinasi. Paspot ini membolehkan pergerakan rentas sempadan ke negara-negara lain. Malaysia bersama rakan-rakan ASEAN lain juga sedang menilai mekanisme yang terbaik pelaksanaannya.

Saudara-saudari sekalian,

24. Dalam kegetiran ekonomi global pada tahun 2020, Malaysia tetap menjadi destinasi pelabur yang terpilih. Malaysia telah mencatatkan sejumlah RM164 bilion pelaburan yang diluluskan melalui 4,599 projek dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama. Sektor perkilangan turut cemerlang dengan peningkatan 10.3 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pelaburan yang dilulus sebanyak RM91.3 bilion untuk tahun 2020.

25. Sasaran kita seterusnya adalah untuk menarik pelaburan yang berkualiti tinggi dari segi teknologi dan keperluan tenaga kerja. Pelaburan berkualiti tinggi ini adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadi a high income nation, ekonomi yang berdaya saing dan mengurangkan kebergantungan kepada keperluan tenaga kerja asing.

26. Prestasi perdagangan luar juga memberikan kita keyakinan bahawa negara berada di landasan yang kukuh dalam usaha mencerdaskan ekonomi yang mampan dalam jangka panjang. Lebihan dagangan yang dicatatkan pada tahun 2020 adalah yang terbesar setakat ini, disamping ianya merupakan lebihan dagangan yang dialami negara bagi 23 tahun berturut-turut sejak tahun 1998. Lebihan dagangan meningkat 26.9 peratus kepada RM184.79 bilion berbanding 2019.

Saudara-saudari sekalian,

27. MITI memperkenalkan satu inisiatif baru [email protected] untuk sektor pembuatan dan berkaitan dengannya. Inisiatif ini merangkumi SOP yang komprehensif untuk meningkatkan langkah-langkah kesihatan awam, memberi kuasa kepada industri untuk mewujudkan persekitaran kerja dan tempat tinggal yang selamat untuk pekerja.

28. Pelaksanaan [email protected] akan memastikan kesinambungan perniagaan dengan melindungi lives and livelihood dan majikan dipertanggungjawabkan untuk membendung penularan wabak ini. Industri yang mempraktik [email protected] akan dapat mewujudkan suasana kerja yang selamat dengan mengasingkan kumpulan pekerja yang tekah dikenal pasti mempunyai hubungan rapat dari pekerja lain di asrama dan kilang.

29. Tujuan [email protected] adalah untuk membolehkan pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan pekerja yang positif COVID-19 untuk terus bekerja di kilang walaupun hasil ujian belum diperoleh. Ini akan membolehkan kesinambungan perniagaan walaupun terdapat kes positif di tempat kerja.

30. Trajektori pertumbuhan diunjurkan bertambah baik bermula suku kedua tahun 2021. Prospek ekonomi yang bertambah baik ini akan di dorong oleh permintaan luaran yang kembali pulih, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat.

31. Bagi menjamin pemulihan pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan memberikan tumpuan kepada reformasi struktur ekonomi yang berterusan, terutamanya dalam mempercepatkan proses digitalisasi, memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan dan membangunkan bakat yang memenuhi permintaan pasaran buruh untuk masa hadapan.

32. Saya mempunyai kepercayaan dan keyakinan penuh terhadap kewibawaan dan kesungguhan saudara-saudari sebagai barisan hadapan ekonomi negara. Ingin saya tegaskan bahawa perjuangan mencerdaskan ekonomi belum selesai. Kita perlu terus berganding bahu dan melangkah sederap untuk mengilap kekuatan ekonomi negara sehinggalah kita berjaya mencetus dinamika baru pertumbuhan ekonomi serantau.

33. Akhirul kalam, kita perlu bekerja lebih kuat dan tekun secara berpasukan. Kita perlu meningkatkan libat urus dengan semua pemegang taruh. Integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban adalah keutamaan nombor wahid bagi seluruh keluarga besar MITI. Kita tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang unsur salah guna kuasa dan rasuah. Profesionalisme, ehsan dan kecemerlangan adalah budaya dan jati diri kita. Ayuh, kita maju ke hadapan dengan satu tekad, MITI Pemangkin, Malaysia Prihatin.