Yang biasa diketahui dan yang jarang dikenali – Oleh Roketkini (Bahagian 2)

9 January 2012

Pentingnya semua kaum hidup harmoni
Sambungan wawancara Roketkini dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Azmin Ali

Interview eksklusif bersama RoketKini

Bagaimana dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Ini gerakan rakyat yang mahu menuntut satu sistem yang telus, adil bagi semua rakyat Malaysia. Mengikut pengalaman kita sejak 1998 hingga hari ini, kita berjaya urus semua perhimpunan kita dengan baik aman dan teratur. Belum ada satu insiden di mana perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat itu berlaku huru-hara melainkan ada provokasi oleh pihak tak bertanggungjawab termasuk pihak polis sendiri.

Contoh Bersih 9 Julai tahun lalu, berjalan aman damai sehingga polis menembak gas pemedih mata dan cuba mencederakan pimpinan Pakatan. Kita tak bermusuh dengan pihak polis.

Mengapa harus berhimpun? Persoalannya mengapa tidak boleh berhimpun? Kerana perhimpunan ini merupakan sesuatu yang dijamin dengan Perlembagaan, dan ianya adalah untuk political expression ini adalah jaminan yang telah diberikan dalam sebuah negara yang demokratik dan merdeka. Tidak ada masalah untuk berhimpun.

Mahkamah ada hak untuk membuat keputusan tetapi hak rakyat juga harus dihormati untuk menuntut satu keadilan diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) walau pun sepanjang proses perbicaraan, pelbagai pertikaian telah dikemukakan peguam-peguam termasuk pemerhati antarabangsa, namun ditolak begitu sahaja.

Rakyat berhimpun seacara aman untuk menyatakan sokongan terhadap DSAI sebab beliau bukan saja suami kepada Presiden PKR Datik Seri Wan Azizah, beliau juga Ketua Pembangkang, Ketua Umum PKR, dan beliau juga pengerusi dalam mempengerusikan Mesyuarat Pakatan Rakyat. Sudah tentu beliau mempunyai dokongan besar di kalangan rakyat untuk bersama beliau menuntut satu sistem yang adil.

Sudahkan perjuangan DSAI dan Pakatan membuahkan hasil?

Bila sebut sahaja UMNO, masyarakat dan rakyat boleh equate atau samakan dengan rasuah. Sebut sahaja UMNO, orang teringat kes lembu, sebut sahaja UMNO orang teringat kes cincin, sebut sahaja MCA orang teringat kes PKFZ, sebut sahaja MIC, mereka ingat saham Maika.

Maknanya imej mereka terlalu negatif di kalangan masyarakat, jadi mereka ada krisis keyakinan yang dihadapi oleh Perdana Menteri Najib Razak dan pentadbiran sekarang. Tetapi sebut sahaja Pakatan Rakyat, rakyat dapat melihat ketelusan, pemimpin yang baik, bersih, pengurusan yang cekap.

Dalam keadaan Selangor diserang dan ditekan, Pulau Pinang tidak mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan pusat, kita berjaya menguruskan ekonomi dengan ketelusan dan pentadbiran yang bersih.

Kerana mereka lupa apabila pentadbiran yang bersih, pemimpin yang tidak rasuah ini akhirnya akan menjamin kesejahteraan rakyat. Sebab itu kalau kita lihat reserve yang dicatatkan olehSelangor, sebagai contoh, daripada RM600 juta sekarang sudah RM1.2 bilion.

Walau pun Perdana Menteri mengumumkan belanjawan yang besar bernilai RM232 bilion, ia masih lagi mengamalkan belanjawan defisit. Saya tidak mahu menolak keperluan belanjawan defisit dalam keadaan ekonomi global pada hari ini tetapi tidak boleh berterusan selama 15 tahun berturut-turut. Kalau satu, dua tahun saya boleh maafkan lagi.

Tapi kalau 15 tahun berturut-turut, kerajaan pusat berhutang semata-mata untuk berbelanja, ini akan memeberi kesan kepada generasi akan datang, sebab yang membayar hutang itu bukan mereka, yang membayar hutang itu anak-anak kita.

Hutang Malaysia hari ini kalau ikut national debt sahaja sudah RM437 billion dan Majlis Kewangan Negara sudah pun menasihatkan Perdana Menteri supaya berhati-hati kerana mengikut Akta Pendanaan Kewangan 1983, hutang negara tidak boleh melebihi 55% daripada KDNK. Hari ini RM437 billion menyamai 53% daripada KDNK, kita hanya kekurangan 2% sahaja.

Kalau mengikut trend perbelanjaan hari ini, termasuk pemberian RM500 menjelang pilihan raya, saya tidak menolak kemungkinan hutang ini akan terus melonjak. Itu baru national debt, belum masuk lagi household debt, ini yang melibatkan rakyat, ini saja kalau dicampur sudah mencecah RM1 trilion.

Ini maknanya pengurusan ekonomi di peringkat pusat itu tidak berhemah dan tidak bertanggungjawab. Berbeza dengan DSAI ketika di Kementerian Kewangan di mana beliau berjaya mengamalkan belanjawan berimbang. Kali terakhir kita mencapai belanjawan berimbang ialah tahun 1998 ketika DSAI menjadi Menteri Kewangan, ini rekod yang tak boleh mereka nafikan.

Malah ketika itu, beliau melaksanakan satu dasar yang dipanggil pre-payment, maknanya belum habis tempoh hutang, kita telah habis bayar. Begitu kukuhnya ekonomi Malaysia ketika itu, di mana pinjaman di Bank Dunia dan juga di peringkat antarabangsa belum tamat tempoh, kita sudah bayar. Mana ada orang bayar hutang sebelum tamat tempoh?

DSAI pernah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan yang terbaik di Asia, ada di dalam magazine yang masih simpan ketika itu, Asia Money, yang mengisytiharkan beliau Menteri Kewangan yang terbaik, bersama-sama dengan Manmohan Singh, itu di sekitar tahun 1995-96.

Tapi kini generasi muda sudah lupa atau pun mereka tidak tahu berita-berita ini. Ini masalah kami sekarang sebab pengundi-pengundi baru yang akan mengundi dalam PRU13 ini majoritinya adalah anak-anak muda yang tidak tahu apa yang berlaku ketika zaman reformasi dan juga sebelum zaman reformasi.

Yang dilihat hari ini ialah Anwar Ibrahim seorang yang jahat, pengkhianat Melayu, itu yang digembar gemburkan oleh UMNO-BN. Tetapi kami bertanggungjawab untuk menceritakan siapa sebenarnya DSAI sebelum 1998.

Laporan Ketua Audit Negara yang tidak boleh lari daripada angka dan fakta menyatakan bahawa pengurus-pengurus yang terbaik ialah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan juga Kelantan, walau pun ada keterbatasannya, yang penting pengurusannya amanah, tidak rasuah, tidak bocor. Walau pun negerinya miskin, dalam keadaan kemiskinan itu, ia masih boleh lagi menguruskan secara baik.

Jadi bagi saya ini merupakan satu kejayaan besar Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang dan Selangor walau pun tempohnya baru sekitar 4 tahun, tapi kita telah berjaya. Jadi ini adalah kejayaan-kejayaan yang harus kita kongsi dengan rakyat walau pun media perdana akan padamkan semua ini dan saya yakin Roketkini dapat memainkan peranan menyampaikan maklumat ini kepada rakyat.

Bagaimana Pakatan Rakyat mahu membawa isu-isu secara konsisten untuk menyampaikan mesej sebenar dan lebih jelas kepada rakyat?

Sebelum itu saya nak tegaskan PKR dan Pakatan Rakyat, matlamat kita ialah nak membawa perubahan, itu jelas. Kita nak menjana satu perubahan total atas nama perubahan. Kita bukan nak masuk Putrajaya nak buat tempel-tempelan sahaja. Ini bukan kerja kita. UMNO buat macam ni dan kita pun baiki sikit… Tak, kita bukan begitu.

Kita nak ada perubahan total, itu pendirian Pakatan. Maknanya kita nak bawa satu reformasi secara menyeluruh dengan dasar kenegaraan dalam negara ini. Maknanya dasar ekonomi, dasar pendidikan, dasar keselamatan, dasar hubungan luar negara dan sebagainya.

Pakatan Rakyat sekarang ini dia punya hubungan itu cukup kuat. Sebab itulah UMNO cuba pecahkan Pakatan berulang kali tidak berjaya sebab kekuatan itu terlalu utuh berbanding dengan Barisan Alternatif (1999) yang agak longgar sedikit. Tetapi yang mendasari Pakatan Rakyat ini adalah Dasar Bersama. Kita ada Buku Jingga yang mengikat Pakatan Rakyat.

Ini bukan soal ideologi individu atau kepartian tetapi dasar bersama yang dipersetujui secara muafakat. Kita bincang dan kita gubalkan, maka ada satu dokumen, iaitu Buku Jingga, dokumen bersama yang kita nak tawarkan kepada rakyat.

Yang terbaru kita ada Belanjawan Pakatan Rakyat. Maknanya kita serius, kita bincang soal ekonomi, hutang negara, bagaimana kita tangani supaya rakyat yakin. Jadi itu matlamat besar Pakatan Rakyat. Kita ada kerangka besar.

Tapi pada masa sama kita juga harus berbicara tentang penyelewengan dan salah guna kuasa UMNO sebab kita nak rombak sistem yang sudah rosak. Jadi, kalau ada tuduhan bahawa kita hanya menyerang UMNO dan tidak ada alternatif lain, itu tidak benar. Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan Rakyat itu telah kita tawarkan dan dibincangkan.

Tetapi dalam masa sama, serangan-serangan kena diteruskan, tetapi bukan seperti serangan macam fitnah UMNO itu. Sebaliknya serangan kita berdasarkan fakta, laporan Ketua Audit Negara, isu lembu dan penyelewengan-penyelewengan yang lain.

Dan saya lihat, cara kita articulate isu ini penting. Sebab itu, setakat ini saya lihat isu lembu ini berjayalah. Sebut sahaja lembu, orang boleh kaitkan dengan dengan Shahrizat dan UMNO. Memang berkesan, sebab itu mereka takut. Dan bagi saya ini satu bantuan daripada Tuhan, divine intervention, untuk Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang. Masuk kampung, sebut lembu orang dah tahu dah, jadi mudah bagi kita.

Cuma, saya telah berbincang dengan teman-teman, medium penyampaian itu lebih penting. Bukan nak cakap soal pemimpin UMNO itu rasuah… Itu dah jadi biasa.

Sebagai contoh dalam konteks isu lembu itu, PKR buat laporan kepada SPRM lebih kurang sebulan yang lalu. Apa kata SPRM, “Ini bukan bidang kuasa kita. Kita tak boleh siasat. Pergi jumpa Polis.” Hari pembukaan Perhimpunan Agung UMNO, Timbalan Ketua Polis buat kenyataan, “Kita telah siasat. Tiada kes.”

Ini sebenarnya buat orang sakit hati. Sebab sistem yang ada sekarang ini memberi perlindungan dan kekebalan kepada perasuah-perasuah ini. Jadi di mana lagi kita nak mengharapkan pembelaan sebagai rakyat Malaysia? Nak harapkan pemimpin UMNO, mereka rasuah. Jadi kita sandarkan harapan kepada sistem yang ada… Polis, SPRM… Tapi sekarang ini sistem pun telah rosak.

Tujuan Pakatan Rakyat ini jelas, kita nak tukar sistem ini secara total supaya SPRM menjadi institusi bebas dan kredibel untuk menyiasat siapa sahaja yang didakwa ada melakukan amalan rasuah. Yang penting perlu kita terangkan ialah sistem itu hari ini memberi perlindungan kepada perasuah-perasuah seperti itu.

Bagaimana dengan peranan masyarakat madani termasuk yang menggelar diri kuasa ketiga?

Yang menggelar diri third force, mereka boleh menyumbang pandangan, teguran mereka dalam proses demokrasi di Malaysia, tetapi untuk mereka menyertai pilihan raya, saya tidak nampak kewajarannya mereka walau pun itu hak mereka.

Tapi pada masa yang sama mereka boleh terus aktif. Kita mengambil sikap terbuka untuk bersama-sama Pakatan Rakyat supaya kita dapat melibatkan civil societies dan pihak-pihak lain yang menyumbang ke arah sebuah kerajaan yang berasaskan reformasi.

Ini juga menyanggah dakwaan UMNO-BN bahawa hanya orang Cina yang sokong Pakatan. Ini setelah susulan pilihan raya Sarawak, dia mengatakan Melayu Bumiputera masih bersama BN. Saya sekali lagi menafikan dakwaan ini kerana bagi saya Pakatan telah diterima baik oleh semua kaum dalam Malaysia.

Sebagai contoh sekali lagi di Sarawak, PKR menang di Krian. Krian ini enam jam dari Kuching, kawasan pedalaman dan 99 peratus adalah orang Iban. Tak ada Cina pun, jadi siapa kata hanya Cina sokong Pakatan? Tidak betul. Baru Bian (Pengerusi PKR Sarawak) menang di Ba Kelalan. Tak ada pengundi Cina di sana, tapi kita menang. Jadi kemenangan PKR itu membuktikan bahawa kita mendapat dokongan pelbagai kaum. Jadi kita boleh sanggah dakwaan BN.

Mereka bimbang bagaimana PKR, DAP dan PAS boleh membentuk gagasan yang cukup utuh sebenarnya atas alasan yang cukup jelas sehinggakan ada pemimpin-pemimpin UMNO bertanyakan saya, “Bagaimana Datuk Seri Anwar boleh gabungkan PAS dan DAP?”

Mereka tak boleh bayangkan satu hari saudara Lim Kit Siang boleh duduk semeja dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang. Sebenarnya kekuatan Pakatan ialah kita mampu duduk berbincang secara terbuka berasaskan ilmu dalam keadaan tertutup, bukan kerana emosi, bukan kerana sentimen. Kebijaksanaan Kit Siang, Karpal Singh, Tuan Guru Hadi, Tuan Guru Nik Aziz dan Datuk Seri Anwar, mereka berjaya capai kata muafakat.

Selain itu kita ada pakar-pakar rujuk Islam, pakar-pakar rujuk agama dari dalam dan luar negara bersama dan kita duduk, kita bentang, berbincang secara terbuka dalam kawasan tertutup. Berbeza dengan UMNO, isu-isu sensitif, mereka sweep under the carpet. Itu tidak selesaikan masalah.

Tetapi Pakatan, kita kadang-kadang berkeras berbincang berdasarkan ilmu dan akhirnya kita mencapai kata sepakat, kita menghormati setiap kumpulan dan akhirnya satu keputusan yang cukup kuat dapat kita buat. Ini sebenarnya kejayaan Pakatan sejak 2008.

Bagaimana hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat?

Saya melihat hubungan antara PKR dan DAP, PKR dan PAS jauh lebih baik dari zaman Barisan Alternatif. Di bawah pembentukan Pakatan Rakyat sejak 2008, hubungan kita lebih kukuh dan diasaskan kepada matlamat yang cukup jelas, bukan berasaskan kepada ideologi kepartian. Pakatan dibentuk atas agenda bersama yang dibincang dan disepakati. Dan kita kena bergerak dengan agenda yang telah kita putuskan secara bersama. Jadi, kita cukup akrab.

Berasaskan fakta dan ilmu itulah yang mengikat kita. Sudah tentu dengan kebijaksanaan pimpinan dalam DAP dan PAS hari ini banyak membantu Pakatan.

Kita bukan sahaja ada tokoh-tokoh lama tetapi tokoh-tokoh muda seperti Lim Guan Eng, Liew Chin Tong, Anthony Loke. Begitu juga PAS, kita ada Dr Dzulkefly, Dr Hatta Ramli, Dr Kamaruddin Jaafar, Dr Mariah.

Jadi generasi kedua Pakatan Rakyat ini mempunyai hubungan yang cukup baik. Malahan di peringkat Parlimen itu, kita telah bentuk Jawatankuasa Parlimen bagi setiap kementerian yang melibatkan wakil dari semua parti dan mereka ada perbincangan secara berkala yang agak kerap.

Ini banyak membantu Pakatan. Kita juga ada sekretariat Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh anak-anak muda dalam DAP, PAS dan PKR untuk merumuskan beberapa perkara dan diangkat dalam Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Jadi hubungan itu sangat dinamik. Kalau kita tengok BN, mesyuarat setahun sekali, paling banyak pun dua kali setahun. Tetapi Majlis Presiden Pakatan Rakyat bersidang setiap bulan dan Sekretarariat Pakatan Rakyat bersidang hampir dua minggu sekali. Jadi maknanya kita selalu berinteraksi. Begitu akrabnya hubungan kita. Ini yang sebenarnya yang membantu pengukuhan Pakatan Rakyat.

Saya sebagai generasi kedua Pakatan Rakyat di kalangan pemimpin muda sudah tentu akan meneruskan tradisi ini, jalinan kerja ini dapat mantapkan dan ianya banyak membantu.

Sudahkah pengagihan kerusi untuk PRU akan datang selesai?

Saya terlibat secara langsung, saya bersama Saifuddin Nasution, Dr Mansor Osman, Dr Xavier Jayakumar dan Tian Chua bertemu dengan wakil PAS yang diketuai Datuk Mustafa Ali, Dr Hatta Ramli, Datuk Mahfuz, Datuk Takiyuddin…DAP juga hantar lima wakil yang diketuai Tan Kok Wai, Anthony Loke…dan kita ada perbincangan yang agak kerap dan sudah pun sampai ke tahap yang terakhir dalam pengagihan kerusi dalam Pakatan Rakyat.

Masalah pertindihan kerusi sudah terlalu minima di dalam komponen Pakatan. Ini sekali lagi bukti apabila jalinan hubungan itu baik, ia memudahkan proses perundingan dan kita berharap dalam masa terdekat ini, dalam Januari ini kita dapat merumuskan status pengagihan kerusi dalam Pakatan Rakyat dan kita sudah bersedia.

Malah persiapan kita bagi menghadapi pilihan raya akan datang jauh lebih baik daripada 2008. Kita sudah ada Buku Jingga, Agenda Bersama, Belanjawan, dan kita sedang merumuskan beberapa perkara penting dalam konvensyen Pakatan Rakyat 14 Januari ini sebagai asas kita untuk memasuki pilihanraya. Ini semua adalah hasil kerja Sekretariat Pakatan Rakyat dan juga pimpinan Pakatan Rakyat dari generasi kedua yang mempunyai hubungan yang baik.

Apa idea-idea besar Azmin Ali untuk rakyat Malaysia?

Harapan saya sebagai pimpinan muda dalam parti, muda jugalah, 47, saya mahu melihat politik baru di Malaysia ini, walau pun saya pernah berada dalam UMNO walau tidak pernah pegang apa-apa jawatan, cuma bantu seorang tokoh negarawan yang ketika itu berada di dalam UMNO untuk membawa perubahan.

Saya tidak boleh membenarkan generasi akan datang untuk mewarisi sistem yang terlalu rosak dan yang terlalu bersifat perkauman kerana saya yakin Malaysia ini akan maju sekiranya politik perkauman ditolak dan dihapuskan.

Ekonomi akan melonjak dan memacu satu pertumbuhan yang positif kalau pertimbangan politik tidak lagi berasaskan politik perkauman. Saya mahu politik baru yang mempertahankan hak rakyat Malaysia ini tanpa mengira kaum. Kita kena jalin hubungan yang baik dengan tokoh-tokoh akademik dan civil society bagaimana kita dapat merangka kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Dan kita mahu anak muda juga terlibat secara langsung sebab masa depan bukan ditentukan pemimpin hari ini. Masa depan Malaysia ditentukan oleh anak muda hari ini. Oleh itu kita perlu dengar bagaimana dasar yang mereka mahu sebelum kita melaksanakan dasar-dasar pendidikan dan ekonomi.

Selain dari ekonomi, pemerataan kekayaan negara secara adil kepada semua pihak, kita juga mahu menyuburkan demokrasi dalam negara ini. Sebab itu peranan civil society penting membantu. Jangan kita perlekehkan civil society.

Dan kita perlu kembali kepada Perisytiharan Kemerdekaan yang pernah dibuat oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman yang mana beliau menjanjikan Malaysia sebagai sebuah negara yang demokratik dan bebas. Saya mahu generasi yang akan datang, generasi yang merdeka dan semua kaum hidup harmoni. – Roketkini.com

Comments: 4

Comments are closed.