[WAWANCARA] Sembang-sembang Azmin Ali: Kejayaan UMNO dan masa depan tanpa mereka

azmin ali

RAMAI orang tidak suka dengan Azmin Ali. Barangkali kerana mereka tidak pernah duduk bersembang dengan Azmin. Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) ini malah dihujani celaan baru-baru ini dalam isu kenaikan gaji ADUN Selangor sambil disifatkan sebagai orang yang tamak kuasa dan kemaruk mahu jadi Menteri Besar. Roketkini.com berpeluang duduk seketika bersama Ahli Parlimen Gombak sambil sembang-sembang politik dan masa depan Pakatan Rakyat (PR).

Tentang prospek masa depan politik negara

Saya cukup optimis bahawa negara Malaysia ini akan dicorak dengan politik baru dibawa PR di mana politik perkauman akan menjadi sejarah dalam negara kita.

Melihat kesedaran daripada kalangan rakyat itu cukup tinggi hari ini, yang menolak pemahaman sempit perkauman, agama. Dan saya melihat generasi baru hari ini lebih terbuka dan boleh menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia pelbagai kaum ini sebenarnya satu kekuatan bagi negara dan bukan kelemahan. Sepatutnya masyarakat yang majmuk dan rencam di dalam negara ini menjadi asas untuk menjana kekuatan baru dalam konteks ekonomi, perpaduan nasional dan juga sosial dalam masyarakat dan ini saya cukup optimistik.

Apabila DAP bertanding di Sibu pada pilihan raya kecil beberapa tahun lalu, sewaktu saya terbang ke Sibu, saya begitu terkejut dalam pesawat itu begitu ramai muslimat PAS datang dari Kelantan. Mereka ini wanita muslim konservatif dalam PAS bermusafir dari Kelantan ke Sarawak hanya untuk memberi sokongan kepada DAP. Ini tidak berlaku selama 50 tahun yang dulu. Tapi sekarang kita lihat semangat perpaduan itu cukup baik. Dan inilah yang menjamin masa depan yang lebih gemilang untuk negara.

Kenapa PR tidak dapat terjemahkan senario optimis ini pada PRU lalu?

Pembaharuan tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata. Namun saya gembira dan bersyukur pada PRU-13 ada kemajuan yang lebih baik berbanding 2008. Pada 2008 kita dapat 81 kerusi, tahun ini 89 kerusi. 2008 kita nafikan majoriti dua pertiga, kali ini juga serupa, tetapi kali ini yang lebih positifnya ialah kita dapat majoriti undi popular. Inilah dia sokongan sebenar rakyat kepada PR. Realiti di bawah ialah rakyat menerima bahawa PAS KEADILAN dan DAP adalah PR, walaupun tidak ada satu logo, belum didaftarkan tetapi rakyat sudah yakin bahawa permuafakatan itu cukup kuat dan ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan.

Ini kali pertama kerajaan BN adalah kerajaan minoriti dan bagi saya ini adalah satu perkembangan yang cukup positif. Tetapi perjuangan ini adalah satu maraton, bukan satu perkara yang mudah, apatah lagi dalam sistem di Malaysia ini apabila politik didominasi dengan perkauman dan agama. Maka cabaran PR ialah untuk masuk ke kawasan luar bandar dan meyakinkan orang Melayu bahawa dengan menyokong DAP dan PR bukan bermakna kita lari daripada akidah tetapi kita melakukan apa yang dituntut oleh agama; meraikan budaya, agama yang lain.

Tentang cabaran PR di kawasan luar bandar

Ini adalah cabaran yang sangat besar yang perlu ditangani oleh PR. Kita mesti menembusi kawasan luar bandar dan ini sedang kita lakukan. DAP sendiri dengan program Impian Sarawak sudah mula masuk ke kawasan pedalaman di Sarawak, begitu juga dengan KEADILAN, kita mula menembusi kawasan luar bandar di Johor, Pahang, termasuk di Sabah. Cabaran kita ialah untuk meningkatkan kesedaran dan menjelaskan kepada mereka masa depan adalah bersama PR. Apabila rakyat diberikan maklumat, mereka akan berubah.

Yang kedua, kita mesti menerima hakikat bahawa majoriti orang Melayu di Malaysia masih lagi penentu masa depan negara kita dan kita kena bersama mereka. Kita kena bercakap dengan satu nada yang menunjukkan komitmen kita kepada bangsa Malaysia. Saya melihat kepada DAP, bila ia bercakap, dia bukan sahaja bicara tentang sekolah Cina tetapi juga masalah sekolah Melayu dan sekolah Tamil. Ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya serius. Pada PRK Sungai Limau, pengumuman calon itu dilakukan oleh Presiden PAS di sebuah kampung pedalaman yang majoritinya orang Melayu hampir 100% tetapi Saudara Lim Kit Siang datang untuk mengumumkan calon PAS dalam kampung Melayu, maka apabila saya nak pecahkan minda orang Melayu yang masih lagi takut dengan DAP ini saya kata lihat: Lim Kit Siang berani datang bertembung dan bersemuka dengan orang Melayu sebab dia bukan anti Melayu dia bukan anti Islam dia hanya anti UMNO yang rasuah, Melayu yang jahat, Melayu yang fitnah. Tapi dia sokong Melayu yang susah di kampung dia sokong Melayu  yang memerlukan bantuan. Itu memberi keyakinan bahawa inilah orangnya, walaupun dia mewakili DAP tetapi dia juga memahami masalah orang Melayu. Inilah politik baru yang saya sebut tadi.

Jangan hanya mewakili satu kaum, pimpinan PR mesti bicara dan bincang masalah semua kaum dalam negara.

Undi Melayu menurun pada PRU-13?

Ini kejayaan UMNO dan BN menbawakan sentimen perkauman dan agama yang sempit dengan menggunakan Utusan Malaysia dan media elektronik untuk menakut-nakutkan orang Melayu, saya terima ada kejayaan di situ. Seperti saya kata tadi malang sekali politik Malaysia ini didominasi politik agama dan perkauman; UMNO faham akan hal ini dan dia gunakan isu ini, dia eksploitasi sampai ke tahap maksimum supaya orang kampung khususnya takut kepada PR. Melayu di bandar tidak begini, kerana apa, kerana kefahaman dia, kerana akses kepada internet dia dapat maklumat. Di luar bandar kita tahu ada masalah yang kita harus tangani, jadi strategi kita sekarang ialah untuk tembus kawasan luar bandar.

Tetapi jangan kita lemah semangat. Di Gelang Patah, sebagai contoh, ini bukan kawasan bandar. Bukan setakat DAP bertanding situ, malah Lim Kit Siang. Kalau nak ikut sokongan pengundi Cina, tidak sampai 50% dan tidak mungkin beliau akan mendapat sokongan 100% orang Cina, tetapi Saudara Lim Kit Siang boleh menang, maknanya dengan sokongan orang Melayu Johor. Orang Melayu Johor ini spesisnya berbeza. Tapi sekarang orang Melayu Johor juga sudah berani membawa perubahan bukan setakat menyokong calon PR, tetapi calon DAP dan DAP itu ialah Lim Kit Siang. Ini satu perkembangan yang cukup baik. Dan dia lawan pula (bekas) Menteri Besar Johor, yang sudah bertapak sebagai pejuang UMNO, pemimpin Melayu UMNO Johor tetapi dikalahkan pemimpin DAP.

Lihat di Temerloh, ini bukan kawasan bandar. Ketua Dewan Pemuda PAS (mantan) telah menang, dan yang kalah itu ialah seorang pemimpin UMNO yang agak dikenali dan agak liberal dalam pendekatannya dan kefahamannya tetapi masih ditolak oleh Melayu di Temerloh. Begitu juga di Kelantan, itu semua Melayu pedalaman. Jangan kita ‘generalize’ orang Melayu kampung pedalaman menolak PR.

Masalah memang ada dan perlu ditangani dengan bijaksana. Maknanya mesti turun, bagi penjelasan dan saya yakin bahawa rakyat ini apabila diberikan maklumat dia akan berubah dan ini yang perlu dilakukan.

Mereka bukan mahu menuntut kontrak atau tender, mereka nak ada hubungan yang baik di antara pemimpin dengan rakyat di bawah.

Saya bincang panjang dengan Saudara Liew Chin Tong baru-baru ini, yang turut menang di Johor, dan dia juga seorang pemimpin muda dalam DAP. Jadi saya duduk dengan dia bincang bagaimana kita generasi kedua dalam PR, dia daripada DAP saya dalam KEADILAN boleh mendekati anak muda di kampung dan separa urban, kerana mereka tidak ada pekerjaan, mereka menggunakan motosikal kapchai tanpa cukai jalan dan dengan keadaan kadar kemalangan tinggi, jadi kita nak dengar sendiri, bukan program ceramah saja tapi pemimpin kena berani turun dan mendengar pandangan anak muda ini, apa harapan mereka apa yang mereka mahu dan apa peluang yang boleh diberikan. Kita mesti ada tawaduk untuk rela mendengar keluh kesah rakyat khususnya anak muda.

Kita turun duduk di kedai kopi di warung, dengar apa masalah mereka; harga padi atau harga kelapa sawit atau anak yang belum dapat pekerjaan malah ada ramai anak-anak di kampung yang tidak pergi sekolah kerana tidak mampu tetapi tiada yang peduli, tiada yang mendengar masalah mereka.

Pembahagian kerusi Sabah dan Sarawak

Kita berbesar hati untuk berkongsi kerusi di Sabah dan Sarawak. Persepsi yang mengatakan KEADILAN ini tamak dan mahu kerusi yang banyak tidak berasas sama sekali. Saya terbabit secara langsung dalam rundingan kerusi. Kita sedia maklum DAP tumpukan kawasan bandar yang mereka bina dan peroleh sokongan yang baik; kemudian PAS juga hanya ada kemampuan untuk beberapa kerusi majoriti muslim jadi kerusi yang berbaki dan yang susah ini hanya tinggal kepada KEADILAN; kalau kami tak ambil, BN akan menang percuma. Kita kena ambil untuk menjaga kepentingan PR. Kita tidak mahu BN sekadar walk over dalam pilihan raya itu, kita mesti berikan cabaran. Itu risiko yang kami ambil.

Sekarang DAP sudah mula masuk ke kawasan pedalaman dan membina kekuatan. Kita sedia berunding kerana akhirnya yang menang ialah PR. Kalau DAP dan PAS ada kekuatan, KEADILAN akan sedia melepaskan kerusi terbabit. Kami pun tak mampu nak pegang terlalu banyak kerusi kerana ia memakan kos yang  tinggi.

Koalisi politik PR: kerjasama optimal atau ada ruang pembaikan?

Hubungan kerja di peringkat nasional, sangat bagus. Kita bertemu sekurang-kurangnya satu atau dua kali sebulan dan kami bincangkan isu besar, isu polisi. Cuma kita perlu terjemahkan daripada peringkat nasional ke negeri dan kawasan. Di situ ada sedikit masalah soal pelaksanaan. Kita telah tegaskan setiap negeri mesti ada majlis PR supaya apa yang diputuskan di peringkat nasional boleh disampaikan ke bawah. Kita sedang usahakan supaya Setiausaha Agung ketiga-tiga parti untuk turun dan minta pimpinan melaksanakan keputusan yang dibuat oleh pusat, sebelum ni Setiausaha Agung tidak turun secara bersama. Maknanya kami betul-betul serius dan kami mahu ia diselesaikan segera. Kami juga sudah cadangkan supaya diadakan bengkel kerjasama PR sebab kami mahu juga pelaksanaan dasar di tiga negeri yang kami kuasai supaya konsisten dan ada koordinasi dalam gerak kerja.

DAP dan KEADILAN, ngam?

Hubungan antara KEADILAN dan DAP pada tahap yang cukup baik. Saudara Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang boleh berkomunikasi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa; kalau tak sempat mesyuarat boleh terus telefon, demikian sekali akrabnya kami sekarang. Saya juga ada berbincang dengan Saudara Lim Guan Eng bila kami bertemu di Parlimen tentang isu Pulau Pinang dan PR, dan saya terima baik pandangan beliau supaya hubungan antara KEADILAN dan DAP itu bertambah kukuh.

Antara teguran beliau kepada saya katanya saya kena tingkatkan hubungan saya dengan pemimpin tertinggi DAP, mungkin saya dilihat agak keras dalam hal rundingan kerusi. Saya kata Saudara Tan Kok Wai yang mewakili DAP dalam jawatankuasa itu juga keras tetapi saya hormat beliau kerana mempertahankan kepentingan DAP. Dr Hatta juga rapat dengan saya tetapi bila masuk dalam mesyuarat dia juga keras, tapi saya hormat pandangannya kerana dia mempertahankan kepentingan PAS. Saya mewakili KEADILAN saya kena mempertahankan kepentingan KEADILAN.

Tetapi harus diingat, saya sentiasa bekerja atas keputusan konsensus. Apabila PR putuskan saya akan patuh dan setia serta saya akan pertahankan. Sebagai contoh di Gelang Patah dan Bentong, ada sedikit perebutan antara KEADILAN dan DAP. Apabila keputusan dibuat, saya patuh dan mempertahankan keputusan itu. Jadi saya bukanlah garang sangat, orang muda memang dia garang sikit lah.

Saya mempunyai hubungan yang baik dan saya hormat kepimpinan DAP sekarang yang ramai golongan muda profesional seperti Chin Tong, Tony Pua, Gobind Singh dan kalau di Selangor kita ada Hannah Yeoh; kami ada ramai anak muda yang menjadi pemimpin DAP yang harus ada forum untuk mengeratkan kerjasama ini.

Isu kenaikan gaji Selangor. Adakah ini penyakit manusia menikmati kuasa?

Soalan susah. Tidak mudah untuk saya mengambil pendirian yang tegas dalam konteks kenaikan gaji di Selangor, saya diserang teruk oleh beberapa teman dalam PR, tapi saya terima. Kerana bagi saya, saya mesti mempertahankan rakyat di negeri Selangor. Isu yang dimainkan, mengapa saya tidak bahas dalam dewan, mengapa saya bising di luar dewan; saya kata jangan cuba pesongkan isu. Isunya bukan dalam atau luar, prinsipnya ialah ‘quantum’ kenaikan gaji itu melampau dan perlu ditegur. Jadi jangan lari daripada isu pokok.

Saya sudah biasa bahas dalam dewan negeri dan banyak kali memang panas. Itu sikap saya, saya jenis berterus terang. Yang betul saya pertahankan, yang tak betul saya bertanggungjawab untuk menegur walaupun membabitkan sahabat saya.

Apa yang berlaku dalam konteks yang ini ialah tidak ada pre-counsel, walaupun saya ditegur kenapa tidak bercakap dalam dewan, saya kata dalam mana-mana sistem dewan pun, memanglah backbencher ini bukan satu badan eksklusif, kami bukan kumpulan pendesak. Tetapi kalau saya bahas dalam dewan dan saya tolak usul kerajaan lagi parah (menjadi undi tidak percaya). Jadi apa amalan di negara maju termasuk di Australia, mereka ada apa yang disebut sebagai party room atau kaukus; maknanya sebelum usul kerajaan dibawa, usul itu akan dibawa dulu di party room memberikan hujah dan asas kenapa kerajaan nak bawa usul ini. Sebagai contoh jika mahu naikkan 373% gaji Timbalan Speaker dia akan beritahu asas dia begini begini dan bolehkah parti menyokong usul itu.

Sekurang-kurangnya kita ADUN kerajaan faham justifikasi kenaikan gaji itu sebelum kami ke dewan dan menyokong usul itu. Memang ada kewajarannya untuk diadakan kajian semakan kenaikan gaji, tetapi yang kami pertikaikan ialah ia terlalu besar dan dalam masa yang singkat ia terus dibentangkan. Kajian yang dibuat itu apa keputusannya, berapa kali mereka berbincang, siapa panelnya; kita tidak tahu.

Peranan backbenchers pastilah untuk menyokong usul kerajaan, tapi sebelum sokong kami nak tahu justifikasinya. Jadi perkara ini jadi perdebatan. Saya gembira apabila dalam mesyuarat majlis Presiden PR, Saudara Lim Kit Siang memulakan perbincangan menegur supaya perkara ini diteliti semula dan disambut Presiden PAS dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan konsensusnya ialah memohon dan mencadangkan Kerajaan Negeri Selangor untuk tangguh pelaksanaan dan teliti semula semakan itu. Itulah ayat saya daripada hari pertama. Saya bukan menyerang Menteri Besar. Saya bertanggungjawab menjaga kredibiliti PR. Saya mahu PR terus dihormati jadi saya tegur. Dan pandangan saya itu diakui Majlis Presiden.

Quantum itu mesti sensitif kepada rakyat. Saudara Lim Kit Siang sendiri kata supaya dengar juga keluhan rakyat di bawah yang susah. Saya harap perkara ini jangan jadi polemik. Yang penting ialah kami kena dengar keluhan rakyat, pemimpin tidak boleh terputus hubungan dengan rakyat tak kiralah betapa berkuasa sekali pun mesti rasa rendah diri untuk bersemuka dengan rakyat. – Roketkini.com