Ucaptama YB Azmin Ali – Seminar Pembangunan Semula Pemikiran Islam Melayu – 12 Februari 2011

Saya mengucapkan tahniah kepada Yayasan Selangor dan Institut Kajian Dasar kerana menganjurkan seminar ini. Seminar ini amat bermakna bagi umat Islam dan Umat Melayu khasnya. Umat Melayu-Indonesia adalah umat Islam yang terbesar di dunia. Dari perspektif tersebut Alam Melayu-Indonesia adalah pusat kepada dunia Islam, bukan di pinggir dunia Islam seperti yang dianggap oleh pengkaji-pengkaji. Bahkan saudara kita se umat Islam – Arab, Parsi, Turki, India dan Pakistan, sendiri melihat rantau ini sebagai pinggir dunia Islam. Paling parah lagi apabila umat Melayu-Indonesia sendiri merasakan mereka duduk di pinggir. Akibatnya mereka dilanda psikologi pinggiran.

Sudah sampai masanya umat Islam Melayu-Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan Singapura mempunyai keyakinan untuk membangun pemikiran yang asli untuk mendepani cabaran umat, rantau dan dunia. Untuk itu kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit, baik perkauman mahupun ideologi. Kekuatan dan tenaga yang akan membawa kita keluar dari kesempitan tersebut, tidak lain dan tidak bukan adalah kesejagatan dan universalisme Islam itu sendiri.

Bahkan kedudukan Alam Melayu dewasa ini menuntut keberanian dan kecekalan. Dunia hari ini memperkatakan kebangkitan China dan India. Peterson Institute of International Economics menegaskan ketika Presiden Hu Jintao bertemu dengan Presiden Barack Obama di Washington awal tahun ini dari segi purchasing power parity China sudah menjadi ekonomi no 1 dunia. Maka dunia Islam yang diwakili oleh Alam Melayu-Indonesia berada di tengah-tengah ekonomi no 1 di dunia dengan satu lagi kuasa baru dunia iaitu India. Maka tanggungjawab berdepan dengan kuasa-kuasa baru ini adalah tanggungjawab umat Melayu.

Selama satu kurun pemikiran dunia Islam dihantui oleh persoalan Islam dengan Barat. Sejak dari abad ke-19 umat Islam ditakluk dan dijajah oleh kuasa-kusa imperialis Barat. Setelah dunia Islam memperolehi kemerdekaan persoalan Islam dengan Barat masih berterusan kerana negara-negara di kedua belah Lautan Atlantik mendominasi dunia dari segi ekonomi, politik dan ketenteraan. Justeru itu wacana dan penulisan pemikir-pemikir dan juga pimpinan politik dan sosial dunia Islam tertumpu dengan isu “Islam and the West”.

Pemikir-pemikir seperti Taha Husayn dan Sutan Takdir Alisyahbana melihat kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan Barat berpunca dari kebudayaan yang mereka bina dari Renaissance, Enlightenment, rasionalisme dan ilmu-ilmu yang berteraskan sains dan falsafah. Taha Husayn begitu memperkecilkan Asia dan menyatakan Mesir adalah sebahagian dari Barat dan masa depan Mesir adalah bersama dengan Barat. Sutan Takdir Alisyahbana pula melihat alam Melayu-Indonesia berada di zaman jahiliah sebelum kedatangan kuasa-kuasa Barat.

Sekiranya mereka, khususnya Sutan Takdir, hidup hari ini mereka pasti akan menggesa kita membuat persedian ilmu dan strategi untuk melakukan engagement dengan China dan India. Dan umat Melayu-Indonesia berada dalam lokasi yang begitu strategik dan bertanggungjawab untuk merumus strategi seluruh dunia Islam untuk berdepan dengan realiti baru ini.

Tema seminar hari ini mengingatkan kita kepada siri ceramah penyair dan filasuf agong Islam – Muhammad Iqbal dalam tahun 1932 yang bertajuk The Reconstruction of Religious Thought in Islam, pembangunan semula pemikiran Islam. Projek pembangunan semula pemikiran Islam sejak ianya digagaskan oleh Iqbal tahun 1930an masih terus berjalan. Umat Islam rantau ini perlu merealisasikan agenda tersebut demi berhadapan realiti global yang terkini. Bab terakhir Gelombang Kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim telah melakarkan haluan atau orientasi segar yang perlu diambil oleh umat Islam Asia Tenggara. Umat rantau ini, secara tidak kita sedari telahpun mengikut aliran Madrasah al-Ra’yu, iaitu aliran yang lebih cenderung menggunakan ijtihad untuk mengetahui maksud dan tujuan disebalik sesuatu perintah syarak dan cuba melaksanakan tujuan tersebut tanpa terlalu terikat dengan pengertian harfiyyah sesuatu nas. Melalui pendekatan ini, saya yakin kita mempunyai kekuatan dan keyakinan untuk mendepani setiap cabaran semasa dan cabaran yang bakal muncul. Bukan sahaja kita berjaya menghadapi cabaran tersebut tetapi kita juga boleh muncul sebagai kekuatan baru yang positif untuk keamanan dan kemakmuran dunia.

Dalam keluaran Jan-Feb 2010 Foreign Affairs terdapat satu rencana yang bertajuk The New Population Bomb. Penulis tersebut membuat unjuran dalam beberapa dekad lagi jumlah penduduk kelas menengah di negara-negara membangun akan melebihi keseluruhan peduduk di Eropah dan Amerika. Ini bermakna berdasarkan faktor demografi setelah hampir 400 ratus tahun tamadun Barat mendominasi dunia dalam beberapa dekad lagi masyarakat-masyarakat negara membangun secara kolektif akan menjadi lebih kaya dari Barat. Negara-negara ini adalah terletak di Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Barat dan Afrika di mana sebahagian besar mereka adalah umat Islam.

Jelas kita sedang berdepan dengan The New Asian Century. Maka wacana yang perlu disegarkan seharusnya “Islam and the New Asian Century” sebagai wacana dominan untuk menggantikan wacana “Islam and the West”. Maka persediaan kita sudah pasti dengan pengkajian dan pemahaman mendalam terhadap tamadun-tamadun China, India, dan tamadun-tamadun yang lahir dari sintesis antara dua tamadun tersebut. Kita sebenarnya seolah-olah kembali ke zaman sebelum kedatangan Vasco da Gama dan Alfonso de Albuquerque. Sebelum kedatangan kuasa-kuasa barat Portugis, Belanda dan Inggeris, Asia Tenggara adalah tempat pertembungan tamadun China dan India. Setelah 500 tahun, kita harus kembali untuk menyambung dialog tamadun tersebut.

Tema besar dialog tamadun dalam kebangkitan benua Asia ini amat relevan pada masyarakat Malaysia. Malaysia mempunyai wakil-wakil tamadun Islam, China dan India. Sekiranya kita berjaya menggembling kekuatan dan tenaga ketamadunan ini untuk membentuk satu tamadun yang demokratik, adil, makmur dan aman, kita akan memberikan sumbangan yang amat besar kepada kemanusiaan.

Unjuran The New Population Bomb seharusnya memberikan umat Islam keyakinan. Tetapi gagasan bagi umat Melayu-Indonesia muncul sebagai kekuatan baru yang membentuk tamadun memerlukan minda yang luas. Kita perlu keluar dari kepompong pemikiran sempit. Umat Islam perlu keluar dari minda ketakutan. Filasuf Bertrand Russell pernah berkata: “Fear is the main source of superstition, and one of the main sources of cruelty. To conquer fear is the beginning of wisdom”. Kerana takut kepada musuh-musuh politik beliau Stalin melancarkan the Great Terror yang menyebabkan kematian berjumlah 30 juta. Kerana takutkan orang Yahudi Hitler melaksanakan Holocaust yang membunuh 6 juta orang Yahudi. Kerana takut digulingkan oleh orang nombor duanya Liu Shao Qi maka Mao Zedong melancarkan The Great Proletarian Cultural Revolution yang menyebabkan 20 juta rakyat China yang tidak berdosa mati. Begitu juga dengan Pol Pot kerana takutkan kehidupan bandar merosakkan moral manusia beliau melakukan pemindahan secara paksa ke luar bandar yang paling besar dalam sejarah. Akibatnya hampir dua juta manusia mati.

Ketakutan akan menyebabkan kita membuat dasar-dasar celaru, zalim dan merugikan. Kerana takutkan mahasiswa maka dibuatkan AUKU. Kerana takutkan pensyarah menyebarkan pemikiran-pemikiran yang kritis dengan pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen perubahan. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul “Takut 66, Takut 98”

Mahasiswa takut pada dosen
Dosen takut pada dekan
Dekan takut pada rektor
Rektor takut pada menteri
Menteri takut pada presiden
Presiden takut pada mahasiswa

Keresahan golongan mahasiswa ini mirip cerita pendek karangan Anton Chekhov yang berjudul The Student. Cerita pendek ini menerangkan bagaimana gelisah dan rawan anak muda kerana hidup dalam sistem yang mengongkong dan zalim.

Apabila generasi ini pasif maka masyarakat tersebut tidak akan dinamis, tidak mampu berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang datang. Apabila pensyarah-pensyarah dikekang mereka juga tidak dapat memberikan sumbangan yang sewajarnya. Ini bermakna talent atau bakat golongan strategik ini tidak dapat menzahir potensi mereka yang sepenuhnya.

Mengapakah pemerintah otoritarian sungguh takut kepada golongan mahasiswa dan pensyarah yang jumlahnya amat kecil. Mereka takutkan pemikiran golongan intelektual ini. Seperti yang diungkapkan sekali lagi oleh filasuf Bertrand Russell: “Men fear thought as they fear nothing else on earth .. thought is subversive … and merciless to privilege”

Tatkala kita mengungkapkan serta mengkritik dasar kerajaan yang mengongkong para intelektual dan mahasiswa, jangan pula kita alpa dengan pengkhianatan kaum intelektual, atau seperti yang dinukil Julien Benda, The Betrayal of Intellectual (Les Trahison des Clercs). Kaum intelektual seharusnya menjadi salah satu paksi utama mencetus gelombang pendemokrasian, bukannya takut berhadapan dengan pemerintah.

Islam mencipta tamadun yang gemilang dizaman yang lalu kerana umat di zaman itu bersikap terbuka terhadap semua ilmu dari tamadun-tamadun besar dunia sebelum kedatangan Islam. Seperti yang diulas oleh Professor Seyyed Hossein Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Islam mengambil semua ilmu dan disepadukan dengan perspektif Tawhid. Tamadun Islam mulai suram apabila umat Islam tidak lagi meraikan pemikiran. Untuk meminjam ungkapan Alan Bloom, berlaku “the closing of the Muslim mind” melalui penutupan pintu ijtihad.

Usaha pembangunan semula pemikiran Islam di masyarakat Melayu perlu bermula dengan merancakkan wacana ilmu dan pemikiran. Masyarakat dahagakan wacana yang positif untuk memecahkan pemikiran perkauman yang menjadi batu penghalang kepada kemajuan sosial dan ekonomi umat. Kita harus diingatkan kembali kepada pandangan ahli sejarah terkenal Arnold Toynbee yang menegaskan tamadun manusia digugat oleh faham perkauman dan warna kulit. Dan beliau menegaskan kekuatan Islam adalah kerana ketiadaan aspek perkauman. Sepanjang tamadun Islam jamak budaya dan kepelbagaian adalah satu sifat asasi. Tamadun Islam sentiasa meraikan jamak budaya, kepelbagaian, dan kosmopolitanisme sebagai salah satu fitrah.

Dalam konteks Malaysia, antara peranan penting intelektual Muslim adalah untuk membangun pemikiran politik berteraskan demokrasi. Kita sudah sampai ditahap wacana di mana kita tidak lagi mempersoalkan demokrasi kerana kononnya ia datang dari Barat. Sewajarnya tidak muncul kekeliruan bahawa Demokrasi itu merupakan suatu yang bertentangan dengan Islam. Sungguhpun kitab fiqh, tawarikh mahupun kenegaraan tidak menyebut Demokrasi sebagai satu sistem yang baik dan wajib diamalkan oleh umat Islam, namun dari sudut ruh-nya, Islam tidak lah menolak sesuatu yang baik itu diamalkan oleh umatnya.

Inilah demokrasi dari pandangan Dr. Yusuf Qaradawi, seorang tokoh ulama’ yang tersohor. Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengupas persoalan intipati demokrasi (essence of democracy) dalam bukunya berjudul Fatawa Muasirah (Contemporary Fatwa). Menurut Dr. Yusuf Qaradawi, demokrasi adalah hak rakyat untuk memilih siapa yang harus memerintah dan mentadbirkan urusan mereka. Demokrasi juga bermakna hak rakyat untuk menolak pemerintah yang mereka tidak suka atau menolak aturan dan sistem yang mereka tidak suka. Demokrasi juga membawa maksud hak rakyat untuk menilai dan melakukan muhasabah apabila seseorang pemimpin itu bersalah dan hak rakyat untuk menurunkan pemerintahan apabila pemimpin menyimpang dari prinsip. Tegas Dr Yusuf Qaradawi, “Kalau itulah intipati demokrasi, dimanakah konflik dengan ajaran Islam?”

Persoalannya adalah adakah kita mahukan keadilan atau kezaliman. Adakah kita mahukan kebebasan atau kongkongan. Adakah kita mahukan hak rakyat dihormati atau dinodai. Ketika melancarkan gerakan reformasi di Permatang Pauh Anwar Ibrahim memetik Reinhold Niebuhr: “Man’s capacity for justice makes democracy possible; but man’s inclination to injustice makes democracy necessary.” (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban).

Lebih dari seratus tahun yang lalu sekumpulan pemuda Muslim yang kemudiannya dikenali sebagai The Young Ottoman muncul di Turki, pusat kepada empayar Islam yang terakhir iaitu empayar Uthmaniah. Mereka menuntut reformasi pemerintahan. Mereka mahu menamatkan pemerintahan kuku besi, dan mahukan pemerintahan dilakukan berlandaskan perlembagaan dan negara hukum. Reformasi yang bernama Tanzimat itu adalah titik besar dalam perjuangan demokrasi umat Islam di zaman moden. Tetapi Mustafa Kamal kemudian yang dikenali sebagai Attaturk menjadikan sekularisme lebih penting dari demokrasi. Maka beliau meletakkan tentera sebagai perisai kepada sekularisme.

Dalam perjuangan umat Islam menuju demokrasi, sejarah tidak akan melupakan peranan gerakan Islam untuk merealisasikan demokrasi. Setelah berdekad-dekad Turki berada dibawah pemerintahan otoritarian sekular, demokrasi kembali bernafas di negara itu oleh gerakan Islam melalui Parti Pembangunan dan Keadilan, AK Party (ADALET VE KALKINMA PARTiSi). Dalam sejarah Indonesia, majlis Syura Muslimin Indonesia (MASYUMI) yang dipimpin oleh Muhammad Natsir menjadi tunggak kepada demokrasi perlembagaan (Constitutional Democracy) manakala yang menghancurkan demokrasi tersebut adalah golongan nasionalis sekular yang dipimpin oleh Sukarno ketika rakyat Indonesia bangun semula untuk menggulingkan kediktatoran Suharto, parti-parti Islam menjadi pemangkin kepada demokrasi hijau yang terbesar didunia.

Baru baru ini kita menyaksikan bagaimana rakyat Tunisia dan Mesir bangkit menuntut kebebasan dan demokrasi. Pemimpin seperti Zainal Abedine Ali dan Hosni Mubarak memerintah dengan kuku besi berdekad-dekad lamanya. Antara sasaran utama tekanan regim Ben Ali dan Mubarak adalah gerakan Islam. Sejak beberapa dekad yang lalu gerakan Islam khususnya Ikhwanul Muslimin merupakan kumpulan yang paling konsisten menentang regim kuku besi di dunia Arab dan Afrika Utara.

Gerakan Islam adalah bahagian integral dari perjuangan demokrasi. Saya yakin gerakan Islam akan memainkan peranan penting dalam transisi dunia Arab menuju demokrasi serta mencetuskan gelombang baru pendemokrasian di benua Asia.

Di sini kita menyaksikan sikap tidak tuntas Amerika terhadap demokrasi. Tatkala masyarakat demokrasi dunia mengangkat inklusiviti sebagai unsur utama demokrasi, Amerika menolak demokrasi sekiranya ia dipimpin oleh Ikhwanul Muslimin.

Perjuangan umat Islam untuk membangun demokrasi adalah didorong oleh semangat untuk memartabatkan kemuliaan insan.

(Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya)

Karamah insaniah ini adalah satu konsep yang memukau salah seorang pemikir Renaissance terkenal iaitu Pico Della Mirandola. Beliau adalah seorang pengasas humanisme Barat, aliran pemikiran yang kemudiannya mencetus idea hak asasi manusia yang seterusnya menjadi bahagian dari pemikiran demokrasi.

Dalam prinsip tradisi ilmu Islam, kita bicara persoalan cita cita murni Islam iaitu Maqasid Syariah ( higher objectives of Syariah ). Kegagalan memahami prinsip Maqasid Syariah akan menyebabkan Islam akan hanya dilihat dalam ruang lingkup yang sempit.

Dalam Maqasid Syariah, Islam memberi jaminan kebebasan memilih agama ( freedom of conscience ), pertahankan kebebasan bersuara ( freedom of expression ) dan menanggani masalah dengan bijaksana ( berhikmah ).

Menurut Umar Abdul Aziz, hikmah membawa maksud kemampuan untuk menyatakan masalah dan keupayaan untuk merongkai dan menanggani masalah berkenaan. Ini adalah kunci hikmah.

Saya yakin melalui demokrasi maqasid dapat direalisasikan. Berpandukan kepada maqasid ini, seruan jihad misalnya, bolehlah ditumpukan untuk membangun satu sistem yang berusaha menjamin Keadilan, menggalakkan pembangunan yang seimbang dan antara yang mustahak, iaitu suatu upaya membasmi kemiskinan.

Sejajar juga dengan konsep maqasid ini, adalah menjadi keutamaan buat kita memastikan keharmonian, maslahat dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

Justeru itu para intelektual Islam di Malaysia perlu memperluaskan wacana maqasid bagi menggarap pendekatan Islam yang sensitif dan berusaha memahami waqi’ dan juga zaman. Inilah mustahaknya Maqasid, peri pentingnya maqasid dijelaskan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibiy bahawa ia adalah arwah al-a`mal(arwahul a’mal) Ertinya, bersyariat tanpa maqasid adalah beragama tanpa ruh.

Justeru, kita tidak boleh terperangkap dengan konsep serta amalan demokrasi yang juz’i. Apabila kita mewacanakan demokrasi ia pasti melibatkan persoalan kebebasan media, kedaulatan undang-undang, tatakelola yang baik demi memastikan rasuah disirna, hak bersuara dan pilihanraya yang bebas. Adalah suatu mitos sekiranya Demokrasi hanya bermaksud pilihanraya setiap lima tahun sekali. Apalagi apabila pilihanraya tersebut dinodai dengan penipuan dan dicemari oleh pengundi-pengundi hantu.

Demokrasi sering disebut sebagai kerajaan rakyat, untuk rakyat; the government by the people for the people. Namun demokrasi tanpa tata kelola – democracy without governance, tidak akan menguntungkan rakyat terbanyak. Tanpa tatakelola rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa akan berleluasa.

Sudah kita ungkapkan demokrasi mesti merangkumi antaranya amalan tatakelola yang baik, negara hukum, sistem pilihanraya yang bebas dan telus, media yang tidak dikongkong pemerintah serta amalan pertanggungjawaban.

Laporan GFI (Global Financial Integrity) menyebut wang haram(gelap) yang mengalir keluar dari Malaysia berjumlah USD291 billion (bersamaan RM888 billion) dari tahun 2000 sehingga 2008. Amalan demokrasi yang bersertakan tatakelola yang baik pastinya menghalang perkara ini dari berlaku. Kerana sebuah masyarakat demokratik dan negara hukum menjunjung prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pertanggungjawaban.

Hanya pada 8hb Febuari yang lalu saya membangkitkan isu hutang isi rumah rakyat Malaysia yang kian parah. Menurut Bank Negara Malaysia, pada akhir November 2010 hutang isi rumah telah mencecah RM577 bilion iaitu bersamaan dengan 74% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Daripada jumlah itu, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion adalah pinjaman peribadi dan RM225 bilion adalah pinjaman perumahan. Ini menimbulkan dua persoalan besar, pertamanya, pinjaman perumahan dan pinjaman kenderaan yang menjadi sebahagian besar hutang rakyat adalah hutang yang tidak dapat dielakkan, kerana rakyat sekurang-kurangnya memerlukan rumah dan kenderaan. Kedua, jumlah hutang kredit kad yang ditanggung rakyat adalah terlalu tinggi, dianggarkan berjumlah RM200 bilion yang mungkin menunjukkan rakyat menggunakan kredit kad untuk menanggung perbelanjaan harian

Angka-angka ini menunjukkan prospek yang malap bagi ekonomi negara dan keupayaan rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutamanya apabila kadar gaji tidak meningkat sekian lama. Nisbah 74% “hutang isi rumah dari KDNK” adalah merunsingkan apabila kerajaan juga terus mengumpulkan hutang negara yang telah melebihi kadar 50% dari KDNK buat pertama kali dalam sejarah. Kadar keberhutangan sebegini bermakna pendapatan boleh belanja rakyat adalah semakin rendah setiap tahun. Kelemahan pemerintah serta rekayasa mereka untuk melindungi maklumat sebegini dari penelitian umum hanyalah memburukkan keadaan. Pastinya reaksi yang akan kita dapat hanya lah dalam bentuk penafian semata-mata tanpa sebarang usaha menyelesaikan masalah.

Justeru, kerajaan Selangor memulakan inisiatif dengan memperkenalkan Enakmen misalnya FOI (freedom of information); Enakmen Kebebasan Maklumat 2010 dan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan(SELCAT).

Pembangunan semula pemikiran Islam Melayu pada abad ini tidaklah boleh menafikan peranan kaum hawa baik di bidang ekonomi mahupun pendidikan. Laporan khas September 2009, Harvard Business Review menyebut kekuatan ekonomi kaum hawa seluruh dunia adalah lebih besar dari gabungan pasaran negara India dan China. Jurnal tersebut menganggarkan pada tahun pada tahun 2014, pendapatan kaum hawa seluruh dunia berjumlah USD 14 trillion, sedangkan gabungan Keluaran Dalam Negeri Kasar(GDP) China dan India hanya berjumlah USD 10.4 trillion pada tahun yang sama.

Kekuatan ekonomi sebegini pastinya tidaklah hadir sekelip mata. Ianya bertunjangkan kemampuan kaum hawa untuk bersaing di sektor awam mahupun swasta. Ini bermakna pendidikan merupakan sebab utama kekuatan ekonomi serta pendapatan kaum hawa. Berbekalkan pendidikan, kaum hawa kini mengorak langkah dan malah menguasai beberapa bidang tertentu. Pastinya kita sudah mendengar nama seperti Indra Noonyi yang kini merupakan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Syarikat Pepsi dan Arianna Huffington, pengasas Huffington Post, laman web berita yang mencabar pemikiran media lama seluruh dunia.

Wanita Muslim juga tidak ketinggalan mengorak langkah berani dan memimpin institusi yang dahulunya sinonim dengan kaum adam. Saya menyebut beberapa nama seumpama Dr Zeti Akhtar Aziz, kini Gabenor Bank Negara Malaysia dan Shirin Ebadi yang dianugerahkan Hadiah Nobel Keamanan pada tahun 2003.

Rantau ini sebenarnya tidaklah asing dengan pemikiran kaum hawa yang mahu maju dan mempersoal sempadan yang dikenakan ke atas mereka. Pada tahun 1911, terbitlah sebuah karya yang berjudul Habis Gelap Terbitlah Terang, satu kumpulan surat yang ditulis oleh seorang wanita bernama Raden Adjeng Kartini.

Akhir sekali, ulamak dan pemikir terkenal Islam dewasa ini Sheikh Taha Jabir al-Alwani mempunya pandangan yang menarik tentang peranan Alam Melayu dewasa ini. Bangsa-bangsa lain telah memainkan peranan dalam sejarah dalam mencipta tamadun Islam. Bangsa Arab, Turki dan Parsi telah mendapat peluang masing-masing. Hanya Alam Melayu belum mempunyai waktunya dalam sejarah untuk mencipta tamadun yang gemilang.

Tetapi setelah berdampingan rapat dengan Kuala Lumpur hampir dua dekad yang lalu beliau berkeyakinan giliran Alam Melayu untuk memainkan peranan kepimpinan untuk dunia Islam sudah tiba. Kebangkitan Asia membuka ruang yang besar bagi Alam Melayu. Kita perlu menggembeling tenaga masyarakat ilmuan untuk membebaskan masyarakat kita dari pelbagai kezaliman. Golongan intelektual kita tidak boleh bersikap masa bodoh atau pasif terhadap penderitaan umat. Edmund Burke berkata “ All that is necessary for the triumph of evil is that good men do nothing.”

Dalam sistem yang bobrok, kejahatan pasti menang lantaran orang yang baik terlalu laih dan longlai serta enggan mencabar “The Forces of Evil.” Maka perasuah akan bermaharajalela. Pembebasan umat dari kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah landasan bagi umat Melayu untuk membangun sumbangan ketamadunan. Inilah masanya kita mencipta sejarah.

Comments: 3

Comments are closed.